Menurut KPDNKK, bekalan gula dijangka akan tiba awal Julai ini.
Oleh Mavin Augustin
KOTA KINABALU: Kekurangan bekalan gula dari Semenanjung menyebabkan bekalan komoditi tersebut terputus di sekitar bandaraya ini sejak dua minggu lalu.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Suhaimi Mat Sari menjangkakan bekalan gula akan sampai pada awal bulan Julai ini.
Beliau menasihatkan pengguna supaya tidak tergesa-gesa membeli gula dan menyimpan stok gula yang banyak hingga boleh menyebabkan fenomena kekurangan gula yang tidak benar.
Menurutnya, harga gula kawalan semasa yang ditetapkan adalah diantara RM2.50 dan RM2.60 satu kilo, namun ada di kalangan pekedai runcit mengambil kesempatan untuk menaikkan harga gula mereka dari RM2.50 kepada RM3.50 satu kilo.
“Tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang mengambil kesempatan untuk meningkatkan harga gula dan tinjauan akan dibuat dari masa ke semasa di sekitar bandaraya ini dan pekan-pekan utama di Sabah,” katanya.
Kesihatan
Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Marimuthu Nadason berkata, adalah penting kerajaan memikirkan kepentingan aspek kesihatan pengguna.
Katanya, tidak semua rakyat tahu akan kesan penggunaan gula berlebihan, yang boleh menyebabkan penyakit seperti kencing manis dan menjurus kepada sakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.
Menurut Persatuan Pengguna Malaysia (CAP), penduduk Malaysia mencatatkan tempat kelapan di dunia paling tinggi dalam penggunaan gula.
Pada tahun 70an, penduduk Malaysia mengambil sebanyak 17 sudu gula, meningkat kepada 21 sudu gula pada tahun 80an, 24 sudu gula pada 90an dan sekarang sebanyak 26 sudu gula.
Ujar beliau, “perkembangan ini amat merisaukan kerana ia akan menjurus kepada penurunan tahap kesihatan penduduk negara ini.”
Menurut statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 11.6 juta penduduk Malaysia menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.
Malaysia mencatat tempat pertama di Asia mempunyai jumlah penduduk obesiti teramai di mana 54 peratus penduduk mengalami masalah berat badan berbanding dengan 24 peratus, 10 tahun yang lalu.
International Diabetes Institute (IDI) meletakkan Malaysia pada tempat keempat jumlah tertinggi pesakit kencing manis di Asia, mencatatkan 800,000 pesakit pada tahun 2007 meningkat kepada 1.3 juta pesakit tahun 2010.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan