Tidak dapat dinafikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) secara tegasnya telah mempertahan pendirian Malaysia pada mesyuarat pemimpin Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Bali minggu lepas.
Perdana Menteri dengan jelasnya menyatakan apa sahaja keputusan dibuat pada perjanjian serantau, akan dirujukkan kembali kepada rakyatnya menerusi debat parlimen dan Kabinet.
Seperti negara-negara perundingan lain, Putrajaya telah memberitahu mesyuarat pemimpin TPPA sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) berlangsung, ia berminat memenuhi sasaran tarikh akhir pada akhir tahun.
Malaysia sentiasa menekankan garis masa TPPA mestilah yang terbaik dan memanfaatkan semua, jadi, tidak perlulah tergesa-gesa sebelum tarikh akhir berkenaan.
Sepanjang tempoh 19 pusingan perundingan diadakan setakat ini, dengan paling terbaru di Brunei pada Ogos tahun ini, Malaysia tegas dengan pendiriannya: sebarang keputusan adalah berdasarkan kepada kehendak rakyatnya.
Malaysia akan melakukan apa sahaja yang dipersetujui ke atas terma TPPA selagi terma-terma itu memberi manfaat dan faedah kepada rakyatnya dan tidak menjejaskan kepentingan negara dan domestiknya.
Jadi, paling penting kepada semua ini ialah fleksibeliti yang Najib tegaskan sebagai kunci utama kejayaan dalam rundingan.
Walaupun terdapat kesukaran, tetapi bahaya paling besar ialah beberapa pihak perunding mungkin mengugut atau memaksa negara-negara lain agar mempersetujui perjanjian itu hanya untuk memenuhi tarikh akhir walaupun banyak perkara tertangguh masih lagi belum diselesaikan.
Contohnya, Malaysia bertegas dengan pendiriannya menerusi kenyataan Pemimpin TPP yang menyatakan:
"Kita telah bersetuju para perunding kini perlu terus menyelesaikan isu-isu tertangguh dengan objektif menyelesaikannya tahun ini."
Meskipun tarikh akhirnya perlu dicapai menjelang akhir tahun, namun ia bukanlah tempoh yang muktamad, demikian menurut Najib.
Apa yang Malaysia maksudkan ialah ia akan terus berusaha memuktamadkan TPPA tetapi sekiranya terdapat isu-isu besar tertentu yang tidak mencapai kata sepakat dalam tempoh ditetapkan, maka, ia seharusnya boleh dilanjutkan sehingga selepas tarikh akhir.
Tidak dapat dinafikan 12 negara anggota TPP -- Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zeland, Peru, Singapura, AS dan Vietnam, mewakili pasaran besar dengan populasi 800 juta.
Sekiranya digabungkan, ia menyaksikan keluaran dalam negara kasar berjumlah AS$27.5 trilion dan itulah sebabnya mengapa Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada perundingan tetapi mestilah adil dan saksama.
Pastinya, ramai masih ingat akan Perundingan Perdagangan Dunia (WTO) yang berlanjutan bertahun-tahun lamanya, yang akhirnya gagal disebabkan pendirian tegas oleh negara-negara maju. TPPA tidak perlu mengulangi perkara yang sama.
Seperti Apec 1994 di Bogor, Malaysia telah menggesa agar liberalisasi perdagangan mestilah tidak mengikat (non-binding). Malaysia juga mempunyai kesangsian kukuh selagi melibatkan TPPA.
Ketegasan tidak memanfaatkan sesiapa sementara fleksibiliti pula membolehkan kita bergerak ke hadapan dalam perundingan yang rumit ini.
Sehubungan itu, perjanjian perdagangan dimeterai Malaysia mestilah mengambil kira kepentingan domestik dan sebab itulah Najib menyatakan agenda Bumiputera tidak boleh diketepikan.
Para perunding diberitahu dasar Bumiputera perlu dilihat dalam konteks mewujudkan masyarakat yang adil dan saksama memandangkan Bumiputera membabitkan 67 peratus penduduk termasuk Islam dan dan bukan Islam Bumiputera.
Sekiranya Bumiputera ketinggalan atau dipinggirkan, ia tidak akan dapat mewujudkan kestabilan jangka panjang dalam negara.
Oleh itu, Najib telah menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa perkara dalam rundingan TPP berikutan ia menceroboh hak kedaulatan dalam merangka formula peraturan dan dasar .
Tanpa menapis kata-katanya, beliau berkata TPP melepasi perjanjian perdagangan bebas biasa dan pakatan pelaburan yang Malaysia jalin bersama banyak negara.
“Apabila melihat lebih mendalam, dalam bidang harta intelektual, penyelesaian pertikaian pelaburan negara, pemerolehan kerajaan, perusahaan milik negara, alam sekitar dan buruh, anda mencerobohi hak kedaulatan sesebuah negara dalam membuat peraturan dan dasar.
Perundingan ke atas hak harta intelektual (IPR), perusahaan milik negeri dan persekitaran terbukti sukar dan oleh itu, masih jauh lagi sebelum Malaysia mendapat keputusan yang boleh diterima semua.
Mengenai pemerolehan kerajaan, Malaysia telah mengambil langkah signifikan ke hadapan dan untuk pertama kalinya, menawarkan untuk membuka pasaran GPnya dengan cara 'binding' (mengikat). Mendesak Malaysia melangkaui apa yang mungkin di bawah GP tidak akan membantu pemegang kepentingannya bersetuju dengan TPP.
Malaysia juga sukar menerima cadangan ke atas SOE kerana ia jauh melampaui hasrat mewujudkan kesamarataan kerana SOE telah memainkan peranan penting dalam mencapai objektif sosioekonomi negara.
Untuk IPR, Malaysia telah memperincikan lebih daripada yang lain ia tidak akan menerima sebarang cadangan yang akan meningkatkan kos ubat-ubatan dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih mahal.
Dengan keadaan yang ada, apa yang diperlukan sekarang ialah tarikh akhir yang realistik - terbaik untuk semua. Sekiranya kata sepakat tidak dicapai dengan cadangan yang ada sekarang, maka, pendekatan perlu diteruskan oleh TPP ialah tidak menolak kemungkinan menangani isu sebagai agenda 'built-in' yang perlu diambil di masa hadapan tanpa menjejaskan objektif keseluruhan TPPA.
Bagi Malaysia, pendiriannya tidak seharusnya disalahertikan ataupun disalahfahamikan kerana ia menerima yang TPPA ialah satu pelaksanaan penting dan sebagai sebuah ekonomi terbuka, ia percaya kepada perdagangan bebas, adil dan saksama.
Malaysia mahu menjadi sebahagian daripada perjanjian ini sekiranya ia mengikut terma dan syaratnya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan