Waktu siaran langsung persidangan Dewan Rakyat di Radio
Televisyen Malaysia (RTM) ditambah kepada satu jam bermula 10 pagi
setiap hari berbanding 30 minit sebelum ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri
Kamaruddin Siaraf berkata lintas langsung mengenai persidangan juga akan
dibuat dari semasa ke semasa melalui radio dan televisyen dengan
laporan yang lebih padat dan terkini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selaras dengan persetujuan Jemaah
Menteri pada Mei lepas dan siaran langsung itu sudahpun bermula hari
ini menerusi saluran TV1.
"Kementerian memandang serius terhadap keperluan untuk meningkatkan
keberkesanan jentera kerajaan khususnya peranan RTM dalam strategi dan
taktik perang persepsi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya langkah itu juga adalah untuk meningkatkan martabat institusi
Parlimen di mata rakyat terutama penduduk bandar dan golongan muda
dengan menyiarkan secara langsung keseluruhan sesi mesyuarat Parlimen,
khususnya Dewan Rakyat.
Beliau berkata pertambahan waktu siaran langsung itu akan membolehkan
penonton mendapat maklumat dengan segera, tepat dan padat menerusi
isu-isu yang dibahaskan.
Katanya maklumat itu akan disiarkan tanpa suntingan atau tapisan bagi
membolehkan penonton menilai sendiri perjalanan sidang dewan, dan
secara tidak langsung menjadikan ia sebagai saluran maklumat rasmi
berbanding saluran alternatif di internet.
Melalui siaran langsung itu juga rakyat berpeluang mendapatkan
penjelasan terperinci mengenai usaha yang dilaksanakan kerajaan selain
membuktikan keterbukaan kerajaan selaras dengan kehendak orang ramai
terhadap RTM sebagai penyiar awam, katanya. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan