MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 8 Mei 2020
Eksklusif: 'Jual agama lariskan produk sanitasi'
Oleh Ilah Hafiz Aziz
- Gambar hiasan
Kuala
Lumpur: Sekumpulan pakar kimia dan teknologi bio mengesan sesetengah
produk sanitasi pembasmi kuman yang semakin meluas dijual di pasaran,
terutama secara dalam talian, sebenarnya langsung tidak berkesan untuk
mengelak jangkitan virus.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia
dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara
(UiTM), Dr Ismaniza Ismail; Pensyarah fakulti sama, Dr Shahrul Nizam
Ahmad serta Ketua Perkhidmatan Makmal Halal, Institut Pengangkutan
Malaysia (MITRANS), Dr Siti Aimi Sarah Zainal Abidin, percaya ia adalah
produk dihasilkan sendiri tanpa mengikut prosedur ditetapkan.
Ada juga pengeluar atau penjual turut menggunakan agama dan isu halal
haram bagi melariskan produk mereka, mendakwa cecair pembasmi kuman pada
tangan atau ‘hand sanitizer’ komersial mengandungi alkohol yang
diharamkan penggunaannya oleh Islam.
Bagi Ismaliza yang juga
pakar bioteknologi dan kebersihan industri, permintaan masyarakat yang
terlalu tinggi terhadap produk sedemikian ketika penularan wabak
COVID-19, mendorong pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil
kesempatan.
“Kami mengesan banyak pihak tidak bertanggungjawab
menghasilkan produk sanitasi sendiri tanpa pengesahan keberkesanan
produk. Mereka mengeksploitasi keadaan semasa untuk mengutip keuntungan
segera, sedangkan produk itu sebenarnya tidak menepati piawaian
ditetapkan.
“Lebih membimbangkan ia boleh mendatangkan
kemudaratan kepada kesihatan pengguna. Produk yang dihasilkan sendiri
berbeza dengan produk komersial sedia ada yang sudah melalui proses
keberkesanan.
“Pengeluarnya mungkin mahu mengaut keuntungan semata-mata dalam keadaan terdesak ini,” katanya kepada BH.
Untuk menyediakan produk sanitasi sedemikian, katanya, pengeluar perlu
mengetahui kadar terperinci penggunaan pelbagai bahan aktif yang mampu
membunuh kuman seperti etanol (etil alkohol), isopropil alkohol, atau
n-propanol.
Mengikut sukatan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan
Sedunia (WHO), setiap 10 liter produk sanitasi mesti mengandungi 8,333
mililiter (ml) daripada 96 peratus etanol, 417ml daripada tiga peratus
hidrogen peroksida dan 145ml daripada 98 peratus gliserol atau 7515ml
daripada 99.8 peratus isopropil alkohol, 417ml daripada tiga peratus
hidrogen peroksida dan 145ml daripada 98 peratus gliserol.
“Setiap produk sanitasi yang dijual harus mempunyai peratusan alkohol
antara 60 hingga 95 peratus agar dapat membunuh kebanyakan kuman. Apa
yang dipersoalkan adakah garis panduan penyediaan produk sanitasi yang
sudah ditetapkan diikuti atau mereka sekadar mencampur bahan-bahan
sahaja,” katanya.
Katanya, produk pembasmi kuman bebas alkohol
juga boleh dijadikan pilihan, namun ia haruslah mengandungi sebatian
ammonium kuartener seperti benzalkonium klorida yang mampu mengurangkan
dan membunuh mikrob.
Bagi Shahrul Nizam pula, berbanding produk
komersial cecair pembasmi kuman pada tangan, penggunaan sabun serta air
adalah ‘piawai emas’ dalam amalan kebersihan yang seharusnya menjadi
amalan paling berkesan untuk rakyat Malaysia ketika ini.
“Amalan terbaik adalah mencuci tangan dengan sabun dan air. Ia untuk
kebersihan tangan dan bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit
kerana boleh menanggalkan lapisan minyak daripada kulit yang boleh
menjadi tempat pembiakan mikrob.
“Oleh itu, untuk mencegah
penyebaran dan mengurangkan risiko mendapat jangkitan COVID-19, cara
terbaik adalah mencuci tangan menggunakan sabun dan air sebagai pilihan
pertama, di samping elak menyentuh kulit muka.
“Sekiranya tangan
kelihatan kotor, basuh tangan dengan sabun dan air kerana ia lebih
berkesan berbanding cecair pembasmi kuman pada tangan berasaskan
alkohol. Malah banyak kajian membuktikan kesan bahan pencuci bersama
gosokan dapat mengurangkan bilangan mikrob pada kulit dan permukaan,"
katanya.
Amalan mencuci tangan yang harus dititik-beratkan,
katanya, adalah dengan menggosok sabun dan air pada tangan
sekurang-kurangnya selama 20 saat kerana sabun mempunyai sifat lipofilik
yang mengikat dan mengurangkan kotoran, minyak serta mikrob daripada
permukaan kulit.
“Tidak dinafikan produk sanitasi tangan bersama
kandungan alkohol sekurang-kurangnya 60 peratus adalah pilihan praktikal
apabila tiada sabun dan air. Namun bagi menjamin keberkesanan proses
nyah mikrob, penggunaannya perlu pada keseluruhan tangan, termasuk
telapak, belakang dan pergelangan tangan, selain celah-celah jari dan
kuku," katanya.
Sementara itu, Siti Aimi Sarah berkata, ada pihak
cuba memainkan isu agama dan halal haram untuk melariskan produk yang
dihasilkan atau dijual mereka.
“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan sudah memutuskan kandungan alkohol dalam produk sanitasi
tangan adalah harus dan dimaafkan. Kita tidak mahu ada pihak
mengeksploitasi agama untuk menarik pelanggan, apa yang penting adalah
memastikan produk dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan,”
katanya.
Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
menerusi satu kenyataan sebelum ini, menegaskan penggunaan cecair
pembasmi kuman adalah tidak najis dan ia boleh digunakan ketika
sembahyang serta tidak dikira menanggung najis.
“Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan alkohol yang tidak melalui
proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram diminum
berbanding alkohol daripada proses pembuatan arak yang hukumnya haram
dan najis,” katanya.
Virus terperangkap pada tangan apabila menutup mulut ketika bersin atau batuk. - Gambar hiasan‘Tiada istilah perlindungan 24 jam’
Kuala
Lumpur: Tiada istilah ‘perlindungan 24 jam’ hasil penggunaan produk
pembasmi kuman bagi mengelak jangkitan virus atau penyakit bawaan
bakteria.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran,
Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ismaniza
Ismail, berkata pengguna harus memahami konsep perlindungan yang
diperoleh daripada produk yang digunakan.
Katanya, pergerakan
refleks atau tabiat manusia juga mempunyai hubung kait dengan faktor
keberkesanan penggunaan sesuatu produk pembasmi kuman.
“Contohnya
apabila batuk atau bersin, kita secara refleks akan tutup mulut dengan
tangan dan ini akan memerangkap virus ke dalam tangan serta memerlukan
lebih sekadar produk sanitasi tangan untuk menghapuskannya.
“Virus yang keluar bersama-sama batuk atau bersin mungkin diselaputi
mukus (lendiran) yang menjadi lapisan perlindungan mikrob, sekali gus
menidakkan keberkesanan produk sanitasi tangan yang digunakan dalam
amaun yang sedikit,” katanya kepada BH.
Beliau
menjelaskan, ‘perlindungan 24 jam’ hanya satu taktik pemasaran yang
sudah pun menimbulkan salah faham kerana hakikatnya, penggunaan produk
itu hanya membunuh mikrob pada masa ia digunakan.
“Sekiranya
permukaan yang tercemar disentuh semula, potensi untuk mendapat
jangkitan akan berulang. Sekiranya cecair pembasmi kuman mengandungi
kandungan alkohol yang tinggi, penggunaan yang terlalu kerap akan
menyebabkan alahan atau rengsa pada kulit sesetengah pengguna yang
sensitif,” katanya.
Penularan COVID-19 ketika ini menyebabkan
permintaan bagi produk kesihatan seperti topeng muka, cecair pembersih
tangan, cecair dan penyembur, tisu basah, gel mandian, pencuci tangan
antibakteria serta vitamin melonjak, terutama pembelian secara dalam
talian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan