Sebelum guna telah dapatkan nasihat KKM, rujukan jurnal WHO

PUTRAJAYA
– Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan lapan jenis
bahan kimia dalam operasi sanitasi awam dan disinfeksi di tempat-tempat
yang dikesan mempunyai penularan tinggi wabak COVID-19.
Lapan jenis bahan kimia berkenaan yang
termasuk etanol, natrium hipoklorit dan benzalkonium klorida digunakan
dalam proses sanitasi awam di kawasan luar manakala disinfeksi dalam
kawasan tertutup.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohammad
Hamdan Wahid berkata sebelum menggunakan lapan bahan kimia itu, pihaknya
mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan
membuat rujukan terkini jurnal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
mengenai jenis bahan kimia yang sesuai digunakan.
“Sebagai contoh, kami gunakan etanol
dengan kandungan alkohol 60 peratus ke atas dan natrium hipoklorit 0.5
peratus penggunaannya untuk operasi berkenaan.
“Apabila kami membuat penyelidikan bahan
kimia berkenaan, kami mendapati bahawa lapan jenis bahan kimia itu
terdapat di Malaysia dan boleh digunakan untuk tempat-tempat tertentu,”
katanya kepada Bernama di sini.
Mohammad Hamdan berkata sebelum membuat
proses campuran bahan kimia itu, pihaknya terlebih dahulu mendapat
nasihat Jabatan Kimia untuk Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi
memastikan sanitasi awam dan disinfeksi pada tempat awam mengikut
protokol ditetapkan.
“Ini bermakna untuk melakukan penugasan
nyah cemar ini bukannya boleh dibuat secara suka-suka dan ia perlu
dibuat mengikut protokol kerana ia melibatkan bahan kimia.
“Setakat ini, JBPM telah membuat operasi
nyah cemar di 130 zon yang dikenal pasti oleh KKM termasuk di kawasan
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.
Ditanya sama ada kawasan zon hijau juga
terlibat operasi nyah cemar, beliau berkata memang terdapat permintaan
daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri untuk membuat
disinfeksi di kawasan zon hijau mereka.
“Ya, memang terdapat permintaan daripada
mereka (PBT dan Kerajaan Negeri) untuk mendisinfeksi kerana kawasan zon
hijau mereka berkemungkinan pernah dimasuki oleh penduduk yang menetap
di kawasan zon merah atau zon kuning.
“Oleh sebab itu, ada juga bangunan
tertentu kami buat operasi nyah cemar berulang kali sebagai contoh
kawasan Pasar Selayang, di sini, kerana ia merupakan zon merah
COVID-19,” katanya.
Selain itu, Mohammad Hamdan berkata
setakat 30 April lepas pihaknya telah membuat sebanyak 117 operasi
sanitasi awam meliputi 41 zon iaitu 10 zon merah dan 31 zon kuning
melibatkan pelbagai negeri tertentu.
“Antaranya ia melibatkan premis
perniagaan, stesen pengangkutan awam, tempat ibadat, pasar awam, kawasan
perumahan,” katanya dan menambah kata selain itu pihaknya telah
melakukan 544 operasi sanitasi awam dan disinfeksi di fasiliti Polis
Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman dan Ibu
Pejabat Kontinjen Polis.
Selain fasiliti PDRM, sebanyak 316 balai
bomba seluruh negara serta fasiliti Jabatan Penjara dan depoh tahanan
Jabatan Imigresen di seluruh negara juga dinyah kuman sebagai langkah
pencegahan wabak itu.
“Boleh dikatakan setiap operasi sanitasi
awam dan disinfeksi yang dibuat JBPM memang banyak sangat kerja kerana
ia memerlukan tahap ketelitian dan fokus tinggi,” katanya.
“Pemakaian pakaian perlindungan diri
(PPE) ketika operasi disinfeksi juga berbeza dengan pakaian PPE sanitasi
awam. Disinfeksi, tahap pakaian PPE perlu tinggi, kandungan bahan kimia
digunakan juga lebih tinggi malah peralatan PPE juga lebih lengkap dan
berbeza dengan pakaian PPE sanitasi awam yang nipis serta penggunaan
bahan kimia dengan kekuatan sederhana,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan