Analisis terhadap iklan politik menjelang pilihan raya mendapati MCA lebih menjurus kepada serangan terhadap DAP dan PAS serta bertemakan politik pembangunan sementara iklan DAP pula cenderung menerangkan polisi mereka.

Pandangan tersebut diutarakan pensyarah pengiklanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Suhaimee Saahar yang menganalisis 25 iklan MCA dan DAP dalam akhbar The Star dan Sinar Harian sewaktu tempoh kempen pilihan raya umum yang lalu.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas strategi kempen 'serangan' MCA dan DAP dalam iklan politik mereka.

"Jenis-jenis serangan - MCA lebih menumpukan serangan kepada DAP dan PAS dan ia lebih menumpukan kepada bagaimana PAS menggunakan DAP dan bagaimana DAP menggunakan PAS.

"PAS hanya ada tiga iklan, tidak menyerang tetapi hanya menumpukan kepada kekuatan parti.

"DAP hanya semata-mata menumpukan kepada kekuatan parti. Contohnya apabila Lim Guan Eng kata kami tolak rasuah (dalam iklan).

"Mereka lebih menekankan polisi parti mereka dalam iklan tersebut," kata Suhaimee dalam pembentangannya pada seminar "Media dan pilihan raya umum 2013" di Kuala Lumpur petang ini.

Menurut Suhaimee, 70 peratus iklan DAP menumpukan kepada dasar parti itu sementara hanya 32 peratus sahaja iklan MCA memberi perhatian kepada perkara sama.

Beliau antara lain juga merujuk kepada iklan "Say hello to DAP, Say hello to PAS" dalam akhbar The Star dan iklan "Bukan anti-Melayu, Bukan anti-Islam, Tapi antirasuah" yang memaparkan wajah Lim Guan Eng dalam akhbar Sinar Harian.

Dalam kesimpulannya, Suhaimee menggesa agar parti politik mengelak daripada menggunakan pengiklanan politik negatif untuk menambat hati pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

"'Serangan' antara parti di Malaysia harus dilakukan secara halus, sistematik dan saintifik.

"Jangan dimomokkan, ditakutkan pengundi kita dengan perkara-perkara 'tahyul' kerana pengundi kita semakin sofistikated.

"Jangan lagi diuji pengundi kita pada PRU14 dengan bentuk-bentuk iklan sebegini," kata Suhaimee.