Kehadiran kira-kira 3,000 pegawai dan anggota polis yang bertugas
sempena pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut
berdasarkan keperluan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri
Mohd Bakri Mohd Zinin.
Menolak andaian pihak tertentu bahawa kekuatan yang digembleng Polis
Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Besut suatu pembaziran, beliau berkata
ia bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.
"Setiap kali PRK diadakan, kita akan memastikan kekuatan itu mencukupi dan ia bergantung kepada keadaan.
"Saya tidak nampak ini satu pembaziran. Dengan kekuatan yang ada,
mereka mampu mengawal bagi memastikan sepanjang proses ini berjalan
lancar dan pengundi juga akan rasa selamat untuk keluar mengundi,"
katanya pada sidang akhbar, semalam.
Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkaitan
kehadiran anggota polis yang dikatakan terlalu ramai pada PRK Kuala
Besut.
Mohd Bakri berkata, polis membuat persediaan rapi untuk menghadapi PRK
itu dan akan melaksanakan tugas dengan berkesan seperti yang diharapkan
masyarakat.
Beliau berkata, pihaknya juga memberi jaminan akan mengambil tindakan
berdasarkan keperluan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
"Kita akan pastikan tempat pengundian dikawal dengan baik, dan kita
memberi jaminan penduduk Kuala Besut dapat menunaikan tanggungjawab itu
dengan selamat," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan