BULETIN ONLINE
“Sedangkan sebelum ini dia janji hendak selesaikan masalah tanah. Kami anak beranak terpaksa menumpang di atas tanah orang sejak 25 tahun lalu,” kata Che Siti Dollah, 72.
Beliau bersama anak-anak dan saudara merupakan pengiat seni makyong berhijrah ke Kelantan dari Narathiwat ketika suasana gawat di sana pada 1979.
Ketika datang ke sini mereka menetap di Kampung Permatang Rambai, Pasir Puteh.
Bagaimanapun semasa mementaskan makyong di Dungun mereka ditahan dalam lokap selama dua minggu kerana hanya memiliki pas sempadan dan bukan pasport Thailand.
Imigresen pernah mahu menghantar mereka pulang semula di selatan Thailand, namun sebaliknya dihantar pula ke Ciku, Gua Musang bekerja di ladang kelapa sawit.
Hanya empat tahun bertahan di Ciku, kemudian mereka berpindah pula ke Besut dan kekal di situ sehingga sekarang.
Che Siti berkata, sebelum ini mereka menumpang di tanah milik penduduk dengan membina rumah sebagai tempat berteduh.
“Namun tuan tanah menghantar notis mengarahkan rumah diroboh. Jadi terpaksalah kami meroboh sendiri dan berharap wakil rakyat BN boleh membantu kerana dia pun telah berjanji.
“Apabila diaju isu ini kepada arwah, dia senyap sehingga sahaja. Jadi kami terpaksalah menyewa di rumah milik penduduk,” katanya ketika ditemui di Kampung Jirat, peti undi Seberang Barat baru-baru ini.
Kampung tersebut merupakan kubu tradisi Umno. Sebahagian besar penduduk merupakan nelayan yang dihimpit kemiskinan.
Pada kempen pilihan raya kecil sekarang pemimpin Umno datang membawa zink, kayu dan peralatan membaiki rumah sebagai umpan menjerat pengundi.
Che Siti juga memberitahu pernah mengenali ramai wakil rakyat BN di situ, namun mereka tidak boleh diharap.
Biar pun beliau pernah mengadakan pertunjukkan makyong di Perancis tajaan Istana Budaya, namun jasanya sebelum ini seolah-olah dilupakan.
“JKKK tahu ketika rumah kami diroboh, namun mereka tidak datang bertanya khabar. Nasib baik tauke tempat kami bekerja membolehkan kami menumpang.
“Ada anak-anak dan cucu yang menumpang sementara di bangsal membuat keropok kerana tidak ada tempat lain,” ujarnya.
Che Siti kenal sangat arwah Datuk Dr Abdul Rahman Mokhtar menjadi Adun Kuala Besut sejak 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan