Pertubuhan hak asasi manusia serantau, Asian Forum for Human Rights and Development (Forum Asia) yang dalam misi pencarian fakta hari ini mendedahkan penemuan awal mereka mendapati kerajaan Malaysia menyalahguna tiga undang-undang iaitu Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, dan Akta Percetakan dan Penerbitan Akhbar (PPPA) 1984 ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Wakilnya, Kishali Pinto-Jayawardena berkata, kerajaan Malaysia menggunakan beberapa undang-undang yang terlalu teknikal dan sukar difahami untuk menghukum dan mendakwa individu secara terpilih.
"Kami melahirkan kebimbangan terhadap bentuk undang-undang yang bermasalah ini kerana ia memberikan kuasa kepada kerajaan Malaysia untuk menjalankan pendakwaan dan hukuman secara terpilih ke atas individu tertentu.
"Janji kerajaan Malaysia untuk menjalankan reformasi tidak selari dengan pelaksanaan mereka," kata aktivis kanan daripada Sri Lanka itu dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor pagi ini.
Penemuan awal kumpulan itu mendapati kerajaan Malaysia telah menggunakan Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, Kanun Keseksaan dan juga Akta Percetakan dan Penerbitan Akhbar (PPPA) 1984 bertujuan menekan pihak yang berbeza pendapat dengan mereka.
"Pihak berkuasa Malaysia menggunakan undang-undang sebagai alat untuk menekan hak bersuara pada PRU13.
"Tangkapan ke atas aktivis dan pemimpin pembangkang berterusan terutama selepas pendedahan meragukan dalam proses pilihan raya," kata Joses Kuan, yang juga salah seorang wakil daripada kumpulan itu.
Tindakan itu dilihat sama sekali mencabuli hak berhimpun dan kebebasan bersuara yang dijamin ke atas semua rakyat Malaysia, kata Profesor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Seoul Kyong-Whan Ahn.
Kumpulan itu menjalankan pertemuan dan wawancara dengan parti politik, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Majlis Peguam dan kumpulan sivil, bagaimanapun mereka gagal untuk berjumpa dengan pegawai kerajaan atau pemimpin politik parti pemerintah.
Misi mencari maklumat kumpulan itu berjalan selama tiga hari, sejak 22 Julai lalu.
Dalam pada itu, pertubuhan hak asasi tempatan Suaram menggesa Putrajaya supaya memberi perhatian kepada penemuan kumpulan itu dan mengambil berat terhadap cadangan yang dikemukakan kerana ia akan diambil kira dalam penilaian Universal Periodic Review ke atas Malaysia pada Oktober ini.
"Laporan akhir misi ini akan digunakan sebagai salah satu alat untuk menilai prestasi Malaysia dalam Universal Periodic Review pada Oktober ini," kata pengarah eksekutifnya, Nalini Elumalai dalam sidang media sama.
Selepas PRU13, Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan pemerintahan mereka sejak negara Merdeka pada 1957 tetapi dengan majoriti lebih kecil di Parlimen.
Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) enggan menerima kekalahan, sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.
Bersih 2.0, gabungan lebih 80 badan bukan kerajaan turut menegaskan faktor utama keputusan pilihan raya menyebelahi BN adalah kerana penyelewengan, serta tidak akan mengiiktiraf keputusan itu sehingga mereka mengenalpasti semua tuduhan penipuan.
Kumpulan reformasi pilihan raya itu juga mengumumkan rancangan untuk menubuhkan tribunal bagi menyiasat beratus-ratus laporan penipuan yang didakwa berlaku semasa pilihan raya.
PR menganjurkan perhimpunan besar-besaran di seluruh negara untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan PRU13, malah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kemenangan PR dicuri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan