HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Oktober 2013

Umno Perak saran bilik berasingan bagi pemilihan MT, Bahagian

THE MALAYSIAN INSIDER


Umno Perak mencadangkan Jawatankuasa Pemilihan Umno pusat memastikan bilik berasingan disediakan di setiap bahagian bagi proses pemilihan Majlis Tertinggi dan jawatankuasa bahagian pada 19 Oktober ini.
  
Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib  berkata langkah itu bertujuan mengelak kekeliruan dalam kalangan perwakilan ketika pemilihan bagi kedua-dua peringkat.
  
"Selaku Setiausaha Perhubungan negeri, saya mendapat banyak komen daripada perwakilan persidangan sayap-sayap pada Ahad lalu yang keliru ketika mahu membuat pengundian antara jawatankuasa sayap bahagian dan jawatan exco pergerakan masing-masing.
  
"Pengundi diberikan kertas undi secara serentak untuk memilih kedua-dua kategori jawatankuasa itu, dan diminta untuk mengundi dan memasukkan kertas undi dalam bilik yang sama," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  
Beliau berkata berikutan kekeliruan itu, sebilangan perwakilan tersilap menurunkan undi di kertas yang diberikan serta memasukkan kertas undi di peti yang salah, menyebabkan undi rosak.
  
Katanya, bagi mengelakkan kekeliruan serta undi rosak, bilik berasingan wajar disediakan bagi kedua-dua kategori dan perwakilan diberi kertas undi sejurus sebelum memasuki bilik pengundian.
  
"Misalnya, apabila perwakilan selesai mengundi untuk jawatan Majlis Tertinggi, mereka masuk pula ke bilik lain yang dikhaskan untuk proses mengundi jawatankuasa bahagian," katanya. – Bernama,

Tiada ulasan: