Dia bersama 6 tukang cuci lain, biasa memperoleh gaji bulanan sebanyak RM1,000.
Siti Fatimah, 33, berkata ia cukup untuk menyara 2 anak, seorang anak saudara dan ibu bapanya yang berusia 70-an, yang semuanya di bawah jagaannya.
Namun 3 minggu lalu, kehidupan wanita itu bertukar tragis apabila dia dilanggar kenderaan pacuan 4 roda ketika dia menunggang motosikal ke tempat kerja dari rumahnya di Kuala Nerang.
Lengan atas kirinya juga dimasukkan besi selepas ia retak dan jari kelingking tangan yang sama dimasukkan wayar kerana patah.
Dia sudah keluar hospital selepas 9 hari ditahan dan kini tertanya-tanya bagaimana dia akan menyara ibu bapa dan 3 anak yang berusia 10 hingga 12 tahun, sedangkan dia satu-satunya penanggung keluarga.
“Saya hilang satu-satunya kakak pada 17 Mac dan saya mengambil anak perempuannya yang berusia 12 tahun di bawah jagaan saya. Hanya 2 minggu kemudian, saya terlibat dalam kemalangan yang teruk dan kehilangan kaki.
“Ini berita buruk selepas berita buruk bagi saya. Saya tertanya-tanya bila nasib buruk saya akan berakhir?” katanya ketika ditemui FMT di rumahnya di Kampung Banggol Dogol.
“Bolehkah saya mendapatkan pekerjaan dengan 1 kaki? Saya terus bertanya-tanya tentang itu.”
Fatimah yang bercerai pada 2012, berkata adik-beradiknya yang lain tinggal di Padang Terap dan tidak dapat menolong kerana patuh pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ayahnya yang berusia 78 tahun cacat dan ibunya yang berusia 70 tahun tidak sihat. Mereka memelihara ayam dan itik di belakang rumah dan mendapat bantuan RM350 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Saya tidak pasti bagaimana saya akan menampung perbelanjaan untuk ketiga-tiga anak di bawah jagaan saya selepas PKP tamat.”
Fatimah bersyukur kerana bekas rakan sekelasnya, rakan-rakan dan keluarganya membantu untuk membeli makanan dan barang keperluan lain. Rakan-rakan karibnya juga mendapatkan tandas duduk untuknya kerana keluarga itu hanya mempunyai tandas di luar rumah.
Dia berkata anak perempuan dan anak saudaranya kini membantu memandikannya di kerusi roda. Dia tidak dapat menggunakan tongkat untuk berjalan kerana lengannya yang patah masih belum sembuh.
“Mandi atau menggunakan tandas memang sukar. Saya berharap seseorang akan memasang gegelang di bilik mandi saya supaya saya dapat menyokong badan saya.
“Saya juga berharap untuk mendapatkan ubat tahan sakit yang lebih kuat kerana lengan saya sangat sakit.
“Dalam jangka masa panjang, saya harap saya boleh mendapatkan kaki palsu jadi saya dapat mencari nafkah dan terus menyara keluarga.”
Fatimah berkata dia kini menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang memberikannya bekalan lampin dewasa selama 2 bulan. Dia berkata walaupun bekalan makanan mencukupi, tetapi ia tidak bertahan lama.
Katanya, dia memperoleh borang JKM untuk memohon faedah orang kelainan upaya (OKU), tetapi diberitahu untuk menghantarnya ke pejabat itu. “Kami tidak dapat melakukannya dalam keadaan sekarang.”
Bagaimanapun, FMT menghantar fotokopi permohonannya melalui e-mel ke JKM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan