Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam), U
Thamotharan menegaskan beliau sehaluan dengan Presiden Perkasa Datuk
Ibrahim Ali, namun terdapat sesetengah pihak dalam badan bukan kerajaan
(NGO) berkenaan yang cuba memainkan api perkauman dan hal itu harus
segera dileraikan.
Thamotharan ketika dihubungi The Malaysian Insider tidak menamakan
pihak berkenaan serta tidak mahu mengulas lanjut insiden semalam apabila
wakil Perinbam tidak selesa dengan Naib Presiden Perkasa Datuk Zulkifli
Noordin yang membela guru besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd
Nor yang mengarahkan pelajar bukan Islam makan pada waktu rehat di bilik
persalinan.
Semalam adalah hari pelancaran Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (Mirac)
yang melihat Perkasa bersatu dengan Persatuan Cina Era Baru Malaysia
(Percisma) dan Perinbam.
Bagaimanapun, Zulkifli ketika acara semalam berkata Perkasa
mempertahankan guru besar terbabit kerana menerima kritikan dan fitnah
dari segenap pihak yang mempolitikkan isu itu.
Beliau menjelaskan Mohamad Nasir wajar dihargai dan bukannya dikritik.
Ini menyebabkan rasa tidak puas hati kepada ahli Perinbam yang
meninggalkan acara berkenaan namun Ibrahim segera menenangkan
Thamotharan untuk bersama menghadiri majlis berbuka puasa.
Thamotharan semasa dihubungi hari ini menegaskan apa yang dikatakan
Zulkifli tidak betul yang kemudiannya komen berkenaan akan disiarkan
oleh media.
“Beliau tidak ke sekolah itu dan beliau belum menemui guru besar itu.
Bagaimana boleh menyatakan sokongan kepadanya? Saya rasa beliau ingin
mendapatkan publisiti,” katanya.
“Kami gembira bekerjasama bersama Ibrahim Ali. Ramai menuduh beliau
rasis namun tidak pada kaca mata kami. Ada pihak dalam pertubuhan itu
yang melihatkan Perkasa rasis dengan komennya,” katanya.
Berhubung insiden SK Seri Pristana, Perinbam mahu tindakan diambil atas guru besar.
“Kami menggesa kerajaan tidak lepas tangan untuk mengenakan tindakan
kepada guru besar. Beliau mesti dihukum. Tiada sebab membiarkan murid
makan di bilik persalinan.
“Kami faham sensitiviti bulan Ramadhan namun pihak sekolah boleh memasang tabir di kantin sebagai alternatif.
“Kami telah pergi ke sekolah tersebut dan tiada pengubahsuaian dilakukan di sekolah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Perkasa keitka dihubungi The Malaysian Insider, berkata
pertubuhan itu masih belum mengadakan perbincangan bagi menentukan
pendirian sama ada untuk membela tindakan guru besar SK Seri Pristana
yang mempertahankan hujahnya membiarkan pelajar makan di bilik
persalinan atau sebaliknya.
Setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata pihaknya akan memberi
maklumbalas berhubung pendirian pertubuhan tersebut sebaik perbincangan
yang dijangka berlangsung hari ini selesai.
Beliau berkata, hubungan Perkasa juga tidak terjejas akibat insiden
yang berlaku petang semalam setelah naib pengerusinya, Datuk Zulkifli
Noordin mahu mempertahankan guru besar sekolah itu.
“Hubungan kami sememangnya tiada masalah. Cuma ada sedikit salah faham.
Biasalah dalam sesuatu pertubuhan pastinya ada pergeseran. Lambat-laun
akan berbaik juga,” katanya.
Sementara itu, Percisma menjelaskan mereka masih berpegang teguh kepada
pendirian bagi melihat masa depan yang lebih cerah dan mempromosikan
semangat saling hormat-mengormati antara rakyat Malaysia.
Presidennya, Andy Choy Chee Wai berkata berhubung insiden SK Seri
Pristana, pihaknya mahu melihat keputusan siasatan yang dijalankan
terlebih dahulu sebelum membuat sebarang andaian.
“Kita hanya mendapat maklumat daripada media dan pendapat awam, maka
adalah penting memahami situasi sebenar sebelum membuat sebarang
kesimpulan,” katanya.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan Perinbam berang dengan
kenyataan Zulkifli Noordin melibatkan isu makan di bilik persalinan,
hingga menyebabkan berlaku salah faham kecil selepas sidang media MIRAC.
Zulkifli dalam sidang media itu menyatakan secara terbuka menyokong guru besar SK Seri Pristana.
Kenyataan itu menyebabkan pengikut Perinbam dan presidennya tidak
berpuas hati dan enggan menyertai majlis berbuka puasa yang dianjurkan
oleh Perkasa sempena pengumuman penubuhan Mirac semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan