
Namun tahun ini, penularan pandemik Covid-19 menyebabkan penghantaran daging kerbau dari India berkurangan sehingga mendorong kenaikan harga dan menjejaskan jualan.
Kebanyakan kilang pemprosesan daging di India, pengeksport daging lembu kedua terbesar di dunia dan pembekal utama Malaysia, ditutup berikutan negara Asia Selatan itu berusaha mengekang pandemik terbabit.
“Virus ini benar-benar mengubah segalanya,” kata Abu.
Mereka berkata, jualan mungkin terus merosot pada April berikutan pelaksanaan meluas sekatan pergerakan, dan ia dijangka kekal rendah daripada biasa bulan ini, walaupun sebahagian ekonomi di India dibuka semula.
“Ketika ini, keadaan tidak memihak kepada industri kami. Walaupun ia adalah makanan, ia tidak dianggap keperluan asas memandangkan ia untuk dieksport,” kata seorang pengeksport yang berpangkalan di Uttar Pradesh.
“Buat masa ini, semua pengeksport berusaha memindahkan bekalan yang mereka ada.”
Harga borong daging kerbau beku di Malaysia meningkat 15% hingga 20% berbanding bulan Ramadan tahun lalu, yang biasanya mencecah sehingga 20% daripada penggunaan tahunan negara ketika keluarga berkumpul untuk berbuka puasa.
“Biasanya, rakyat Malaysia makan sekitar 350 bekas daging kerbau dari India sebulan, sekarang ia berkurangan kepada separuh,” kata seorang pengimport di Kuala Lumpur.
Kemerosotan permintaan runcit semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia juga mempengaruhi permintaan import daging secara keseluruhan.
“Kami hanya buka untuk pesanan bawa pulang semasa PKP. Jualan merosot kira-kira 80%,” kata Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma), Ayub Khan Muhamad Yakub.
Masalah daging global
Pada 2019, India menghantar hampir 1.5 juta tan daging, yang kebanyakannya daripada kerbau tenusu, berbanding 2.3 juta tan yang dijual pembekal utama Brazil, menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat.
Ketiadaan bekalan amat dirasai di Malaysia, yang bergantung kepada 70% daging import India, dan juga Indonesia dengan 1/4 import dari India dan daging kerbau mendapat permintaan tinggi dalam kalangan golongan berpendapatan rendah kerana harga murah.
Pembeli Indonesia – yang dijangka membeli 170,000 tan daging lembu India tahun ini sebelum penangguhan akibat koronavirus – cuba beralih ke negara sumber lain seperti Brazil dan Argentina, kata sumber industri di Jakarta.
Tetapi, pandemik global Covid-19 menyukarkan usaha menggantikan bekalan terjejas, terutama selepas syarikat daging terbesar di dunia, termasuk Smithfield Foods Inc, Cargill Inc, JBS USA dan Tyson, menghentikan operasi kira-kira 20 rumah penyembelihan dan kilang pemprosesan di Amerika Utara setelah pekerja jatuh sakit.
Pengeksport utama daging lembu, Brazil turut terjejas, dengan pengeluar daging BRF mencatatkan 18 kes positif Covid-19 pada lewat April di sebuah pusat perindustriannya yang mempunyai kira-kira 3,100 pekerja.
Pengeluar daging India mahu meneruskan operasi selepas sekatan dilonggarkan, tetapi pelaksanaan penjarakan sosial tidak mudah untuk mendapatkan haiwan dengan cara biasa.
Lembu tenusu di India dihantar untuk disembelih selepas ia melepasi tahap produktif, dengan ejen dari kilang daging biasanya membeli haiwan dari setiap ladang sebelum dibawa ke rumah penyembelihan.
Pasar haiwan – yang diharamkan atau disekat secara besar-besaran di bawah sekatan pergerakan – juga merupakan sumber utama.
“Persoalan kekal mengenai berapa cepat bahan mentah boleh diperolehi dan diproses mengikut semua peraturan penjarakan sosial,” kata pegawai Persatuan Pengeksport Daging dan Ternakan India kepada Reuters.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan