SEAWAL 2 pagi, beberapa pekerja warga asing dan tempatan 'berkampung' di hadapan sebuah klinik swasta di Kepong, Kuala Lumpur, untuk melakukan ujian saringan Covid-19.
Pemandu peribadi, Khairul Annuar Mohd Rejab, 47, berkata, dia ke klinik swasta berkenaan kira-kira 4 pagi untuk mendapatkan nombor giliran.
"Semalam saya datang ke sini 7.30 pagi untuk mendapatkan nombor giliran, namun tidak berjaya mendapatkannya kerana dimaklumkan ia hanya terhad sehingga nombor ke 250 pada hari biasa, manakala 100 nombor pada cuti umum.
"Disebabkan itu, hari ini saya keluar seawal 4 pagi untuk mendapatkan nombor giliran dan mendapati sudah ada ramai individu lain beratur.
"Saya dimaklumkan mereka sudah berada di sana seawal 2 pagi untuk mendapatkan nombor giliran sebaik klinik dibuka 8 pagi," katanya ketika ditemui di klinik terbabit, hari ini.
Khairul berkata, ujian saringan Covid-19 itu dibuat melalui pendaftaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Saya difahamkan bahawa kos untuk membuat ujian saringan itu adalah RM360 seorang.
"Bagaimanapun, bagi pekerja yang ada caruman PERKESO boleh membuat pendaftaran untuk melakukan ujian saringan itu.
"Majikan saya sudah mengarahkan semua pekerjanya untuk menjalani ujian saringan itu dan hanya kami hanya akan dibenarkan bekerja sebaik mendapat keputusan negatif," katanya.
Sementara itu, juruteknik di sebuah kilang besi di Taman Maluri, V Subramaniam, 46, berkata, dia bersama beberapa rakan sekerja warga asing dari Nepal dan Myanmar beratur di klinik swasta terbabit kira-kira 5 pagi tadi.
"Kami dihantar menjalani ujian ini secara berperingkat. Dari semalam lagi, majikan sudah mula menghantar pekerja lain untuk membuat saringan di klinik ini.
"Saya tidak tahu berapa kos saringan ini, namun semuanya ditanggung majikan," katanya.
Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati orang ramai berbaris panjang untuk menjalani ujian saringan di klinik terbabit yang bermula kira-kira 8 pagi tadi.
Turut kelihatan beberapa petugas yang memakai pakaian perlindungan diri (PPE) membuat ujian saringan di luar hadapan klinik berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan