Eksesais sekatan jalan raya dan pemerhatian udara semalam di bandaraya Kuching adalah sebahagian daripada program pencegahah jenayah, yang tidak ada kaitan dengan mana-mana banduan yang melepaskan diri daripada Indonesia, kata Pesuruhanjaya Polis Sarawak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata terdapat khabar angin mengatakan banduan daripada Indonesia yang melepaskan diri telah melarikan diri ke Kuching berdasarkan beberapa sekatann jalan raya dan tinjauan udara oleh helikopter pasukan gerakan udara (PGU).

"Untuk maklumat gerakan tersebut adalah sebahagian daripada program pencegahah jenayah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bersama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Sarawak," katanya kepada Bernama di Kuching malam tadi.

Pada Jumaat lepas, sekurang-kurangnya lima maut dan lebih 200 banduan berjaya melarikan diri dalam insiden rusuhan ganas di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia.- Bernama