Oleh Subky Latif
Memanglah mahkamah itu selamanya tempat orang yang tidak puas hati
mengadu. Tetapi mahkamah juga boleh dijadikan tempat melonggokkan segala
pemalsuan dan penyelewengan.
Adakah
saranan pembesar SPR supaya sekalian yang tidak puas hati dengan
tingkah lakunya mengendalikan pillihan raya mengadu ke mahkamah itu
sebagai satu tindakan keadilan atau ia satu langkah melepaskan diri
daripada segala penyelewengannya mengendalikan pilihan raya sebelum
dan semasa mengundi?
Persepsi semua yang memberi undi popular kepada Pakatan Rakyat
ialah SPR berdegil sepanjang masa adalah bagi menjamin mengekalkan kuasa
Umno-BN menguasai Putrajaya dengan apa cara sekalipun.
Maka ia akan melakukan apa saja bagi memalsukan keputusan pilihan
raya dengan menggunakan dalih jika SPR cabul mengapa PAS boleh menang di
Kelantan dan DAP boleh di Pulau Pinang serta BN yang dipimpin Najib
boleh kalah teruk di Selangor?
Bukan semua penipuan SPR dan Umno berjaya. Yang BN boleh dikalahkan
di mana-mana itu bukan kerana ia tidak melakukan penipuan di situ,
tetapi itu adalah penipuannya yang tidak berjaya. Ia tidak berjaya di
Kelantan sejak tahun 1990, tetapi ia telah berjaya di Kedah, Terenggau
dan lain-lain. Begitulah selama-lamanya.
Maka buat PRU13 yang lalu selain daripada SPR memekakkan segala
bantahan pelanggannya tentang kelemahannya, maka ia boleh melaku dan
menyetujui memalsukan keputusan pilihan raya di mana yang boleh supaya
BN terus berkuasa dan Perdana Menteri Najib Najib mengekalkan
jawatannya.
Senjata besarnya ialah berdalih mengadulah kepada mahkamah jika tidak puas hati.
Maka dipercayai dengan memadamkan lampu di dewan penjumlahan undi
ketika undi rancak dijumlahkan dapat mengubah keputusan terutama di
kawasan yang BN sudah hampir kalah.
Tidak semestinya bekalan kuasa rasmi terputus di kawasan berkenaan,
tetapi pasukan penyeleweng yang dirancang boleh memadamkan lampu di
bangunan tertentu dalam masa beberapa saat dan minit, cukup bagi
pasukan pengkhianat berbuat sesuatu durjana.
Mungkin petugas SPR di lokasi tertentu tidak tahu menahu taktik itu,
tetapi hantu-hantu di belakang SPR boleh bersepakat menyelewengkan
sesuatu.
Sekurang-kuangnya antara 25 hingga 35 keputusan Parlimen boleh
dipalsukan dan anggaran yang sama boleh diterima pakai bagi Dun-Dun.
Dengan pemalsuan itu BN boleh diselamatkan dengan majoriti yang
mudah. Dengan keputusan yang demikian Pakatan Rakyat terhalang menguasai
Putrajaya. Jika tidak dicurangi begitu, maka perubahan sudah dijangka
berlaku.
Apabila ini berlaku, tiada cara bagi yang membantah penipuan itu
melainkan mengadu kepada mahkamah. Sebelum mahkamah membuat keputusan
kerajaan lama boleh meneruskan kuasanya untuk sekian lama. Macam-macam
ia boleh buat.
Ia meneruskan harga minyak yang tidak pernah dijanjikannya dalam
Akujanjinya untuk menurunkannya, ia boleh mengekalkan royalti minyak
bagi Sarawak dan Sabah sebanyak lima peratus dan mengekalkan wang ihsan
untuk Terengganu dan memberi ihsan pada Kelantan. Tidak perlu Petronas
memberi royalti 20 peratus kepada negeri-negeri berminyak.
Tidak ada keperluan lagi untuk membatalkan tol dan rakyat tidak
berfikir lagi untuk membeli motokar dengan harga yang murah.
Paling gembira ialah sekalian kroni termasuk Dr Mahathir Mohamad.
Mereka tidak akan dipanggil untuk ditanya tentang projek yang mereka
perolehi. Tidak lagi mereka bimbang untuk sementara waktu harta karun
yang dianugerah kepada mereka akan diminta balik oleh kerajaan baru.
Mahkamah dijangka mengambil masa sehingga enam bulan bagi
menyelesaikan semua petisyen pilihan raya. Kalau semua petisyen itu
berjaya, kerajaan sekarang ada masa enam bulan lagi untuk membuat apa
yang hendak dibuat. Ertinya BN telah mengambil masa lebih enam bulan
dari penggal lima tahun tempoh kerajaan baru.
Anak Dr Mahathir ada masa enam bulan lagi untuk memborong minyak
murah daripada Petronas bagi meneruskan urus niaga minyaknya.
Biasanya keputusan SPR tentang PRU hampir muktamat. Tidaklah mudah
keputusan itu hendak dirombaknya. Ada yang dibatalkan oleh mahkamah
tetapi payah mendapati ia dibatalkan.
Bukanlah mudah bagi petisyen untuk memenanginya. Sekalipun ia boleh
berjaya tetapi ia terpaksa berbelanja besar untuk memenangi
perbicaraan. Tidak ada sebab perbelanjaan besar itu hendak disediakan
jika keputusan pilihan raya itu tidak dipalsukan. Jika petisyen itu
kalah maka hanguslah segala perbelajaan yanag dikeluarkan.
Itulah risiko yang terpaksa dihadapi oleh pihak yang tidak puas
hati. Adalah benar melallui mahkamah keadilan dapat diperolehi, tetapi
jika boleh orang tidak mahu pergi ke mahkamah kerana keadilan boleh
diperolehi jika semua berjalan secara adil, telus dan bersih.
Jika SPR itu bersih dan adil, keadilan dapat dinikmati tanpa pergi
ke mahkamah. Mahkamah hanya berguna jika berlaku ketidak-adilan. Dan
seelok-elok ia diguna untuk perkara yang tidak dapat dielakkan dan tidak
boleh diselesaikan melalui cara yang normal. Bukan mahkamah itu tempat
melambakkan segala masalah yang diada-adakan.
Semua tahu bahawa mahkamah kita telah dibebankan oleh kes-kes yang
tertangguh. Dengan penipuan yang dirancang melalui pilihan raya itu,
maka kita tidak adil dengan mahkamah dengan menambah bebannya yang sdah
sedia ada. Tidakkah SPR boleh dilihat menambah kerja mahkamah?
Gara-gara ketempangan SPR itu rakyat sudah hilang peluang untuk
menikmati kehidupan yang lebih murah. Minyak murah, barang murah,
motokar murah, bebas tol dan bebas saman ekor.
Kerana keputusan pilihan raya yang demikian; rakyat terpaksa
membeli roti 30 sen lebih daripada sebelum pilihan raya. Rakyat sudah
menunggu ancaman cukai GST yang boleh dilaksanakan bila-bila masa.
Tidak banyak yang sedar tentang kenaikan harga barang selepas
pilihan raya. Menteri Kepenggunaan tidak membeli barang runcit harian.
Dia menunggu apa yang dilaporkan oleh pegawai saja. Yang barang naik
harga ialah orang setiap hari ke pasar.
Seorang peniaga runcit memberitahu, dia berbelanja sekitar RM1,500
hingga RM2,000 sehari untuk melengkapkan barang-barang di kedainya.
Selepas pilihan raya dia terpaksa berbelanja RM3,000 sehari untuk
melengkapkan barang yang serupa.
Maka bagaimana dia hendak menjual barang-barang dengan harga yang
serupa dengan harga sebelum pilihan raya? Cili hidup sudah tidak dapat
dibeli dengan harga dulu. Pilihan pelanggan sama ada mengurangkan jumlah
butir cili yang dibeli atau membelinya dengan harga baru yang tentunya
sudah dinaikkan.
Tiada cara selain daripada mengadu juga ke mahkamah, mahu atau
tidak mahu. Kita ke mahkamah dengan harapan mahkamah itu mahkamah di
zaman Umar Al-Khatab, Ali Abu Talib dan tokoh lain. Tetapi kalau imej
sistem kejaksaan kita sama dengan imej SPR, polis di bawah BN dan
jabatan peguam negara di bawah BN, maka langkah pergi ke mahkamah itu
semata-mata untuk menyatakan tidak puas hati tetapi tidaklah sangat
untuk mencari keadilan.
Semuanya tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang penuh
dengan krisis keyakinan. Mahkamah tidak dapat membaiki krisis keyakinan
ini, tunjuk perasaan juga tidak dapat membetulkan keadaan. Majlis Fatwa
pun tidak dapat buat apa-apa. Istana pun dalam keadaan yang tak tahu
hendak buat apa. Krisis itu hanya dapat dibetulkan melalui pilihan raya.
Sedang kita tahu pilihan raya dikendalikan oleh satu sistem yang
pincang juga.
Maka apa harapan membaikinya? Harapannya ialah SPR juga gagal dalam
penipuannya seperti yang terjadi di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor
serta Wilayah Persekutuan. Apabila penipuan itu gagal di semua tempat,
dan gagal dalam semua jenis penipuan dan penyelewengan, barulah
keadilan itu dapat ditegakkan. Bukan ke mahkamah. Mahkamah tidak dapat
buat semua. Ia jadi tempat SPR berdalih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan