Kita boleh manipulasi, manfaat imbangan kuasa sesama kuasa besar

1. TERKINI,
dilaporkan dua kapal Amerika Syarikat (AS) memasuki perairan kita sambil
memberi amaran kepada China di mana kapal-kapal China sedang mengganggu
usaha eksplorasi West Capella, yang dikontrak Petronas di blok Lala-1
dijangka selesai pada bulan ini.
2. Komander Armada Pasifik Amerika,
Laksamana John Aquilino memberi amaran “Parti Komunis China mesti
berhenti membuli negara-negara Asia Tenggara demi minyak, gas, dan
perikanan luar pesisir. Berjuta-juta rakyat di rantau ini bergantung
pada sumber-sumber berkenaan untuk kehidupan mereka”.
3. Amaran Komander Laksamana John
Aquilino ini lebih keras berbanding kenyataan yang dibuat pada April
lalu, di mana ketika itu, AS mengerahkan angkatan armada mereka iaitu
Kapal Penyerang Amfibia (LHA 6), USS America, kapal ‘guided-missile
cruiser’ USS Bunker Hill (CG52) dan ‘guided-missile destroyer’ USS
Barry-DDG 52 ke wilayah kita.
4. Kedua-dua kapal Amerika yang terkini
dikerah ke perairan kita ialah kapal Littoral Combat Ship USS Montgomery
(LCS 8) dan kapal ‘dry cargo’ USNS Cesar Chavez (T-AKE 14) kelas Lewis
dan Clark.
5. Laksamana Madya Fred Kacher, komander
Expeditionary Strike Group 7 berkata, kehadiran kedua-dua kapal
Montgomery dan Cesar Chavez di Laut China Selatan membuktikan komitmen
berterusan Tentera Laut Amerika di rantau ini.
6. Kita wajib menyedari bahawa kedua-dua
kuasa besar ini sama ada AS mahu pun China masing-masing memiliki
kepentingan mereka yang tersendiri di rantau ini.
7. Dalam keadaan ekonomi kita juga secara
signifikan bergantung pada eksport dan pelaburan ke negara mereka
(sekitar RM140 bilion ke China, hampir RM100 bilion ke Amerika), serta
ketidaktentuan pasca-COVID-19, langkah terbaik adalah dengan mengimbangi
ancaman yang paling nyata dengan ancaman yang kurang mengimpak
kepentingan nasional kita.
8. Kelakuan China yang berterusan
menceroboh wilayah perairan dan sumber hidrokarbon kita sejak 2012 dan
2013 membuktikan satu perangai China: pada satu sisi mereka cuba
menunjukkan sikap diplomasi dengan menawarkan pinjaman untuk pelbagai
projek dan kerjasama di bawah Inisiatif Belt and Road (BRI).
Namun dalam masa yang sama, mereka dengan biadap sekali menceroboh dan melakukan pelbagai aktiviti yang memudaratkan integriti wilayah, sumber hidrokarbon, serta perikanan kita di Laut China Selatan.
9. Maka selain daripada mengerahkan
aset-aset TLDM dan Maritim Malaysia, pilihan kita adalah dengan
memanipulasi dan memanfaatkan imbangan kuasa sesama kuasa besar.
10. Terbukti setakat ini aset-aset kita
seperti KD Jebat, KD Kelantan, KA Bunga Mas 5, serta KM Bagan Datuk
berjaya berterus-terusan memberi sokongan kepada kapal West Capella yang
dikontrak Petronas di blok Arapaima-1 dan juga blok Lala-1.
11. Buat masa ini, sama-sama kita doakan
di bulan Ramadan yang mulia ini supaya kapal West Capella berjaya
menyempurnakan misi eksplorasi mereka untuk Petronas di Blok Lala-1 yang
semakin hampir ke penghujungnya, sama seperti mana mereka berjaya
melakukannya di blok Arapaima-1 Mac lalu meski pun turut sama berdepan
asakan berterusan kapal-kapal haram China.
*Abdul Muein Abadi -Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan