HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 Julai 2013

'Keluar dari rundingan TPPA sebelum terlambat'



 
Satu persatuan kontraktor Melayu hari ini mendesak pasukan perunding Malaysia yang dipimpin wakil Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) agar segera keluar dari rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) sebelum terlambat.

Wakil Gabungan NGO Pembinaan Melayu itu, Mohsin Hasbullah berkata pasukan Malaysia perlu bertindak demikian kerana TPPA dibimbangi akan menjejaskan nasib para usahawan Melayu yang terlibat dalam industri pembinaan di negara ini.

Mohsin berkata, gabungan NGO tersebut percaya bahawa TPPA akan menyekat peluang syarikat tempatan dan memberi kelebihan kepada syarikat asing untuk menyertai pasaran tempatan.

Perkara itu dibimbangi akan berlaku memandangkan data berhubung perjanjian TPPA masih belum didedahkan, katanya.

“Tanpa maklumat yang lebih terperinci daripada Miti, kami lebih percaya bahawa TPPA mahu menutup terus pintu rezeki syarikat tempatan, dan akan membuka seluas-luasnya akses perniagaan kepada entiti asing yang mempunyai keupayaan modal dan sokongan lebih baik,” katanya.

Mohsin dalam kenyataannya mendakwa, perjanjian berkenaan akan menyebabkan harga bahan binaan menjadi terlalu murah dan mengancam kedudukan pembekal tempatan.

Beliau juga mendakwa, TPPA juga akan menutup peluang pekerjaan pekerja tempatan dalam sektor pengurusan dan profesional, apabila syarikat asing dapat menyertai bidaan untuk kontrak kerajaan.
Mohsin membacakan kenyataan tersebut dalam satu sidang medianya di pejabat Dewan Perniagaan Melayu Malaysia di Damansara.

Gabungan NGO berkenaan terdiri daripada 11 persatuan yang bernaung bawah Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM).

Tiada ulasan: