Pada masa Covid-19, Malaysia digemparkan dengan percubaan pelarian Rohingya untuk masuk ke perairan Langkawi yang berjaya dipatahkan pasukan keselamatan, begitulah seperti yang dilaporkan Jeneral Affendi Buang. Ini membuktikan kecekapan dan kemampuan pertahanan yang jitu. Dalam masa sama di Selayang, terdapat ura-ura yang kononnya pelarian Rohingya ingkar perintah kawalan pergerakan, sedang pula warga Malaysia berdebar menghadapi Covid-19. Ini membuatkan segelintir warganet marah dan pelbagai sentimen rasisme, xenofobia, juga fitnah berlegar.
Ada sarjana menyuarakan soal berhaknya Malaysia mengutamakan keselamatan, ini benar kerana Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Berkaitan Status Pelarian 1951.
Tetapi saya mahu sentuh isu ini lebih mendasar dan sistematik. Pelarian merupakan cabaran geopolitik dalam dunia globalisasi. Kadangkala ia boleh menggugat kestabilan sosioekonomi negara jiran. Namun mahu tidak mahu apabila berlakunya konflik, krisis kemanusiaan akan pasti melimpah ke negara jiran dan kita seharusnya mempersiap siagakan polisi untuk menghadapinya.
Pengambilan
Kerajaan misalnya harus menimbangkan pengambilan para pelarian. Persoalan yang perlu dijawab perlu atau tidak diambil secara sah, berapa jumlahnya, bagaimana, dan apa prosedurnya. Jika tidak melalui jalan sah, jalan seludup akan berleluasa sehingga menyebabkan perhambaan moden, penipuan dan sebagainya. Kajian dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia menunjukkan memang terdapat penyeludupan Rohingya dan keterkaitannya dengan pemerdagangan manusia.
Seperti saya nyatakan di atas kesan “spill over” akan tetap berlaku. Semasa Covid-19, perlukah mereka dibenar masuk atau dibiar mati di laut? Jika dibenar masuk tentunya saringan wajib dijalankan. Bagaimana pula mereka jika didapati positif Covid-19 dan bagaimana rawatan mereka?
Pengambilan mereka juga harus didokumentasi. Dengan teknologi terkini misalnya kecerdasan buatan dan pendaftaran alamat protokol internet, pihak berkuasa seharusnya mampu menjejaki pergerakan mereka. Proses mengambilan ini juga harus dikira untuk berapa tempoh mengikut penyelesaian yang diambil.
Di sebahagian negara, misalnya Sweden dan Jerman, mereka mengambil pelarian secara terpilih. Hanya yang berbakat dan berguna sebagai sumber tenaga manusia sahaja diambil. Namun, pada hemat saya hal ini tidak sesuai dilakukan untuk pelarian Rohingya yang rata-rata datang dari latar kemiskinan dan kurang pendidikan.
Penempatan
Mengendalikan penempatan baru tersusun untuk Rohingya yang berada di Malaysia. Ini termasuk pengiraan apakah mereka perlu ditempatkan dalam bandar atau pulau transit. Penempatan kem pelarian ini harus diselia dengan pengawasan keselamatan yang tinggi dan perlunya diadakan pertukaran polis atau tentera berkala bagi mengelakkan korupsi dan rasuah. Kes samseng dan jenayah pelarian Vietnam di Pulau Bidong harus dijadikan iktibar di mana kawalan harus lebih diperketatkan, dan pihak penguasa harus ada libat urus dengan ketua komuniti.
Hak asasi dan pendidikan
Ramai yang alergik dengan perkataan ini. Mereka sangka pelarian ini menuntut hak sama rata dan warga negara. Ini tidak tepat. Sebaliknya, mereka meminta pendidikan asas dan insurans nyawa.
Pada 2017, pelan ini pernah dibentangkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, di mana kerajaan bersedia memberikan pelan insuran, pendidikan pra-sekolah dan sekolah rendah dengan sukatan pelajaran Myanmar kepada pelarian ini. Namun harus juga difikirkan untuk sekolah menengah dan selepas itu.
Selain itu hak asasi juga termasuklah bekalan makanan dan air serta elektrik yang asas. Untuk mengelakkan manipulasi bantuan dan mengurangkan kos, kerajaan harus bersedia bekerjasama dengan badan bukan kerajaan tempatan dan agensi antarabangsa seperti Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian dalam merangka gerak kerja. Asal tidak ada penipuan, pertindanan sumbangan, mengurangkan kos kerajaan, dan sebagainya.
Pembahagian kerja antara NGO tempatan atau antarabangsa dan kerajaan kena adil, di mana kerajaan haruslah hanya sebagai pemudahcara dan bantuan haruslah daripada NGO. Pelan bantuan itu harus bersifat jangka panjang bukan sekali beri, kerana sekali beri bahaya untuk masa depan dan akan memanjangkan lagi krisis.
Pendidikan juga termasuk program tidak formal untuk memperkenalkan adab dan tatasusila dan undang-undang. Program ini juga termasuk mengajar bahasa kebangsaan. Model ini dijalankan di Sweden, Perancis, Kanada, dan Jerman kerana pelarian Syria atau Iraq di Barat antaranya masih gagal memahami undang-undang dan budaya Barat serta masih mahu hidup “gaya Islam” mereka.
Program begini ada pro dan kontra terutama di Barat. Misalnya beberapa budaya seperti bertudung dan azan tidak diterima oleh masyarakat di Perancis. Kes Rohingya mungkin sedikit berbeza memandangkan agama yang sama, cuma mereka harus belajar memahami dan menghormati budaya dan undang-undang Malaysia.
Tenaga kerja
Strategi yang bijak adalah bagaimana ancaman boleh diubah menjadi peluang. Dalam pelan 2017 itu juga, Zahid ada merancang untuk memberi latihan tenaga kerja separa mahir dan kurang mahir dan disalurkan pada sektor pertanian dan buruh. Ini baik. Kita juga boleh mengurangkan kos import tenaga asing dari Bangladesh dan Nepal, dan memberi peluang dengan kos lebih efektif. Misalnya dalam projek Inisiatif Jalur dan Laluan, kita boleh berunding untuk mengurangkan peratus buruh China dan menggantikannya dengan tenaga Rohingya tanpa perlu import.
Tentunya semua ini dengan pemantauan. Apa yang berlaku di Cameron Highlands dan pasar Selayang apabila mereka tidak diselia dengan baik dan mereka berjaya menguasai rantaian pasaran setempat. Sekiranya mereka diselia dan dipantau, perkara ini dapat dielakkan dan dikurangkan.
Penyelesaian konflik secara struktural
Maksud di sini perlunya negara-negara Asean + Australia dan PBB menyelesaikan masalah ini secara pelbagai hala. Myanmar harus ditekan dan dihadapkan kepada keadilan antarabangsa. Setiausaha PBB, Antonio Guterres pada 2018 menyatakan krisis ini salah satu krisis kemanusiaan paling dahsyat dalam dunia. Masakan tidak, mereka dirogol, dibunuh dan dibakar hidup-hidup.
Perdana menteri ke-7, Dr Mahathir Mohamad juga memberi tekanan kepada Myanmar. Syukur pada 2019, Mahkamah Jenayah Antarabangsa menerima pembukaan kes pembersihan etnik Rohingya ini.
Walaupun begitu tentu sekali ia mengambil masa. Jadi sementara itu peranan negara sekitar untuk menekan dan mencadangkan penyelesaian dan pembinaan semula penempatan dan hak asasi Rohingya di Myanmar. Kemudian barulah kita hantar pulang mereka.
Dengan ini pada hemat saya, kita berjaya mengimbangi keselamatan domestik negara dan isu kemanusiaan.
*Amirul Mukminin adalah pembaca FMT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan