HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Julai 2013

Singgah Sahur R T’ganu selami derita rakyat

Hazayani Zakaria,


BESUT: Sekretariat Mengembalikan Royalti Minyak Terengganu (R Terengganu) merayu pengundi di Kuala Besut membuat pilihan yang tepat dan bijak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 24 Julai ini.

Setiausaha kerjanya, Syed Husain Solahuddin berkata, R Terengganu berharap pengundi tidak termakan dengan umpan sementara Umno BN pada PRK kali ini.

Beliau yang  melihat sendiri keperitan hidup masyarakat ketika mengadakan program Singgah Sahur awal pagi tadi  berkata, walaupun Terengganu kaya dengan hasil petroleum bernilai RM1.8 bilion setahun, namun rakyat masih dihimpit kemiskinan akibat kerajaan yang tidak telus menguruskan  hasil negeri.

"Inilah yang menggambarkan situasi sebenar rakyat Kuala Besut yang dahagakan perubahan, dahagakan kemajuan.

"Pada  24 julai ini pentingnya satu kerajaan, satu suasana 16:16 yang akan menentukan rakyat lebih terbela yang mana kedua dua pihak akan bersaing membela rakyat keluar daripada kemiskinan dan keperitaan hidup.

"Undi itu adalah kuasa rakyat yang akan menentukan kepimpinan yang lebih adil dan saksama memperjuangkan nasib rakyat," katanya kepada Harakahdaily.

Sementara itu, aktivis Royalti Terengganu bersama aktivis Royalti Kelantan awal pagi tadi meneruskan lagi sesi Singgah Sahur awal bagi menjejaki beberapa buah rumah di sekitar perkampungan nelayan di Kuala Besut.

Kebanyakan daripada mereka nyata terharu kedatangan kami aktivis Royalti yang rata-rata dari kalangan anak muda sanggup singgah ke teratak sederhana mereka dalam waktu sahur. Bahkan ada di antara rumah yang kami sempat singgah kelihatan begitu menyayat hati sedangkan selang dua tiga rumah tersergam indah rumah batu yang dipenuhi oleh bendera-bendera biru.

Keadaan ini menggambarkan seolah-olah, rakyat miskin yang hidup dengan kepayahan dan keperitan langsung tidak pernah dihiraukan sebelum ini melainkan menjelang musim pilihanraya kecil kali ini. Ada pula di antara mereka yang masih ragu-ragu apakah janji-janji yang ditabur benar-benar akan dilaksana ataupun tidak. Ini kerana mereka telah terlalu lama hidup dalam kesusahan.

Menurut aktivis R Terengganu Safwan Anang, ada antara rumah yang sempat mereka singgah mempunyai bil-bil air dan elektrik yang masih tertunggak.

"Ini menimbulkan persoalan apakah nasib mereka tidak pernah terbela sebelum ini? Bahkan lebih menyedihkan apabila mereka mengaku sendiri bahawa Kuala Besut antara daerah yang paling miskin dalam Terengganu," katanya.

Bagaimanapun, apa yang menggembirakan mereka adalah apabila ditanya mengenai calon PRK kali ini mereka mengakui bahawa mereka lebih mengenali Che Long daripada calon BN.

Che Long juga sudah seolah-olah memang dikenali sebagai wakil rakyat di Kuala Besut dengan sifat pemurah yang ada pada beliau.

"Dengan penuh pengharapan, kami selaku Aktivis Royalti menaruh harapan tinggi kepada pengundi Kuala Besut untuk ciptakan perubahan terutama demi masa depan rakyat negeri Terengganu yang sememangnya kaya dengan hasil royalti minyak," katanya.

Tiada ulasan: