Aktivis
politik, Abd Malek Hussin mempersoalkan mengapa kerajaan Perikatan
Nasional (PN) tidak mencabar jawatan Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai
speaker Dewan Rakyat, yang dipilih ketika zaman pemerintahan Pakatan
Harapan (PH).
“Yang di-Pertua Dewan Rakyat (speaker), Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff kekal jawatan dan tidak dicabar?
“Jika
nak ganti, perlu dinamakan calon sekurang-kurangnya 14 hari sebelum
mesyuarat? Kerajaan PN tak namakan sesiapa menggantinya?
“Petanda awal PN tak bermajoriti di Parlimen,” katanya di Facebooknya.
Ketika dihubungi Malaysiakini,
Abdul Malek berkata, PN tidak berani untuk membuat usul bagi
menggantikan Mohamad Ariff kerana tidak yakin mempunyai majoriti jelas,
sedangkan, waktu untuk nama calon speaker dikemukakan telah pun berlalu.
Menurut perkara 4 (1), Peraturan-peraturan Majlis
Mesyuarat Dewan Rakyat, nama calon speaker hendaklah dicadangkan
sekurang-kurangnya 14 hari sebelum persidangan, iaitu selewat-lewatnya
pada 4 Mei lalu.
Katanya lagi, speaker akan terus dapat memegang
jawatannya sehingga Dewan Rakyat dibubarkan, melainkan dia meletakkan
jawatan, atau dia dikenakan undi untuk melucutkan jawatannya.
“Kenapa dia (PN) tak mahu tukar speaker yang dipilih semasa PH mengambil alih kerajaan semasa PRU (pilihan raya umum) lalu?
“Setakat
ini, undi melucut mestilah dibuat melalui usul. Dia (Mohamad Ariff) tak
letak jawatan, dan tidak ada usul dari kerajaan untuk melucutkan dia,”
katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Katanya,
menurut pandangannya, jika pun PN berasakan mereka mempunyai majoriti,
ia pasti ramalan angka yang tipis yang masih menjadi kebimbangan buat
mereka, lebih-lebih lagi majoriti mereka belum teruji di Parlimen sejak
kerajaan ditubuhkan Mac lalu.
“Kalau dia yakinlah dia ada
majoriti, saya berpendapat dia akan mengemukakan usul untuk melucutkan
speaker, kemudiannya akan mencadangkan pengganti,” katanya yang pernah
menjadi orang kuat Anwar Ibrahim dan Wan Azizah Wan Ismail ketika era
reformasi dahulu.
Sebelum ini, dilaporkan PN mahu mencalonkan
Anggota Parlimen Pengerang Azalina Othman Said untuk menggantikan Nga
Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Terdahulu, semalam dilaporkan beberapa permohonan usul dihantar kepada Mohamad Ariff.
Antaranya
bagi memulakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin
Yassin, serta bagi memulakan undi percaya terhadap bekas perdana
menteri Dr Mahathir - yang telah ditolak Mohamad Ariff semalam.
Hari ini pula, Mohamad Ariff menerima usul yang dibuat Dr Mahathir, bagi mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin Yassin, dibuat di bawah Perkara 27 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Kata
Abdul Malek, sekiranya usul bagi menggantikan Mohamad Ariff dibuat oleh
PN, maka ia akan menjadi agenda utama persidangan Dewan Rakyat 18 Mei
nanti.
Tetapi, sekiranya PN gagal menang dalam pengundian
tersebut, katanya, kedudukan PN sebagai kerajaan akan tergugat kerana
rakyat akan dapat melihat bahawa gabungan itu tidak mempunyai majoriti
yang jelas.
“Saya berpendapat, kerajaan Muyidin akan elak
sedaya-upaya sebarang pengundian atas apa-apa urusan pun,” katanya, yang
turut berasakan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pun tidak
akan berjaya diadakan pada sidang yang akan datang.
“Saya tak
rasa begitu (undi tidak percaya diteruskan). Tentu kerajaan akan sabotaj
usul itu dengan menangguhkan sidang,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan