HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Julai 2013

Bersih tidak bersetuju cadangan benarkan banduan mengundi

OLEH DIYANA IBRAHIM

Datuk A. Samad Said mempersoalkan usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membenarkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.

Menurut Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu, tindakan membenarkan banduan mengundi dilihat hanya dapat menguntungkan Barisan Nasional (BN) sahaja.

“Ini yang perlu kita tahu apakah orang yang salah mempunyai hak untuk mengundi kerana kita tidak pasti apakah itu benar pilihan mereka,“ kata beliau apabila dihubungi oleh The Malaysia Insider.

 Malah beliau yang juga Sasterawan Negara menyifatkan pelaksanaan yang mendadak ini seperti langkah terdesak kerajaan untuk meraih undi menyokong Barisan Nasional (BN).

Semalam Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan akan mengkaji langkah untuk mencari mekanisme yang boleh diguna pakai bagi membolehkan banduan mengundi.

Dan sebagai langkah permulaan, seramai 170 banduan tertakluk, orang kena pengawasan (OKP) layak mengundi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut 24 Julai ini.

Ahmad Zahid berkata perbincangan berterusan akan diadakan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan banduan menunaikan hak mereka sebagai pengundi.

Negara jiran di Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand sudah lama memberikan hak untuk mengundi kepada banduan-banduan di negara mereka.

Tiada ulasan: