HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Julai 2013

Black 505: Rafizi, Adam Adli didakwa bawah Akta Perhimpunan Aman


KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke antara tujuh yang didakwa mengikut Akta Perhimpunan Aman berikutan perhimpunan Black 505 di Padang Merbok 22 Jun lalu.

Turut didakwa di Mahkamah Jalan Duta pagi ini, aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim dan kakitangan Sekretariat Pakatan Rakyat, Mohamad Adib Ishar.

Tiga aktivis mahasiswa yang lain – Safwan Anang, Ehksan Bukharee serta Mohd Bukhari Sofian didakwa mengikut Seksyen 4(2b) akta sama atas tuduhan berhimpun di tempat larangan di perkarangan Masjid Abdul Rahman, Universiti Malaya pada hari sama.

Pdg Merbok

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah.  Rafizi, Anthony dan Mohamad Adib dituduh gagal mematuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad untuk memperoleh kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok.

Sebagai pertuduhan pilihan, mereka didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan.

“Caj ini adalah zalim, sewenang-wenangnya dan terpilih, sama ada yang menamakan mereka sebagai penganjur, atau sebagai seorang peserta perhimpunan tersebut,” bidas Surendran dan Latheefa dalam pemakluman mengenai pendakwaan ini.

Hakim Mat Ghani Abdullah memutuskan agar kesemua tertuduh dilepaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran.

Anthony, Rafizi dan Adib kemudian meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Hakim bebaskan dengan jaminan peribadi (di bawah) pertuduhan Akta Perhimpunan Aman. (saya) Sempat berucap dari kandang kritik campurtangan politik menekan pembangkang,” tulis Rafizi di twitter selepas itu.

Rafizi dan Adib diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya manakala Anthony diwakili Thomas Su.
Tiga lagi aktivis siswa tersebut diwakili peguam Murni Hidayah Anuar.

Tarikh perbicaraan bagi kes ke atas Rafizi, Anthony dan Adib ditetapkan pada 7 dan 8 Oktober serta 9,10 dan 12 Disember depan.

Perbicaraan kes bagi empat aktivis mahasiswa itu pula akan berjalan pada 21 hingga 24 Oktober.

Turut hadir Ketua Umum dan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Tiada ulasan: