HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 Mei 2013

Rakyat diperas untuk BN terus boros


DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan yang nekad mahu melaksanakan GST pada kadar 7 peratus dilihat satu lagi projek untuk menekan rakyat sedangkan pada masa yang sama pemerintahan BN meneruskan sikap boros mereka.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Seri Idris Jala bahawa Malaysia mampu memperolehi pendapatan negara mencecah sehingga RM27 bilion, jika GST dilaksanakan pada kadar 7 peratus, menunjukkan kerajaan BN kini dalam keadaan begitu terdesak.

“Dengan kenyataannya baru-baru ini menunjukkan Kerajaan BN yang baru ini begitu tamak dan terdesak mengurangkan kadar defisit dengan menaikkan cadangan asal dari 4 peratus kepada 7 peratus iaitu hampir sekali ganda.

“Malah kadar itu dilihat lebih tinggi dari kadar cukai perkhidmatan dan jualan sedia ada sebanyak 6 peratus sahaja,” katanya.

Menurut Ustaz Nasrudin, sekalipun Kerajaan BN mahu meningkatkan pendapatan negara, tidak perlulah menekan rakyat yang sedia terbeban dengan sedemikian rupa.

Katanya, masih terdapat banyak lagi cara lain khususnya dengan menukar dasar pentadbiran boros kepada yang lebih berjimat cermat.

“Kita tidak mahu hutang korporat dihapuskan begitu sahaja atas faktor menjaga kepentingan kroni seperti yang Kerajaan BN berikan kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, di mana hutang korporat MAS berjumlah RM589 juta dihapuskan begitu sahaja sedangkan peminjam PTPTN dikejar sampai ada yang disekat ke luar negara dan dibawa ke Mahkamah kerana gagal membayar hutang.

“Pendedahan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen sebelum ini, bahawa delegasi Perdana Menteri yang melawat London, New York dan Washington tahun lepas sahaja sudah mencecah RM3 juta amat mengejutkan rakyat sedangkan anggaran sebenar bagi lawatan di tiga tempat ini hanyalah RM400,000.

“Jika pembaziran seperti ini di teruskan oleh pemimpin BN, sampai bila pun negara akan terus mengalami belanjawan defisit,” katanya.

Tiada ulasan: