Polis menerima 12 laporan polis berhubung kontroversi SK Seri Pristana (gambar), Sungai Buloh yang dikatakan mengarahkan murid bukan Islam makan dalam bilik persalinan.
Ketua Polis Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang, berkata 10 laporan diterima daripada ibu bapa dan orang luar yang mahu tindakan diambil terhadap pihak berkuasa sekolah.
"Ada dua laporan polis diterima daripada guru besar dan guru yang didakwa menerima ugutan. Semua laporan itu diklasifikasikan sebagai jenayah intimidasi.
Guru Besar, Mohd Nasir Mohd Noor, 57, mendakwa beliau menerima ugutan mati daripada orang yang menghubungi pejabat sekolah.
Junaidi berkata, beberapa kakitangan lain, seorang guru membuat laporan polis menuduh isu itu diperbesarkan dan menyebabkan kakitangan sekolah rasa tertekan, hilang motivasi dan fokus untuk mengajar.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan daripada wanita yang mendedahkan kes itu - dikenali sebagai Guneswari.
"Tidak, saya belum menerima laporan daripada wanita itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, A Thaiveegan menafikan kenyataan bahawa polis akan menggunakan Akta Hasutan terhadap sesiapa yang menyebarkan gambar berkaitan bilik persalinan itu.
Thaiveegan mendakwa, `akhbar tertentu' silap memetik kenyataannya.
Utusan Online sebelum ini melaporkan bahawa Thaiveegan menyatakan sesiapa yang menyebarkan gambar menunjukkan murid sedang makan dalam bilik persalinan boleh disiasat mengikut Akta Hasutan kerana imej itu hanya menyebabkan provokasi dan konflik perkauman.
"Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan infomasi berbau hasutan mengenai sekolah itu menerusi laman sosial," beliau dipetik sebagai berkata dalam Utusan Online.
"Ini tidak benar. Kenyataan saya itu disalahertikan," katanya. -
Tiada ulasan:
Catat Ulasan