Suasana diselubungi pilu dengan alunan bacaan Yassin

IPOH– Jenazah anggota polis yang maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda
ketika melakukan sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang
Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), Selangor selamat dikebumikan
di Tanjung Rambutan, hari ini.
Jenazah Koperal Safwan Muhammad Ismail,
31, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata
pada 6 pagi sejurus selesai azan Subuh.
Harian Metro melaporkan, terdahulu,
jenazah tiba pada 5.20 pagi dengan van jenazah milik Polis Diraja
Malaysia (PDRM) diringi 25 kenderaan dari Hospital Serdang.
Suasana di tanah perkuburan diselubungi pilu dengan alunan bacaan Yassin oleh ahli keluarga yang tiba pada 4 pagi.
Lebih 300 penduduk kampung, anggota polis dan rakan-rakan hadir mengiringi jenazah.
Komander 69 Komando PGK, Senior Asisten
Komisioner Abd Razak Yusof dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor,
Datuk Fadzil Ahmad turut hadir memberi penghormatan terakhir.
Ibunya, Norriza Mat Sani, 53, yang mengiringi arwah dari Serdang kelihatan sayu ketika menyertai majlis tahlil untuk arwah.
Dalam kejadian berhampiran Plaza Tol
Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), 2 pagi semalam,
Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dihempap
kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki disyaki di bawah pengaruh
alkohol.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan