Penghulu Kampung Tuntong Pasir merasakan keperluan berbeza bagi penduduk luar bandar dan bandar.
Kampung Pasir Tuntong indah, dengan pokok kelapa yang seolah-olah melambai pelawat ketika dalam perjalanan ke Kuala Selangor. Udaranya juga segar dan angin pula sepoi-sepoi bahasa hingga mendorong suatu pertanyaan:
Apakah pendapat mereka mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU13)?
Mengapa menggembalikan Umno ke tampuk kekuasaan ketika rakan-rakan mereka di bandar memberi sokongan kuat kepada pembangkang? Apakah kerana kebanyakan penduduk kampung adalah Melayu dan sebahagian besar gabungan pemerintah diasaskan sebagai suara untuk kekuasaan Melayu.
Apakah benar ia seperti yang diperkata seorang anak kota, Jason Lim:
“Penduduk luar bandar hanya memikirkan kesan jangka pendek. Mereka berpuas hati dengan sedikit pemberian dari kerajaan sekali-sekala. "Penduduk bandar lebih memikirkan kesan jangka panjang. Jadi pentadbiran baik dan pemimpin bebas rasuah, penting.”
Apakah benar pandangan itu? Apakah penduduk kampung memiliki pemikiran yang sangat berbeza mengenai hak asas kemanusiaan?
Tidak mungkin semudah itu. Apatah lagi, Kampung Tuntong Pasir sebahagian dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati yang sebelum ini dimenangi PKR. Akan tetapi, pada PRU13, ia kembali kepada Umno.
Tanyakan kepada penghulu Kampung Tuntong Pasir, Bu Naip Mohd Yusof yang banyak menghabiskan masa membaca akhbar seperti Utusan dan Harian Metro, selain bertemu rakan-rakan lama di pusat komuniti berhampiran.
Mulanya, dia kelihatan berpandangan seperti Jason apabila berkata: "Kebanyakan yang berpindah ke bandar, kehidupan dan pandangan mereka sudah berubah.”
Tetapi, beliau mengingatkan perspektif lain mengenai perbezaan keperluan - satu memerlukan bantuan, satu lagi lebih berdikari. Ia bukan berbeza pandangan mengenai hak.
“Mereka ada semuanya di bandar. Mereka boleh berdikari walaupun kerajaan tidak bantu.
“Tetapi berbeza buat kami di kampung. Kami perlukan bantuan kerajaan dalam pelbagai perkara yang penduduk bandar tidak perlukan.”
Ini menyebabkan lahirnya rasa terima kasih kepada apa yang mereka lihat sebagai bantuan.
Rakannya, Ramli Toh Mad, 51, berkata: "Kami di kampung ingat sejarah. Kami lalui banyak kesusahan dahulu – kami hanya tahu inilah kerajaan yang sama membantu kami pada ketika itu.”
Terdapat perspektif di kalangan penduduk kampung bahawa orang bandar, terutama generasi muda sudah lupa daratan.
“Fikiran mereka 'diracun’ oleh ahli-ahli politik. Jadi, mereka minta itu dan ini. Sudah tentu mereka tidak gembira dengan apa yang mereka ada,” kata Ramli.
Akan tetapi, penduduk bandar melihatnya dengan pandangan berbeza.
Anita Mammen, 40, dari Puchong mengatakan penduduk kampung lebih selesa dengan cara hidup mereka manakala parti politik menggunakan isu perkauman untuk menakut-nakutkan penduduk luar bandar.
“Mereka diberitahu bila ahli politik baru naik, bantuan terhadap mereka akan dipotong dan kehidupan mereka akan lebih susah,” kata pengurus itu.
Pada dasarnya, kata beliau, penduduk luar bandar dan bandar mahukan perkara dan harapan dari pemimpin negara.
“Jurang ini saya bimbang akan menjadi lebih dalam pada masa depan.”
Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi DUN itu dari PKR selepas calon mereka, Jakiran Jacomah mengalahkan S Manickavasagam dengan hanya majoriti 806 daripada 16,153 pengundi berdaftar yang majoritinya Melayu.
Di seluruh negara, penduduk luar bandar menyokong BN. Fenomena yang Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebut minggu lalu:
"Kita tidak boleh semata-mata bergantung sokongan pengundi bandar untuk menang. Kita mesti merangka strategi untuk menawan kawasan luar bandar dan pedalaman."
Di Kuala Lumpur, Jason berhujah penduduk luar bandar tidak begitu mahukan perubahan.
“Mereka tidak begitu terdedah kepada ‘dunia luar’ dan ini menyebabkan mereka termakan dengan sesetengah propaganda oleh parti politik.
“Informasi yang mereka terima hanya dari media arus perdana. Jadi macam mana mereka boleh tahu tentang situasi politik sebenar?”
Akan tetapi, mengapa faktor itu bukan masalah bagi pembangkang ketika mereka menang di kerusi berkenaan pada 2008?
Mungkin ia bukan soal perpecahan akan tetapi lebih kepada gelombang. Dan mungkin jawapannya ialah penduduk bandar melihat ke belakang untuk memandang ke hadapan.
Mungkin penduduk kampung ada pandangan sendiri tetapi tidak berbeza dengan penduduk bandar jika kerajaan boleh janjikan perkhidmatan terbaik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan