Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut besar kemungkinan bakal
menyaksikan pertembungan dua ustaz antara calon Umno dan PAS apabila
nama yang paling popular meniti di bibir kalangan penyokong kedua-dua
parti itu adalah personaliti ustaz atau mereka yang mendalami bidang
agama Islam.
Calon yang paling popular di kalangan penyokong Umno adalah Nik
Yusniza Nik Ismail, bekas Kadi Daerah Besut yang kini bertugas sebagai
Pegawai Agama di Dungun.
Di pihak PAS pula, dua daripada tiga nama senarai pendek yang dikemukakan PAS dikatakan juga golongan ustaz.
Dua nama itu ialah bekas Adun Kuala Besut (1999), Datuk Nik Zawawi
Salleh dan Yang Dipertua PAS Besut, Wan Azhar Wan Ahmad manakala seorang
lagi ialah Bendahari PAS Besut, Azlan Yusof.
Daripada 13 pilihan raya umum (PRU) dan satu PRK di Kuala Besut, PAS
pernah memenangi empat kali iaitu pada PRU 1959, PRU 1969, PRU 1974 dan
PRU 1999.
"Oleh itu, peluang untuk PAS menang dalam pilihan raya ini adalah
cerah," kata Ketua Ulama PAS Terengganu yang juga tokoh PAS Besut,
Husein Awang.
Husein pernah bertanding di DUN Kuala Besut dalam PRU 1990 tetapi
tidak berjaya. Beliau kalah dengan majoriti hanya 246 undi sahaja.
Pada 1959, calon PAS yang menang ialah Mohamad Senari, Mohamad Said
menang pada 1969, Husein Jusoh menang (1974) manakala pada 1999 kerusi
itu dimenangi Nik Zawawi Nik Salleh.
Bagi Husein, yang pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN)
Terengganu (1999 - 2004), semangat penyokong PAS untuk memastikan parti
mereka menang dalam PRK ini amat tinggi.
"Semua mahu PAS menang untuk melihat apa akan berlaku apabila dalam
DUN ada 16 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN dan 16 Adun Pakatan,"
katanya.
Pandangan beliau disokong Wan Azhar.
"Kita mahu lihat apa akan berlaku jika Adun PAS membuat usul undi
tidak percaya kepada Speaker misalnya. Ketika itu speaker yang dilantik
BN tidak bolehlah mengundi kerana ia usul ke atasnya," kata Wan Azhar.
Beberapa tokoh BN sebelum ini beranggapan jika PAS menang pun, ia
tidak akan mengubah apa-apa kerana speaker yang dipilih BN akan menjadi
undi penentu.
PRK Besut diadakan selepas kematian penyandangnya, Dr A Rahman Mokhtar minggu lalu akibat komplikasi paru-paru berair.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat jam 10.00 pagi nanti
dan membuat keputusan mengenai tarikh PRK di DUN Kuala Besut
Tiada ulasan:
Catat Ulasan