Oleh Fazleen Safina
Makanan, kesihatan, tempat tinggal perlu diurus oleh UNHCR

BANGI
– Pelarian Rohingya yang berada di negara ini perlu ditempatkan di satu
penempatan khas, kata Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM),
Hussin Awang Ngah.
Beliau berkata, hakikat sebenar seorang
pelarian adalah menuju ke negara lain atas budi bicara dan sifat
perikemanusiaan ketika mereka dalam kesusahan.
“Jadi, Rohingya dikategorikan sebagai pelarian, maka penempatan mereka perlulah seperti di Bangladesh.
“Jadi dari segi makanan, kesihatan,
tempat tinggal dan lain-lain, semuanya perlu diuruskan oleh Suruhanjaya
Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR), ” katanya ketika
dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Terdahulu, seramai 202 pendatang tanpa
izin (PATI) etnik Rohingya ditahan pada 5 April lalu di pantai
berhampiran sebuah pusat penginapan di Kampung Teluk Nibong, Langkawi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi
itu, kumpulan PATI terdiri 152 lelaki, 45 wanita, empat kanak-kanak
lelaki dan seorang perempuan ditahan pada kedudukan 1.2 batu nautika di
Barat Daya pantai berkenaan.
Ketika ditanya pendirian beliau mengenai
desakan netizen kepada kerajaan untuk mengusir keluar etnik Rohingya,
Hussin berkata, pihaknya tidak boleh mempertikaikan gesaan itu kerana ia
bergantung kepada pandangan masing-masing.
“Namun, dari segi perundangan, pihak berkuasa perlu bertegas. Kita juga ada perikemanusiaan dari segi budi bahasa.
“Malah, kita juga mengikut Standard
Operasi Prosedur (SOP) dan undang-undang mengenai bagaimana pergerakan
seseorang yang bergelar pelarian. Oleh itu, tidak timbul isu mereka akan
tuntut sesuatu daripada kerajaan.
“Mereka seolah-olah beranggapan sudah
menjadi rakyat Malaysia. Itu sebab mereka tuntut macam-macam hak. Kita
kena kembalikan semula status quo sebagai pelarian,” tegasnya.
Sebelum ini, kenyataan Presiden
Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhom),
Zafar Ahmad Abdul Ghani mengundang amarah rakyat negara ini apabila
mendakwa orang Melayu bodoh, selain menuntut hak sama rata masyarakat
Rohingya dengan rakyat Malaysia.
Pada masa sama, Zafar menafikan mengeluarkan kata-kata jelik seperti seperti yang dimuat naik di media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan