Tahniah dan syabas diucapkan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan atas jawaban dan penjelasan dalam perbahasan rang perbekalan tambahan 2013 bagi Kementerian Kewangan di parlimen hari ini. Saya tertarik dengan cara Ahmad menjawab begitu teratur, lendik dan kemas serta autantik sekali. Semua pertanyaan yang dibangkitkan, serta pencelahan diberi respon yang baik.
Sikap timbalan menteri atau ahli parlimen sebeginilah yang perlu dicontohi. Berkualiti, telus dan terbuka serta tidak mempersendakan setiap persoalan yang ditimbulkan di dewan. Dalam jawabannya Ahmad tidak menyindir atau menggunakan floornya untuk mengkritik pihak pembangkang seperti mana sering berlaku kepada menteri atau timbalan menteri ketika menjawab pertanyaan sebelum ini.
Cara Ahmad menjawab dan memberi penjelasan diterima dengan senang hati oleh ahli parlimen. Ini terbukti bila mana tidak ada gangguan atau pun sorakan ketika beliau memberi jawaban. Semuanya serius dan memberi tumpuan kepada penjelasannya. Bermakna ahli dewan menerima tanpa takwil.
Paling menariknya penjelasan Ahmad detail, jelas beliau membuat homework yang mendalam. Tidak ada sebarang pertanyaan yang tidak boleh dijawab kecualikan permintaan dari ahli parlimen yang mengemukakan soalan spontan yang memerlukan jawaban bertulis atau pun notis.
Ahmad juga adil dalam melayan dan tidak 'memancung' atau mengenepikan pertanyan-pertanyaan spontan oleh pembangkang.
Selain itu apa yang menariknya bahasa yang digunakan Ahmad kemas dan menggunakan bahasa Melayu standard tanpa melakukan melacurkan bahasa seperti mana kebanyakan ahli dewan lain yang jahil mengenai bahasa terutamanya kata majmuk 'mereka' dan 'para' yang disebut 'mereka-mereka' atau 'para-para'.
Sekiranya amalan atau pendekatan seperti diambil Ahmad Maslan ini dapat dilaksanakan sepenuhnya sudah pastikan parlimen kita akan menjadi kemas, tertib dan dewan legislatif itu mencapai matlamatnya untuk kepentingan rakyat.
Syabas untuk Ahmad Maslan kerana berjaya meletakkan diri anda sebagai seorang timbalan menteri yang berkualiti dan contoh - DETIK DAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan