MEDAN BERITA POLITIK : KE ARAH BERFIKIR, MENGINSAFI DAN BERTINDAK
HALAMAN SANTAI
Jumaat, 8 Mei 2020
Jenazah Ismail Kamus selamat disemadikan
Oleh Muhammad Yusri Muzamir
Van yang membawa jenazah Datuk Ismail Kamus tiba di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat. - Foto NSTP
KUALA
LUMPUR: Jenazah Datuk Ismail Kamus selamat dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat di sini, jam 11 pagi
ini.
Suasana sayu mengiringi sepanjang majlis pengebumian
pendakwah terkenal yang menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam
12.30 tengah malam tadi.
Allahyarham meninggal dunia susulan penyakit komplikasi jantung di kediamannya di Ampang.
Terdahulu,
jenazah dimandi dan disolatkan di Masjid As-Sobirin di sini, disertai
kira-kira 500 orang yang hadir memberi penghormatan terakhir, pada jam 9
pagi.
Mengiringi jenazah ialah isteri Allahyarham, Datin
Azizah Othman, 64, bersama anak bongsunya, Mohd Fikri Al-Wafi, 31.
Allahyarham meninggalkan empat anak dan 15 cucu.
Sementara
itu, adik Allahyarham, Samsiah, 60, reda dengan pemergian abangnya,
selain menjelaskan sempat mengusap kepala sebelum Ismail menghembuskan
nafas terakhirnya, tengah malam tadi.
"Sudah tentu merasai
kehilangan Allahyarham kerana dia rapat dengan ahli keluarga, suka
berseloroh dan rajin bersedekah khususnya kepada adik-beradiknya.
"Kalau
sambut Aidilfitri, kami memang akan berkumpul di rumah Allahyarham,
tetapi tahun ini agak berbeza kerana dia sudah pergi menghadap Ilahi,"
katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Van yang membawa jenazah Datuk Ismail Kamus tiba di Tanah Perkuburan Islam Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat. - Foto NSTPAllahyarham
adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia selama
sepenggal pada 1999 hingga 2004 dan pernah memegang jawatan Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat.
Veteran PAS itu dimasukkan ke wad
sejak 26 April lalu disebabkan keadaan kesihatan yang agak lemah,
sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari sama dan
didapati terdapat jangkitan di bahagian paru-paru.
Pada 9
Mei tahun lalu, Allahyarham yang juga Pengasas dan Penasihat Pusat
Rawatan Islam Darussalam Malaysia dilaporkan menjalani pembedahan
jantung di Institut Jantung Negara.
Allahyarham dilahirkan pada 2 Disember 1948 di Kampung Batang Rening , Ulu Selangor.
Mendapat
pendidikan awal di Sekolah Arab Batang Kali sebelum meneruskan
pengajian ke Ma'ahad Hisyamuddin, Klang di mana beliau berguru dengan
seorang ulama tersohor, Asy-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhori.
Allahyarham
kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Klang dan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mendapat ijazah Sarjana Muda Syariah
dengan kepujian pada 1976.
Allahyarham juga pernah menuntut di Beaver College Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Allahyarham
pernah bertugas sebagai guru, Pegawai Penyelidik, Pegawai Dakwah selain
bertugas selama 15 tahun di pelbagai jabatan seperti di Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)
dan Pusat Islam.
Jawatan terakhir Allahyarham ialah Pakar Rujuk di Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Pusat Islam, sebelum bersara secara pilihan.
Allahyarham
juga adalah perunding motivasi dan pendakwah bebas dengan memberi
ceramah agama di seluruh dunia seperti Brunei, Indonesia, Thailand,
Singapura, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada dan negara Asia
Barat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan