Selepas 47 hari rakyat ’terkurung’, hari ini PKP dikuat kuasa

KUALA LUMPUR
– Selepas 47 hari rakyat Malaysia ’terkurung’, hari ini hari pertama
Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi
membendung penularan COVID-19 dilonggarkan kepada Perintah Kawalan
Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Apa yang longgar? Antara lain, Jakel
kini boleh beroperasi, begitu juga pusat membeli belah lain. Restoran
‘Mamak’ yang dirindui juga sudah boleh dikunjungi dan orang ramai boleh
menjamu selera di premis-premis kedai makan, manakala kenderaan
persendirian kini boleh dinaiki empat orang.
Namun, perlu diingat PKP ini hanyalah
dilonggarkan dan tarikh tamat sebenar perintah ini yang kini masuk fasa
keempat adalah pada 12 Mei ini.
Malah, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr
Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya semalam menegaskan persepsi
yang menganggap kerajaan sudah tamatkan PKP dan hari ini kita ‘raya’
adalah salah.
Katanya, sekarang terserah kepada
disiplin orang ramai dan kepatuhan mereka kepada Prosedur Operasi
Standard (SOP) perintah berkenaan bagi membantu melandaikan lekuk
COVID-19 seterusnya menjadikan kes positif sifar.
Dalam keghairahan meraikan ’kebebasan’
ini, perlu diingat juga kes positif baharu COVID-19, kembali mencecah
angka tiga digit dua hari berturut sejak dua hari lepas selepas 16 hari
kita berjaya merekodkan angka dua digit.
Semalam, sebanyak 122 kes positif COVID-19 direkodkan, meningkat dari hari sebelumnya sebanyak 105 kes.
Bagaimanapun, keputusan melonggarkan PKP
kepada PKPB yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat
lepas masih kekal dan hanya kawasan yang mencatatkan kenaikan mendadak
kes COVID-19 akan ditutup selepas ini.
Bagi menyelia kepatuhan rakyat secara
keseluruhan terhadap PKP, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya semalam, mahu orang ramai
memainkan peranan masing-masing dalam membuat laporan polis jika
terdapat mana-mana pihak yang melanggar SOP PKPB.
Beliau turut menasihatkan orang ramai
memuat turun aplikasi MyTrace dibangunkan Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi yang boleh digunakan bagi membantu kerajaan mengesan jejak
mereka yang telah dijangkiti wabak COVID-19 berhampiran mereka dan
kontak rapat mereka.
Ingatlah, kita masih belum menang dalam
peperangan wabak ini. Jangan jadikan kegembiraan sementara kita dalam
meraikan sedikit kebebasan ini satu kerugian kepada usaha kita
‘berkurung’ selama 47 hari sebelum ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan