HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 September 2020

Pagar MN jangan roboh dimasuk makhluk perosak


MUAFAKAT
 Nasional (MN) perlu dipertahankan. Kerana ia terbentuk melalui keinsafan yang tulus ikhlas dari hati sanubari ahli kedua-dua parti PAS dan Umno. Kalau ada individu yang nak lompat pagar dan lari dari permuafakatan yang dah termeterai ini, itu mereka punya pasal. Namun ikatan MN mesti dipereratkan dan agendanya mesti diteruskan.

Perlu diingat jika pagar MN ini runtuh maka sekawanan makhluk perosak akan masuk kebun dan memusnah segala apa yang ada di dalamnya. Pemain-pemain utama dalam pasukan MN ini jangan lemah semangat dan putus asa kerana hanya di boooo oleh penyokong upahan lawan. Team Perikatan Nasional (PN) masih gagah. Pengadil pun belum tiup wisel penamat. Jangan rasa kita dah kalah hanya kerana kata-kata seorang pemain lawan yang kata kita kalah. Bukan kah kita sudah matang berpolitik?

PAS bersedia dengan semua jentera yang ada untuk mempertahankan MN waktu mana diperlukan. Kapten kedua-dua parti PAS dan Umno perlu mengasuh anak buah dengan kepatuhan dan walak yang tinggi. Kekalahan dalam PRU14 yang lalu sepatutnya sudah cukup menjadi pengajaran kepada kita.

Jangan sampai Allah ajar sekali lagi. Ingat… ajaran Allah kali kedua akan lebih mengaibkan dan menghinakan. Sebarang pengkhianatan dari luar atau dari dalam MN tetap merupakan pengkhianatan terhadap agama, ummat dan negara ini.

Oleh itu semua pihak perlu menumpukan perhatian terhadap agenda besar MN bukannya melayan perasaan atau suara-suara yang cemburukan kekuatan MN.

*USTAZ MOKHTAR SENIK - Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

#Sumber :  Harahdaily  

MR :   MN menerajui negara PRU-15

Ahli Parlimen Umno mahu ‘pertimbang pilihan’ meski dalam proses bincang bersama PAS, PPBM

 


PETALING JAYA:
Beberapa ahli Parlimen Umno dikatakan sedang mempertimbang pilihan untuk membubarkan Parlimen ketika perbincangan antara parti itu bersama PAS dan PPBM sedang berjalan.

Mereka juga mahu keputusan kukuh dibuat berhubung masa depan Umno sebelum pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, kata sumber kepada FMT.

Tiga ahli Parlimen Umno yang mempunyai kaitan rapat dengan pertemuan itu berkata, perbincangan adalah mengenai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mereka juga mahukan petunjuk lebih jelas bila pilihan raya akan diadakan.

Seorang daripada mereka memberitahu FMT, “sedang mempertimbangkan pilihan” kerana beberapa ahli Parlimen Umno sudah bersetuju Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri dan presiden Umno menjadi timbalannya.

Begaimanapun, beliau mengakui Muhyiddin mempunyai beberapa “nilai tambah” untuk memenangi pilihan raya.

“Rakyat akan membandingkan beliau dengan perdana menteri sebelumnya, Dr Mahathir Mohamad dan Najib Razak. Imej beliau jauh lebih baik,” katanya kepada FMT.

Namun, katanya, ramai ahli Parlimen Umno mungkin tidak menyokong belanjawan pada November sekiranya Muhyiddin tidak bersetuju dengan presiden Umno sebagai timbalannya atau jika beliau gagal memberi petunjuk bila pilihan raya kilat akan diadakan.

Ahmad Zahid Hamidi adalah presiden Umno ketika ini.

Muhyiddin akan hilang sokongan sekiranya Belanjawan 2021 ditolak di Parlimen, beliau kemudian akan meletak jawatan bersama Kabinet.

Oleh itu, katanya, beberapa ahli Parlimen Umno menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai alternatif untuk membuka jalan kepada pilihan raya.

“Perbincangan yang akan diadakan minggu ini mengenai masa depan Umno, PAS dan PPBM,” katanya.

Beliau berkata, Umno dan PAS sudah bersedia untuk pilihan raya kilat tetapi PPBM mungkin tidak mahu buat masa sekarang.

Ahli Parlimen Umno yang lain berkata, mereka juga akan membincangkan mengenai pembahagian kerusi dengan PPBM. “Sebilangan ahli Parlimen Umno berkata sekiranya mereka membenarkan Muhyiddin menjadi perdana menteri, maka mereka perlu mendapat lebih banyak kerusi untuk PRU15.

“Kami adalah ahli parti. Kami mahu Umno mempunyai kerusi sebanyak mungkin dan memiliki lebih ramai ahli parlimen Umno di Dewan Rakyat,” katanya, sambil menambah Umno hanya boleh memutuskan langkah seterusnya selepas Muhyiddin membuat keputusan.

Namun, seorang lagi ahli Parlimen Umno berkata mereka mahukan keputusan penting itu dibuat sebelum Anwar menghadap Agong.

“Selepas menghadap, Agong mungkin mahu bertemu Muhyiddin untuk meminta nasihatnya, kita mahu keputusan itu dibuat sebelum itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung pada 22 September.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, bagaimanapun berkata, majlis itu ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).#Sumber :  FMT    

MR :   Boleh difikirkan

PEMBERITAHUAN:

   IKUTI BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT '

UMNO Sebuah Perjuangan… Bangkit Biarpun Digoyah, Ditarah, Dipatah, Diratah

Pasca Pilihan Raya Negeri Sabah, proses penamaan Ketua Menteri menyaksikan pertembungan calon BN, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan calon PN, Datuk Hajiji Noor.

Hajiji akhirnya terpilih. Penyokong PN bersorak. Mereka menyumbang lebih kerusi DUN ke arah kemenangan GRS. Akar umbi UMNO/BN sekali lagi memendam kecewa dan rasa dikalahkan (‘defeated’) oleh PN.

Ramai telah lupa 26 bulan yang lalu, selepas BN memenangi cukup bilang kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri Sabah, rakan sekutunya UPKO telah berpaling tadah dan bermukah dengan Warisan.

Ramai juga telah lupa hanya 21 bulan yang lalu 5 Ahli Parlimen, 9 Ahli Dewan Undangan Negeri, 2 Senator serta 21 Ketua Bahagian UMNO Sabah telah berlaku khianat dan ‘keluar baris’ perjuangan.

Mereka yang sifar maruah dan tipis semangat juang ini bukan setakat mengkhianati UMNO, tetapi meninggalkan sekujur tubuh UMNO untuk berkubur tanpa bernisan.

Ada media tempatan menyifatkan “UMNO Sabah lumpuh”

Tidak mengapa, lapangkan dada dan sapu airmatamu, wahai pejuang sejati…

Bagai burung phoenix yang bangkit dari abu, UMNO Sabah tidak pantas menemui ajal. Ia dirawat oleh ahli akar umbi sehingga mampu bangun semula untuk memenangi 14 kerusi DUN pada PRN Sabah minggu lalu. UMNO Sabah sudah cukup bertenaga untuk mempasak kuda-kuda tetapi belum cukup gagah untuk bersilat olahraga. Memenangi 14 kerusi ‘is exceptionally good, but not good enough’ untuk menduduki kerusi Ketua Menteri.

Tidak mengapa, lapangkan dada dan sapu airmatamu, wahai pejuang sejati…

UMNO berjiwa amat besar apabila tidak menuntut semula kerusi-kerusi DUN yang dimenanginya dahulu dan membenarkan di antaranya Datuk Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias) dan Datuk Nizam Titingan (Apas) untuk mempertahankan kerusi-kerusi tersebut di atas tiket PN. Labanya dikaut PN dan Hajiji menjadi Ketua Menteri.

Tidak mengapa, lapangkan dada dan sapu airmatamu, wahai pejuang sejati…

Pohon UMNO boleh digoyah, batangnya boleh ditarah, pelepahnya boleh dipatah, buahnya boleh diratah namun akar tunjangnya akan tetap utuh menyemarakkan hayat perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

* Hasnal Rezua Merican -
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Selayang

Berkorban Demi Rakyat… Banyak Perkara BN/UMNO Boleh Pelajari – Ahmad Maslan

UMNO ONLINE


KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, banyak perkara yang boleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) pelajari dari Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ujarnya, pemimpin dan jentera yang gigih membantu di sana tentu ada pengalaman unik yang boleh dijadikan pedoman untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

“Sama ada kawasan kalah atau menang, muhasabah dan buat ‘post-mortem’ cari punca kalah menang,” katanya dalam ciapan menerusi Twitternya, hari ini.

Ujarnya, ada kawasan yang dijangka menang tetapi kalah kerana ada pelbagai gangguan.

“Ada jentera yang cukup baik, ada juga yang mesti diperbaiki. Ada kalah akibat salah orang, ada juga sebab salah sendiri, apapun UMNO/BN telah berjiwa besar dengan sanggup berkongsi demi rakyat untuk tewaskan Warisan-Dap dan lain-lain.”


 

Katanya, apabila disebut UMNO/BN berkorban sanggup berkongsi kuasa demi rakyat untuk tewaskan Warisan/Dap dan lain-lain dalam PRN Sabah, tidak semua setuju namun fakta sukar dipadamkan.

Beliau berkata demikian merujuk kepada fakta bahawa kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN), Karanan, Kabuk, Sulaman, Nabawan, Membakut, Kawang adalah DUN yang telah tiga penggal dimenangi BN, selain Kuala Penyu yang telah dua penggal di bawah BN. Ini termasuklah Bandau dan Pintasan yang merupakan DUN baru tetapi antara kawasan yang memang kubu kuat BN.

Dilaporkan, Sabtu lalu Parti Warisan tumbang sebagai kerajaan Negeri Sabah apabila majoriti kerusi DUN berpihak kepada BN dan PN yang kemudiannya membentuk kerajaan baru di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS). – UMNO Online

Hentikan Sandiwara Salahkan Pemimpin Tertentu, Undur Selangkah Bukan Bererti Kalah – Bung Moktar

UMNO ONLINE

 

KOTA KINABALU – “Saya berharap kepada pihak-pihak tertentu yang masih bersandiwara menyalahkan pemimpin tertentu dalam hal dan urusan Sabah, hentikanlah tindakan tersebut.”

Demikian tegas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan akan polemik politik tempatan dinoktahkan.

Katanya, semua pihak perlu berlaku adil dan jangan rugikan parti dengan agenda peribadi.

“Kita jernihkan keadaan bukan mengeruhkan lagi kedukaan kita dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru- baru ini. Duka dan pedihnya, UMNO Sabah yang merasainya, ‘kita undur selangkah ke belakang bukan bererti kalah, tetapi kita bersedia untuk melangkah jauh lagi ke hadapan’,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ketua UMNO Negeri terbabit dalam satu kenyataan, hari ini.

Ujarnya, beliau akan melakukan ‘post mortem’ untuk mencari sebab musabab dan punca beberapa kerusi yang ditandingi BN mengalami kekalahan.

“Kami juga akan membuat penambahbaikan demi memastikan BN dapat merampas semula kerusi-kerusi tersebut pada PRN akan datang,” ujarnya.

Sebelum itu beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang membantu kami di PRN Sabah baru-baru ini.

“Sesungguhnya PRN kali ini amat luar biasa daripada kelazimannya. Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai begitu banyak parti dan calon bebas yang bertanding dengan menggunakan pelbagai logo serta mendapat sokongan daripada pihak-pihak tertentu.

“Saya amat bersyukur, walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan ditambahi pula dengan tentangan daripada pelbagai pihak, BN masih mampu memenangi 14 Kerusi daripada 32 kerusi yang kita bertanding. Alhamdulillah daripada 14 kerusi yang kita menangi, 70 peratus daripadanya muka-muka baru.

“Saya juga memohon maaf kepada Datuk Seri Presiden kerana hasrat dan cita-cita beliau dan rakan-rakan yang berkehendakkan saya atau wakil daripada UMNO Sabah Menjadi Ketua Menteri tidak kesampaian dan jawatan Ketua Menteri memang menjadi harapan UMNO Sabah tetapi kami menyedari dan menginsafi dengan hanya memenangi 14 kerusi sahaja sukar kepada UMNO Sabah untuk menuntut jawatan tersebut.”

Dalam masa yang sama, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri, ahli Majlis Tertinggi UMNO dan negeri-negeri yang turun membantu di PRN Sabah.

“Saya amat terhutang budi kepada seluruh jentera BN dan Allah saja dapat membalas jasa dan budi sekalian,” katanya lagi. – UMNO Online

 

Kenyataan bersifat umum, tidak wajar ada yang tersinggung – Armada

Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hanya bersifat umum dan tidak menyentuh mana-mana pihak secara khusus, sama ada UMNO atau pun Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Armada Parti Perbumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, oleh itu adalah tidak wajar jika ada pihak yang tersinggung kerana isu legasi dan kes mahkamah yang memangkin perihal ‘trust deficit’ turut membebani pemimpin-pemimpin parti pembangkang.

“Dan imej kerajaan pasca PRU14 seharusnya menepati citra ‘Good Governance’ yang didambakan rakyat, bukan menepati kehendak elit politik semata dan inilah yang dimaksudkan oleh Ketua ARMADA Nasional sebegitu citra yang digarap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertekad khidmat demi rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Malah menurut beliau, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal dimanipulasi seakan ada jarum-jarum halus yang menikam kerana tidak mahu melihat muafakat antara parti Melayu melalui kerajaan Perikatan Nasional.

Tambah beliau, amat menyedihkan pada saat agenda penyatuan menjadi tunjang utama, ada segelintir pemimpin utama UMNO yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mengguris perasaan pihak lain.

“Ini tampaknya samada termakan dakyah jarum pemisah atau demi agenda ‘peribadi’ semata tanpa memikirkan nasib orang Melayu dan masyarakat Malaysia umumnya.

“Jika dinilai dari kenyataan-kenyataan yang dilemparkan beberapa pemimpin UMNO (saya yakin tidak mencerminkan keseluruhan UMNO), ARMADA malah kepimpinan BERSATU sebegitu utamanya Tan Sri Muhyiddin Yassin langsung tidak memperbesarkan hal dan kecoh untuk berpolitik sepanjang masa kerana melihat maslahat yang lebih mustahak; demi orang Melayu, rakyat Malaysia dan agenda penyatuan,” ujarnya.

Menurut Mohd Ashraf, beliau percaya perselisihan pendapat itu akanmengeratkan lagi hubungan antara semua demi agama, bangsa dan negara.

Tambah beliau, adalah penting untuk semua pihak melihat ke hadapan dan terus fokus bekerja demi rakyat yang menaruh harapan tinggi kepada kerajaan. – MalaysiaGazette

Anwar tidak tunjuk nama kepada rakan PH

MalaysiaGazette
MGF23092020_SIDANG-MEDIA-ANWAR-IBRAHIM_04-681x454
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khas di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

PETALING JAYA – Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah mendapat sokongan lebih 120 wakil rakyat untuk membentuk kerajaan, tetapi Presiden PKR itu tidak mendedahkan senarai nama itu kepada rakan seangkatan.

DAP dan Amanah juga dilaporkan tidak meminta untuk melihat nama-nama yang menyokong Anwar, tetapi senarai itu dikatakan tidak mengandungi wakil rakyat daripada Pas.

Sinchew Daily melaporkan, dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang diadakan pada Isnin, DAP dan Amanah telah melontarkan pandangan, malahan menyatakan syarat pembentukan kerajaan baharu, iaitu tidak menerima pemimpin UMNO yang dibelenggu kes rasuah seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami ada berbincang syarat sokongan kepada Anwar dan beliau juga bersetuju dengannya.

“Kami tidak akan bertoleransi dalam soal mempertahankan keadilan dan menentang rasuah,” kata sumber tersebut.

Menurutnya lagi, DAP dan Amanah menyatakan bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan parti, tetapi akan berbuat demikian dengan individu.

“Ini adalah seperti mereka menyertai Perikatan Nasional (PN) atas kapasiti individu, bukannya parti yang menyertai PN,” kata sumber.

Sementara itu, sumber juga berkata, wakil rakyat yang ingin bertukar haluan untuk memberi sokongan kepada Anwar juga tidak meletakkan apa-apa syarat.

“Mereka tidak dijanji jawatan dalam kerajaan atau menteri,” kata sumber itu. – MalaysiaGazette

Jangan ditanya bila PRU? – Muhyiddin

Norlaile Abd Rahman
MGF29092020_TOWNHALL-MAKMUR-BERSAMA_08-1-681x454
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjawab soalan hadirin pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR- “Jangan ditanya bila pilihan raya tetapi kalau Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya, dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) akan diteruskan,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelasnya, meskipun WKB 2030 direka dan dilancarkan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan namun beliau tetap meneruskan dasar tersebut kerana ia adalah satu polisi yang bagus untuk rakyat dan negara.

Justeru beliau meminta rakyat untuk terus menyokong PN bagi memastikan dasar-dasar yang memberi kebaikan serta menyelesaikan banyak masalah rakyat dapat diteruskan.

“Persoalannya di sini adalah pimpinan lain pada masa hadapan komited atau tidak (untuk menjayakan WKB 2030).

“Ini bukan sebuah dasar yang boleh menyelesaikan semua masalah tetapi ianya mampu mengatasi kebanyakan masalah (yang dihadapi rakyat).

“Jadi, ianya bukan satu dasar yang kecil namun begitu cabarannya perlu ditanggung oleh kita.

“Kalau PN, kami sanggup memikul tanggung jawab besar ini. Komitmen kami total bukan separuh masak,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Perdana Menteri menjawab soalan penonton pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama Kuala Lumpur 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini yang bertanya apakah jaminan WKB 2030 akan diteruskan sekiranya berlaku cabaran politik atau pertukaran pimpinan negara sedangkan ia sebuah dasar yang bagus.

WKB 2030 adalah sebuah pelan hala tuju kerajaan dalam menyediakan taraf hidup selesa kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, latar belakang dan kawasan.

Ianya adalah sebuah pelan bertempoh 10 tahun.-MalaysiaGazette

Hakikat Keputusan PRN Sabah, BN Masih Parti Pilihan Rakyat – Penganalisa Politik

UMNO ONLINE


KUALA LUMPUR – Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, walaupun ramai yang mempertikaikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah namun hakikatnya keputusan PRN itu mengesahkan Sabah masih lagi kubu kuat BN dan parti ini masih pilihan rakyat.

Ini kerana jelas beliau, keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) juga menunjukkan BN menang di Sabah namun mandat tersebut telah dirampas oleh Warisan.

“Kemenangan BN + PN sekali lagi membuktikan BN masih kuat di Sabah, sama seperti di Pahang dan Perlis. Kemenangan ini bukan kemenangan yang biasa kerana terdapat isyarat jelas bahawa PRU-15 perlu disegerakan bukan sekadar mengembalikan mandat tetapi juga untuk membina keyakinan kepada kestabilan politik negara.

“Kita tidak boleh lagi menunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU-15 kerana rakyat semakin bosan dengan ancaman politik parti pembangkang yang sentiasa mencari peluang untuk meruntuhkan kerajaan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tawfik, berdasarkan isyarat kemenangan di sabah dan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada kerajaan untuk rakyat maka inilah masa paling tepat untuk diadakan PRU-15.

“Sekarang ini masa terbaik dan ia memihak kepada parti yang memerintah berdasarkan pelbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat.

“Walaupun ada yang berpendapat PRU nanti menjadi penyebab penyebaran COVID-19 namun saya yakin dan percaya, kerajaan bakal mengambil langkah lebih tegas dalam membendung penularan COVID-19.

“Mahu tidak mahu, COVID-19 atau tidak, kerajaan pasti akan dibubarkan bila tiba masanya. Cuma cepat atau lambat sahaja,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Pasca PRN Sabah: Majoriti Yang Di Perintah Minoriti – Dr Najmil

UMNO ONLINE


KUALA LUMPUR – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata UMNO merupakan sebuah parti yang mempunyai kerusi terbesar dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Katanya, secara praktisnya, parti yang memiliki kerusi terbanyak adalah parti yang dominan dalam membuat keputusan.

“Perlu diingati… bilangan kerusi UMNO ini mewakili sebahagian besar rakyat Malaysia dan menunjukkan suara kolektif, tetapi dalam PN, UMNO tidak menjadi dominan malah dilihat sering tunduk dan terpaksa akur kepada Bersatu.

“Adakah kerana Perdana Menteri daripada parti Bersatu? Jawatan-jawatan kanan di kabinet turut didominasi Bersatu, walhal parti ini adalah minoriti dalam kerajaan PN.

“UMNO menyokong Bersatu hanya untuk menyelamatkan negara daripada krisis politik yang dicipta Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Bersatu juga. Sebab itulah kerajaan PN ini tidak stabil dan sentiasa bergolak,” katanya melalui satu hantaran di Facebook,hari ini.

Justeru, kata Dr Najmil lagi, adakah nasib UMNO akan terjadi seperti Dap dan PKR yang mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan PH lalu kerajaan itu diruntuhkan sendiri oleh Perdana Menteri daripada Bersatu.

“Praktis pemerintahan seperti ini adalah tidak baik untuk negara dan hanya merugikan rakyat Malaysia. Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya lagi.

Pemimpin Bersatu yang wujud pada hari ini juga datang dari mandat UMNO dan selepas Pilihan Raya Umum (PRU)-14 mereka melompat dan menyertai Bersatu untuk menyokong kerajaan PH. Sebab itulah kerusi ini perlu diambil balik oleh UMNO pada PRU-15, ujarnya.

“Jadi tidak usahlah hendak mendabik dada kerana UMNO punyai jasanya dalam mengembalikan sokongan rakyat. Isi lemak dapat ke orang, tulang bulu pulang ke kita,” tegasnya – UMNO Online

Tak tamakkan kuasa, sikap Jeffrey Kitingan wajar dicontohi

Athirah Huda Zalhe

Kuasa bukan jadi matlamat, apa penting adalah perjuangan

BANGI– Tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletakkan jawatan dalam Kerajaan Persekutuan berikutan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, wajar dicontohi.

Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah memuji tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu, dan menyifatkan beliau pemimpin yang tidak tamakkan kuasa.

Jeffrey, 72, meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya hari ini, berikutan pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam Kabinet baharu kerajaan negeri itu.

“Tindakan ini menunjukkan beliau tidak tamak kuasa. Kuasa bukan menjadi matlamatnya. Apa yang penting adalah perjuangan.

“Lagi satu, mungkin beliau mahu lebih fokus tugas dan urusan negeri yang jauh lebih penting, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh abangnya ketika menjadi Ketua Menteri suatu ketika dahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jeffrey antara enam pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengangkat sumpah jawatan masing-masing dalam Kabinet negeri di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Keningau adalah satu-satunya calon mewakili Perikatan Nasional (PN), yang mempunyai jawatan dalam Kabinet Persekutuan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Prof Mohd Ridhuan Tee berkata, sudah sampai masanya untuk rakyat mencontohi sikap pemimpin seperti Jeffrey.

“Kita terus berebut kuasa. Kuasa menjadi matlamat sehingga hal-hal berkaitan agama dan anak bangsa terkebelakang.

“Paling ditakuti, kita terus lemah dan lemah. Kuasa menjadi matlamat bukan alat,” katanya.

Selasa, 29 September 2020

UMNO, PPBM bersatulah, jangan sebab dendam ‘nasi jadi bubur’

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Turunkan ego, fikir masa depan yang lebih penting dari masa kini

INSAFLAH wahai umat Islam, hentikan segera pertikaian sesama sendiri, demi masa depan anak bangsa dan tanah air tercinta ini

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semakin jelas menunjukkan bagaimana kedudukan sebenar penyatuan umat Islam. Bertambah kuat, atau sebaliknya bertambah lemah. Jawapannya, jelas semakin lemah dan mungkin menuju kehancuran jika tidak dibendung.

Saya tidak pernah risaukan ultra kiasu kerana mereka memang bersatu, walaupun nampak ada sedikit ‘berpecah’. Tetapi mereka tetap satu. Soalnya kita, umat Islam, terutama parti-parti Melayu UMNO dan PPBM.

Saya tidak pernah risaukan PAS (juga BERJASA), kerana mereka sudah ‘sedar’ akan hala tuju. Tetapi belum lagi untuk UMNO dan PPBM.

Sehingga sudah mencapai kemenangan pun dalam PRN Sabah, penentuan siapakah yang sepatutnya menjadi Ketua Menteri, antara calon PN (Hajiji) dan BN (Bung Moktar), masih berbelah bahagi, sehinggakan sukar untuk Tuan Yang Terutama (Gabenor) untuk membuat keputusan.

Dibimbangi, akhirnya nanti, disebabkan oleh pertikaian yang tidak berkesudahan, ultra kiasu yang berkuasa walaupun tidak mendapat majoriti.

Insaflah…

Saya tidak boleh bayangkan, jika diumumkan Pilihan Raya Umum (PRU15) tidak lama lagi. Melihat kepada pertembungan antara PN dan BN di Sabah, tidak mustahil pertembungan ini akan berlaku hebat di Semenanjung, terutama antara UMNO dan PPBM. PAS turut juga akan menuntut tetapi mungkin tidak sehebat UMNO dan PPBM.

UMNO selaku parti yang paling senior dan paling banyak mendapat kerusi, sudah tentu mahukan lebih banyak kerusi.

PPBM (Bersatu) meskipun masih baharu, tidak punya kekuatan akar umbi, tetapi lebih banyak bersandar kepada Perdana Menteri (PPBM), pasti tidak mahu mengalah kepada UMNO.

Saya menaruh harapan yang tinggi, untuk PAS dan BERJASA boleh menjadi moderator masalah yang dihadapi antara UMNO (BN) dan PPBM (PN). Jika ‘perbalahan’ antara kedua parti ini, yang asalnya satu (UMNO), tidak dapat diselesaikan, tidak mustahil, ultra kiasu akan kembali berkuasa.

Jika itu terjadi lagi, selepas ini kita hanya akan mengigit jari. PRU14, jatuh, bangun kembali. PRU15, jika jatuh lagi, memang tidak akan bangun-bangun lagi, kerana ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat.

Jika UMNO dan PPBM, boleh bersatu, tidak mustahil Selangor akan jatuh, begitu juga Pulau Pinang.

Pokoknya, parti-parti Melayu (Islam) mesti bersatu. Jika PAS yang begitu lama berseteru dengan UMNO pun boleh bersatu atas kepentingan agama, bangsa dan negara. Kenapa UMNO dan PPBM, yang asalnya PPBM daripada UMNO, tidak boleh bersatu. Semua ini kerana EGO tinggi dan dendam tidak terbalas. EGO, EGO, EGO.

Lupakanlah, fikirkanlah soal masa depan anak bangsa. Bersatulah. Kelakar sangat melihat, dalam meraikan kemenangan PRN Sabah dua hari lepas, PN berada di tempat lain, manakala UMNO (BN) berada di tempat yang lain.

Kelakar sangat melihat, dua-dua calon Ketua Menteri mengadap TYT daripada parti ‘muafakat’ yang sama. Musuh-musuh melihat sahaja dan sedang mengatur strategi

Justeru, segeralah mencari ubatnya. Penyelesaiannya.

Apakah asas dan terma kepada penyatuan ini?

Pertama, letakkan kepentingan agama (Allah) mengatasi segala-galanya. Tidak ada yang lebih mulia dalam kehidupan, melainkan dengan meletakkan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan apabila berlaku pertikaian. Peringatan Allah SWT ini jangan dilupakan sama sekali.

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.(Al Imran:103)

“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.”(An-Nisa’ : 59).

Kedua, buang segera ego jauh-jauh. PPBM jangan terlalu ego hanya kerana PM adalah daripada partinya. Percayalah, akar umbi PPBM tidak kuat, bergantung kepada UMNO (PAS) untuk menggerakannya pada PRU15 akan datang

Ketiga, UMNO selaku parti yang paling senior, hendaklah bertindak secara hikmah dan matang. Saya tidak boleh bayangkan jika UMNO sanggup bekerjasama dengan ultra kiasu bagi menjatuhkan pimpinan PPBM. Jika itu berlaku, ia adalah satu malapetaka.

UMNO mesti mengakui dan menerima kewujudan PPBM kerana ia memang tidak dapat disangkal lagi. Ingat! Tertubuhkan PPBM adalah disebabkan oleh kelemahan dalam UMNO itu sehingga menyebabkan perpecahan berlaku. Terimalah hakikat ini.

Saya tidak nafikan UMNO perlu diberikan kerusi yang paling banyak berbanding rakan-rakan parti dalam PN. Perkara ini perlu dilakukan dengan strategi yang paling bijaksana.

Keempat, siapakah musuh kita yang sebenar? Perkara ini perlu jelas. UMNO dan PPBM, adalah sesama saudara, seagama. Air dicincang tidak akan putus. Isunya hari ini, siapa memerlukan siapa? Jawapannya, tidak siapa memerlukan siapa, tetapi sebenar adalah apa?

Apa yang benar, apa yang salah, yang telah dilakukan selama ini. Buatlah muhasabah dengan segera sebelum terlambat.

Kelima, PAS dan BERJASA mesti segera, bertindak untuk menjadi moderator kepada kedua parti yang sama yang sedang berseteru ini.

Jika tidak boleh juga bersatu, maka rakyat Malaysia mungkin tidak ada pilihan lain, melainkan memilih PAS dan BERJASA untuk menyelamatkan negara ini.

Keenam, ingatlah, hidup ini tidak kekal lama, kuasa dan semua yang ada hanya sementara. Tidak ada siapapun yang boleh menongkat langit. Perkiraan akhir kita, mahu ke syurga atau neraka. Syurga sudah terbentang luas, kenapa neraka yang dicari.

Coretan ini mungkin nampak sinis dan kelakar, tetapi semua itu tidak mustahil. Gerakan menyatukan ummah ini mesti dilakukan segera sebelum nasi menjadi bubur.

Tidak ada gunanya lagi menyesal jika sudah menjadi bubur walaupun menangis air mata darah sekalipun.

Sekali lagi, PRN Sabah, tahniah kepada yang menang, harap tidak ada lagi katak-katak yang akan melompat. Buanglah sifat haiwan ini, masukkan sifat manusiawi. In shaa Allah, kejayaan pasti akan bersama.

Shafie perlu telan pahit hakikat kekalahan

 SUARA MERDEKA

Setakat hari ini Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal belum secara rasmi menerima kekalahan di tangan Perikatan Nasional pada pilihan raya negeri yang baru berakhir.

Memang bukan mudah untuk menelan dan menerima hakikat beliau telah tersalah langkah dan akhirnya kehilangan kuasa.

Jika Shafie tahu dia akan kalah, sudah pasti beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri dan mengadakan pilihan raya negeri tempoh hari.

Tan Sri Musa Aman baharu saja gertak dengan dakwaan memiliki sokongan cukup untuk membentuk kerajaan, Shafie terus melatah.

Orang-orang Shafie melenting apabila dianggap salah percaturan dari awal apabila membubarkan kerajaan negeri tempoh hari.

Lantas setelah kalah Shafie dikatakan berusaha bermain kotor dengan memancing pemimpin lawan untuk bersekongkol dengannya membentuk kerajaan, tetapi gagal.

Walaupun portal berita Malaysiakini memetik sumber bahawa Shafie menafikan menggerakkan inisiatif itu, tetapi ia ibarat cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru.

Jadi Shafie perlu tampil dan menjadi anak jantan menerima kenyataan kekalahan dan bangkit semula dan bukan hanya jurucakap yang tampil berbicara.

Dalam hal ini Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuktikan beliau lebih jantan ketika menerima kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu.

Beliau tampil dan memberi ucapan kepada rakyat Malaysia dan lihatlah tidak sampai dua tahun Barisan Nasional kembali berkuasa.

Gabungan Warisan dan beberapa parti rakannya gagal mengekalkan kerajaan Sabah pada PRN Sabtu lalu apabila memenangi 32 kerusi daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula memperoleh 38 kerusi. Jumlah kerusi yang diperlukan untuk mendapat majoriti di DUN Sabah ialah 37.

Tiga wakil rakyat bebas yang menang dalam PRN itu kini menjadi penyokong GRS.

Terdapat spekulasi Mohd Shafie berusaha untuk menarik sokongan wakil rakyat di pihak lawan, manakala PBS mendakwa ada Adunnya “diganggu” oleh Warisan agar menyertai mereka.

Bagaimanapun, sumber Warisan Plus menafikannya.

Pada masa sama ada juga dakwaan wujud usaha untuk mengajak Adun Warisan Plus agar berpaling tadah, namun Mohd Shafie mendesak mereka untuk bertahan dan “terus berjuang”.

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, wakil rakyat Luyang yang mempertahankan kerusi berkenaan, Phoong Jin Zhe meminta maaf atas kekalahan Warisan Plus.

“Saya minta maaf sangat-sangat kerana kami belum dapat mempertahankan Sabah untuk anda semua.

“Saya akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan, lantang dan progresif,” kata wakil DAP itu.

Walaupun kembali ke “zaman kegelapan”, Phoong mengatakan Warisan Plus akan terus memberikan harapan kepada seluruh rakyat.

PEMBERITAHUAN:

  IKUTI BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT '

Shafie akur gagal raih sokongan tapi takkan 'pikat' Adun lawan

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal belum .secara rasmi belum mengaku kalah dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, namun kata sumber, dia tidak akan menggerakkan usaha mengajak Adun lawan berpaling tadah.

Kata sumber itu, kebanyakan Adun Warisan Plus sudah menerima hakikat bahawa mereka kini berada di barisan pembangkang.

"(Shafie dan Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin) telah berhubung.

"Dia (Shafie) tahu yang dia tidak akan mendapat nombor (sokongan majoriti).

"Shafie tahu mengenai perkara ini, dan dia tidak berniat untuk membeli (Adun) atau (mendapatkan sokongan dengan) cara lain, ini dapat saya sahkan," kata sumber yang juga Adun Warisan Plus itu kepada Malaysiakini.

Gabungan Warisan dan beberapa parti rakannya gagal mengekalkan kerajaan Sabah pada PRN Sabtu lalu apabila memenangi 32 kerusi daripada 73 kerusi DUN Sabah.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang membabitkan BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pula memperoleh 38 kerusi. Jumlah kerusi yang diperlukan untuk mendapat majoriti di DUN Sabah ialah 37.

Tiga wakil rakyat bebas yang menang dalam PRN itu kini menjadi penyokong GRS.

Tetap mainkan peranan berkesan

Terdapat spekulasi Mohd Shafie berusaha untuk menarik sokongan wakil rakyat di pihak lawan, manakala PBS mendakwa ada Adunnya "diganggu" oleh Warisan agar menyertai mereka.

Bagaimanapun, sumber Warisan Plus menafikannya.

"Ini tuduhan, (tetapi) ada tekanan daripada masyarakat sivil (agar PBS melompat), mereka mahu PBS (bersama Warisan Plus)," dakwanya.

Pada masa sama ada juga dakwaan wujud usaha untuk mengajak Adun Warisan Plus agar berpaling tadah, namun Mohd Shafie mendesak mereka untuk bertahan dan "terus berjuang".

Sumber itu berkata Mohd Shafie mungkin akan mengeluarkan kenyataan hari ini bagi mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor yang sudah rasmi dilantik sebagai ketua menteri.

Ditanya mengenai apa perancangan akan datang Warisan Plus, sumber itu berkata mereka akan terus bekerja sebagai pembangkang.

"Saya sendiri mengakui bahawa saya akan terus bekerja sebagai pembangkang, banyak wakil tahu bahawa (kita) sekarang akan melakukan kerja pembangkang.

"Ini jelas benar, tidak kira seseorang mengakui atau tidak," kata sumber itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, wakil rakyat Luyang yang mempertahankan kerusi berkenaan, Phoong Jin Zhe meminta maaf atas kekalahan Warisan Plus.

"Saya minta maaf sangat-sangat kerana kami belum dapat mempertahankan Sabah untuk anda semua.

"Saya akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan, lantang dan progresif," kata wakil DAP itu.

Walaupun kembali ke "zaman kegelapan", Phoong mengatakan Warisan Plus akan terus memberikan harapan kepada seluruh rakyat.

Setiausaha Hadi titip nasihat buat 'kekanda Asyraf Wajdi'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman, hari ini memberi 'nasihat mesra' kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak mengungkit-ungkit isu pengorbanan parti.

Kata Syahir, jika mahu mengungkit, PAS lebih banyak boleh melakukan hal itu berbanding Pemuda Umno.

"Kekanda, ini bukan masa untuk mengungkit.

"Jika mahu diungkit, orang PAS lagi banyak boleh mengungkit: berkorban harta, jiwa, tenaga, dan maruah, namun segalanya tidak lagi berbangkit," katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Syahir menambah ada banyak kewajipan yang perlu dilaksanakan sedangkan waktu yang tersedia adalah terhad.

Katanya lagi, dia juga bersetuju bahawa Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melakukan kesilapan semasa mengulas isu semasa politik negara,

Ekoran kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu, Wan Ahmad Fahysal mendakwa Perikatan Nasional (PN) tidak dibebani dengan isu legasi atau defisit kepercayaan berbanding parti lain kerana ia masih baru.

Kata timbalan menteri belia dan sukan itu lagi, kekuatan PN banyak terkumpul kepada pengerusinya, Muhyiddin Yassin yang disifatkannya tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama sehingga disayangi rakyat.

Ingatan agar tidak melampau

Walaupun tidak menyatakan secara jelas, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal itu secara tidak langsung memperlihatkan BN menghadapi isu keyakinan rakyat serta dibayangi skandal.

Untuk rekod beberapa pemimpin Umno sedang dibicarakan atas pelbagai dakwaan, manakala bekas presiden parti itu, Najib Razak, sudah disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Komen Wan Ahmad Fayhsal itu mendorong Asyraf Wajdi memberi komen balas.

Kata Asyraf Wajdi Umno sudah cukup banyak berkorban untuk Bersatu ketika parti serpihan berkenaan pada hakikatnya memiliki jumlah kerusi wakil rakyat yang sedikit.

Kata Asraf Wajdi, dalam keadaan begitu pun Umno membantu mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Hal yang sama berlaku di Perak dan Sabah apabila pemimpin Bersatu dipersetujui menjadi menteri besar atau ketua menteri walaupun bilangan Adun Umno lebih ramai.

Oleh itu Asyraf Wajdi mengingatkan Wan Ahmad Fahysal supaya jangan melampau kerana ahli Umno juga mempunyai maruahnya.

Untuk rekod, PAS memeterai persefahaman secara rasmi dengan Umno melalui Muafakat Nasional dan kemudian menyertai PN yang dipimpin Bersatu. Umno pula menolak untuk menjadi anggota PN.

Kata Syahir, Asyraf Wajdi perlu berpandangan jauh ke hadapan dan pada masa sama merapatkan hubungan "demi masa depan negara".

"Ayuh pandang ke hadapan. Rapatkan saf, kukuhkan perpaduan. Buktikan keinsafan. Inilah jiwa besar PAS," katanya.

Pendaftaran Pejuang perlu pindaan

Mukhriz Mahathir bersama Maszlee Malik (kiri) dan Marzuki Yahya, 
menunjukkan salinan permohonan pendaftaran Pejuang pada Ogos lalu.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Jawatankuasa Penubuhan Pejuang Amiruddin Hamzah berkata, beberapa pindaan perlu dibuat ke atas permohonan pendaftaran parti itu yang diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 19 Ogos lalu.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan JPPM pagi tadi.

“Pindaan tersebut adalah berkaitan isu teknikal kecil yang akan dilakukan dengan segera.

“Saya yakin pendaftaran Pejuang akan segera mendapat kelulusan setelah pindaan tersebut dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, parti baharu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu menghantar permohonan pendaftaran kepada JPPM.

Anak Mahathir, Mukhriz berkata permohonan diserahkan kepada Ketua Pengarah JPPM Masyati Abang Ibrahim.

Beliau berkata, JPPM akan meneliti butir permohonan untuk memastikan ia mematuhi syarat ditetapkan bawah Akta Pertubuhan.

Sebelum ini, Mahathir yang juga bekas pengerusi PPBM berkata, beliau akan menubuhkan sebuah parti Melayu baharu yang bebas kerana parti lamanya lari daripada perjuangan asal.

Ahli politik veteran berusia 95 tahun itu pernah berkata, beliau mungkin menyertai parti sedia ada atau menubuhkan parti baharu.

Mahathir berkata, beliau dan bekas pemimpin PPBM lain termasuk Mukhriz, Maszlee Malik dan Marzuki Yahya perlu menubuhkan parti baharu untuk melawan rasuah kerana parti Melayu lain menyeleweng daripada perjuangan asal dan mementingkan wang serta kuasa.

Bukti kesepakatan GRS – Muhyiddin

 Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM

Tan Sri Muhyiddin Yassin berjumpa calon Bersatu DUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum Proses Penamaan Calon Pilihan Raya Sabah di Ibu Pejabat Bersatu Tuaran pada 12 September 2020. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersetuju mencalonkan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu membuktikan kerjasama erat antara parti-parti dalam gabungan itu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ia sekali gus mencerminkan sokongan rakyat kepada GRS yang terdiri daripada PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

“Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah.

“Saya juga berdoa semoga Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Hajiji yang juga Pengerusi PN Sabah menerima sokongan sebulat suara untuk dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu, esok.

Pada PRN Sabah Sabtu lalu, GRS berjaya memenangi 38 kerusi berbanding Warisan Plus mendapat 32 kerusi manakala Bebas (tiga kerusi). – UTUSAN ONLINE

Tiada kenyataan isu peralihan kuasa dari Anwar

120200883_10160988716801840_5685364208115526178_o-1-681x455
Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR itu hanya menyatakan dirinya mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis Presiden PH sahaja.- Gambar FB

KUALA LUMPUR – Selain ‘melarikan diri’ daripada wakil media, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak ada menyebut sebarang ulasan mengenai peralihan kuasa dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan dan Presiden PKR itu hanya menyatakan dirinya mempengerusikan Mesyuarat Bulanan Majlis Presiden PH sahaja.

‪”Pelbagai perkara dibincangkan terkait hal ehwal semasa negara serta usaha mengembalikan mandat rakyat,” tulisnya ringkas.

Beliau juga memuat naik gambar semasa mesyuarat yang berlangsung petang tadi dengan kehadiran pimpinan parti komponen PH yang lain.

MGF28092020_MESYUARAT-PH_03-1024x683
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail 
selepas hadir mesyuarat Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan 
(PH) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL

Sebelum itu, puluhan wakil media menunggu di luar Ibupejabat PKR di Tropicana dekat sini bagi mendapatkan susulan kenyataannya yang mendakwa beliau sudah mendapat mandat membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun Anwar dikatakan keluar ikut pintu belakang di bangunan berkenaan bagi melarikan diri daripada diasak wakil-wakil media.

MGF28092020_MESYUARAT-PH_08-1024x683
Presiden Amanah, Mohamad Sabu selepas hadir mesyuarat 
Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan (PH) di Ibu Pejabat PKR, 
Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL

Selain itu, pemimpin pembangkang seperti Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan lain-lain enggan mengulas ketika ditemui wakil media di luar Ibupejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bakal tubuh kerajaan, tunggu perkenan Agong

Shafie ucap terima kasih, enggan ulas senario politik Sabah

MGF28092020_SHAFIE-APDAL04-681x454Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyapa sekumpulan penyokong yang berkumpul di pekarangan kediamannya di Rumah Yayasan Sabah, Likas, Sabah. foto HAZROL ZAINAL

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengunci mulutnya daripada mengulas panjang mengenai perkembangan politik terkini di negeri itu.

Beliau kelihatan tenang dan hanya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang menyokongnya.

Dalam masa yang sama beliau memberi jaminan Warisan akan terus berkhidmat untuk rakyat. 

“Terima kasih banyak atas sokongan semua pihak, kepada rakyat Sabah. Kita berkhidmat kepada rakyat,” katanya ringkas sebelum masuk semula ke kediamannya di sini hari ini.

Ditanya mengenai pendirian dan rancangan seterus Warisan sejurus Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menamakan Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, Mohd Shafie mengulangi ucapan kasihnya kepada rakyat.

“Terima kasih banyak,” katanya lagi.

Mohd Shafie juga tidak menjawab soalan sama ada beliau akan ke Istana Negeri dalam masa terdekat seperti yang ditularkan.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan  lebih tiga jam dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan di kediamannya.

Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini ditewaskan oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Warisan meraih 32 kerusi manakala GRS 38 kerusi DUN negeri berkenaan.

GRS hari ini menamakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri, dan beliau dijangka akan mengangkat sumpah pada esok.-MalaysiaGazette

Kalah PRN, naib presiden Warisan letak jawatan presiden Safa

 Willie Jude

Peter Anthony mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak 
Sabah (Safa) berkuatkuasa serta-merta.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan Peter Anthony mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau dipercayai membuat keputusan itu berikutan kejatuhan kerajaan Warisan Plus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

“Dengan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik, saya rasa perlu berehat buat sementara waktu.

“Oleh itu, saya mahu umumkan peletakan jawatan sebagai presiden SAFA berkuatkuasa serta-merta hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Peter yang memenangi kerusi DUN Melalap pada PRN lalu memegang jawatan presiden Safa sejak penghujung 2018.

Kemasukan Peter ke dalam persatuan itu membuka lembaran baru buat skuad Sabah apabila menjuarai Liga Perdana tahun lalu, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super, musim ini.

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu sebelum ini juga berjaya membebaskan Safa daripada beban hutang jutaan ringgit yang diwarisi daripada peneraju sebelumnya.

“Saya telah cuba lakukan yang terbaik dan termampu. Saya harap Safa akan terus maju jaya di bawah presiden baru selepas ini.

“Krisis Covid-19 sejak Mac tahun ini telah menjejaskan perancangan kita untuk pembangunan Safa kerana saingan untuk skuad bawah 21 (Piala Presiden) dan bawah 19 tahun (Piala Belia) dibatalkan.

“Begitu dengan pembentukan pasukan senior, bukan mudah untuk bangkit selepas setengah tahun saingan Liga Super berehat tetapi Sabah sudah kembali dengan kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Likas, malam tadi,” katanya.

Peter berkata, beliau meninggalkan persatuan itu dalam keadaan baik dan berharap ia dapat diteruskan dan dimantapkan lagi oleh presiden baru nanti.

Tarik balik sokongan kepada Muhyiddin jika KM Sabah dari PPBM, kata Pemuda Umno

Muhyiddin Yassin berkempen untuk ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (tengah) semasa 
pilihan raya.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Umno mendesak supaya Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sekiranya ketua menteri Sabah yang baru dilantik dari PPBM.

Dalam catatan di Facebook, Nazir Hussin Akhtar Husin yang merupakan pemimpin Pemuda Umno Titiwangsa berkata, persetujuan dicapai sebelum pilihan raya negeri pada Sabtu bahawa calon BN akan dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Beliau berkata, janji itu sebagai balasan kerana melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi oleh ahlinya dalam pilihan raya lalu kepada Adun yang melompat parti untuk menyertai PPBM.

Perikatan Nasional pimpinan PPBM menang 17 kerusi, sementara BN memperoleh 14 kerusi.

Ketua Pemuda Umno Titiwangsa Nazir Hussin Akhtar Husin.

“Ini dijadikan alasan untuk melantik ketua menteri dari PPBM. Namun kalau perkongsian ini tidak menghasilkan keadilan, maka apa guna perkongsian ini?,” katanya merujuk kepada pelantikan menteri besar Perak dari PPBM walaupun parti itu hanya mempunyai 8 kerusi berbanding BN 25 kerusi.

Katanya, jika PPBM mengingkari perjanjian Sabah, adalah wajar BN menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya umum.

“Ini bukan soal UMNO tamak kuasa atau tidak mahu berkongsi kuasa. Umno tidak sombong, namun jangan pula sampai dibuli membuta tuli,” katanya.

Warisan memenangi 29 kerusi, PN 17, BN 14, PBS 7, calon Bebas 3, PKR 2 dan Upko 1 dalam pilihan raya negeri Sabah Sabtu lepas.

Gabungan GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS mengisytiharkan kemenangan selepas memperoleh 38 kerusi.

Terima kasih sokong Hajiji, kata Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berdoa semoga Sabah terus 
kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bersetuju mencalonkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri Sabah yang baharu.

Beliau berkata, persepakatan itu membuktikan kerjasama erat parti bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu, mendapat sokongan rakyat Sabah.

“Saya sangat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah.

“Saya juga berdoa semoga Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini GRS menamakan Hajiji sebagai calon ketua menteri dan beliau dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Negeri pagi esok.

Pakatan itu terdiri daripada PN, BN dan PBS, memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN pada PRN Sabtu lalu untuk memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.

Daripada 38 kerusi itu, PN menang 17 kerusi, BN (14) dan PBS (7). Warisan Plus pula yang terdiri daripada Warisan, DAP, PKR dan Upko, memenangi 32 kerusi.

Pemuda Umno ingatkan PPBM jangan angkuh

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ahli Umno juga ada maruah 
dan tidak selamanya parti itu boleh mengalah.

PETALING JAYA: Pemuda Umno mengingatkan PPBM supaya tidak angkuh selepas parti itu mengalah berhubung calon ketua menteri Sabah yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Hari ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menamakan Hajiji Noor daripada PPBM sebagai calon ketua menteri dan beliau dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Negeri pagi esok.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ahli Umno juga ada maruah dan tidak selamanya parti itu boleh mengalah.

“Waktu nak selamatkan kerajaan persekutuan, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 43 ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada PPBM yang hanya ada 6 + 15 (ahli Parlimen lompat dari Umno) untuk mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai PM (perdana menteri)

“Waktu nak tubuhkan kerajaan Perak, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 25 Adun berjiwa besar, tetap mengalah kepada PPBM yang hanya ada 4 kerusi untuk mengangkat Ahmad Faizal Azumu sebagai MB (menteri besar).

“Waktu nak tubuhkan kerajaan Sabah, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 14 Adun berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada PPBM yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Hajiji sebagai KM (ketua menteri),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, dalam bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas.

“Biarpun tidak diharap sebarang penghargaan mahupun pujian, saya tetap tabik hormat kepada seluruh jentera Umno-BN di akar umbi yang bekerja keras bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan turut membantu memenangkan calon PPBM atas bendera PN di kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat Umno-BN hampir 30 tahun,” katanya.

Asyraf berkata demikian sebagai respons terhadap Ketua Pemuda PPBM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyatakan rakyat memilih PN disebabkan gabungan itu tidak dibebani dengan isu masa lalu.

“Perikatan Nasional tidak dibebani dengan isu legasi, ‘trust deficit’ kerana ianya masih baru dan segar. Kekuatannya banyak terkumpul pada Muhyiddin Yassin yang kita tahu tidak ponggah, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama asalkan matlamat utama dalam menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah itu tercapai,” katanya

Isnin, 28 September 2020

PBS dakwa dihubungi lawan, ditawarkan wang dan jawatan

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (dua dari kiri) dan Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama tujuh ADUN PBS yang memenangi PRN Sabah semalam.

KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) mendakwa semua calonnya yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam telah dihubungi parti lawan untuk ‘beralih angin’ menyokong mereka, seterusnya meninggalkan rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Difahamkan, ia bagi mendapatkan sokongan majoriti bagi menubuhkan kerajaan baharu yang sepatutnya dimiliki oleh GRS selepas memperoleh majoriti mudah sebanyak 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain memperoleh sokongan daripada tiga calon Bebas menjadikan kesemua 41 kerusi DUN.

PBS dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui laman Facebook rasmi mereka hari ini menyatakan bahawa pihak lawan sanggup menawarkan wang dan jawatan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu.

“Dalam kemelut pelantikan calon Ketua Menteri yang belum diumumkan, propaganda politik mulai tersebar, khabar angin pengkhianatan mula bertiup dan PBS sekali lagi menjadi mangsa sasaran termasuk difitnah.

“Mainan politik kotor oleh parti lawan yang pada masa kempen kononnya mengamalkan nilai prinsip dan maruah, nilai kesatuan dan integriti, kini berubah wajah, berubah rupa.

"Mereka yang kononnya parti tempatan lebih baik dari parti Malaya tapi sebenarnya bertopengkan musang,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu juga, PBS bukan sebuah parti yang baru dibina, bukan parti murahan dan bukan parti tidak berwibawa.

“PBS terbentuk daripada rakyat, oleh rakyat dan bagi rakyat. PBS pernah dianiaya, difitnah dan dicaci, tapi PBS kekal berdiri untuk rakyat.

“PBS berpegang pada prinsip dan maruah. PBS akan kekal bersama GRS,” katanya

Tarik sokongan jika KM bukan daripada BN, kata Nazir Hussin

Hantaran Nazir Hussin Akhtar Hussin di Facebooknya.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sewajarnya menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Ketua Menteri Sabah baharu dilantik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, telah ada persefahaman bahawa BN akan menamakan Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, BN dijanjikan kerusi Ketua Menteri sebagai balasan melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti menyertai Bersatu.

"Walaupun sedih dengan kehilangan kerusi-kerusi tradisi ini, kami berlapang dada dan menerima kehadiran mereka dan berusaha memastikan mereka menang.

"Malangnya madu diberi, tuba dibalas. Janji dimungkiri atas alasan Perikatan Nasional (PN) lebih tiga kerusi, PN menang 17 kerusi dan BN 14.

"Ini telah dijadikan alasan untuk melantik Ketua Menteri daripada Bersatu. Apakah Bersatu lupa bahawa di Perak, PN hanya mempunyai lapan kerusi berbanding BN 25, namun yang menjadi Menteri Besar adalah daripada Bersatu?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir Hussin berkata, beberapa calon Bebas yang menewaskan calon BN juga telah dibawa masuk menyertai PN bagi mengukuhkan Bersatu.

Sehubungan itu, katanya, ia bukan soal UMNO tamak kuasa atau tidak mahu berkongsi kuasa.

"Namun kalau perkongsian ini tidak menghasilkan keadilan, maka apa guna perkongsian ini?

"Justeru jika esok Ketua Menteri Sabah dari Bersatu, maka sewajarnya ahli-ahli Parlimen BN memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

"UMNO tidak sombong namun jangan pula sampai dibuli membuta tuli," katanya.

Namakan calon PRU-15 lebih awal selari saranan UMNO

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

IPOH: Tindakan UMNO Bahagian Bukit Gantang menamakan calon parti itu bertanding di kerusi Parlimen dan semua DUN bahagian itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bertepatan dengan saranan untuk UMNO mempertahankan semua kerusi yang dimenangi parti itu dalam PRU-15.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO juga telah menggariskan pemilihan calon yang bertanding PRU-15 adalah berdasarkan kehendak dan suara akar umbi parti.

Berikutan itu, Mohammad Sollehin meminta Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak campur tangan hal ehwal UMNO apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang itu hari ini membantah UMNO bahagian ini yang telah menetapkan calon dari parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen dan semua DUN bahagian itu dalam PRU-15.

 Menurut Mohammad, sebaliknya Syed Abu Hussin harus fokus dalam urusan partinya sendiri. 

“Jika beliau mahu bertanding (PRU-15), mungkin beliau harus berbincang bersama kepimpinan Bersatu Bahagian Bukit Gantang untuk menamakan beliau selaku calon, itu pun jika akar umbi Bersatu bersetuju.

“Namun saya percaya seluruh akar umbi UMNO Bahagian Bukit Gantang akan bersolidariti mempertahankan kerusi tradisi UMNO di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohammad berkata, tidak timbul isu sama ada menghormati Perikatan Nasional (PN) atau tidak kerana kerjasama UMNO hanya terikat bersama Pas dalam Muafakat Nasional. 

Kata beliau, sebarang rundingan hanya melibatkan Pas.

Beliau berkata, akar umbi dan rakyat di Bukit Gantang sudah serik dan tidak akan lagi bertuankan insan sama yang pernah mengkhianati dan mempermainkan mandat rakyat. 

“Lebih menyedihkan apabila lari daripada medan perjuangan tatkala rakyat memerlukan sokongan. 

“Nasihat saya buat beliau, tunaikan tanggungjawab sementara tempoh penggal ini masih ada dan selamat menjalani tempoh persaraan,” katanya.

Dalam program di sini hari ini, Syed Abu Hussin menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan UMNO bahagian ini yang telah menetapkan calon dari parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen dan semua DUN bahagian itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Bekas Ahli Parlimen UMNO itu yang kini menyertai Bersatu berkata, tindakan itu dilihat mendahului kepimpinan tertinggi dalam kalangan parti dalam PN mengenai pembahagian kerusi.-UTUSAN

PBS nafi sertai Warisan

 Oleh ASLINDA NASIR

KUALA LUMPUR: Meskipun Presiden parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal masih mengharap ‘keajaiban’ berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, setakat ini ia tidak membuahkan sebarang hasil.

Apa yang dilihat, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memperoleh majoriti mudah sekali gus membolehkannya menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Malah ia bertambah kukuh apabila Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan tiga wakil rakyat Bebas yang menang PRN malam tadi bergabung dengan GRS bagi membentuk kerajaan di negeri itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Bersatu Sabah (PBS) pula hari ini menafikan dakwaan bahawa parti itu menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Dalam keputusan pilihan raya negeri (PRN) semalam, Warisan dan sekutunya memenangi 32 kerusi daripada 73 kerusi Dun, iaitu kurang lima kerusi untuk kembali berkuasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, PBS mengulangi pendiriannya untuk kekal dalam GRS yang memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi dalam PRN semalam.

“PBS secara tegas menyangkal dakwaan bahawa ia menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan,” kata ketua penerangannya, Joniston Bankuai.

Dakwaan tersebut tersebar luas di media sosial berikutan keputusan PRN semalam.

“PBS, sebagai rakan dalamBRS, tetap teguh dengan sekutunya – Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN),” katanya.

GRS memenangi 38 kerusi dengan PN memperoleh 17 kerusi dan BN mendapat 14 kerusi.

PBS pula memenangi tujuh daripada 22 kerusi yang ditandinginya dalam PRN Sabah. – UTUSAN ONLINE

Ketua Menteri GRS angkat sumpah hari ini

 Oleh ABDUL HADI AB. MANAP

 

KOTA KINABALU: Kemelut siapa Ketua Menteri dalam kalangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang diselesaikan melalui rundingan meja bulat yang dihadiri pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam satu pertemuan tertutup yang dirahsiakan daripada pengetahuan pengamal media.

Difahamkan antara yang terlibat ialah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar dalam satu kenyataan di akaun Twitter miliknya kira-kira 46 minit yang lalu berkata, para pemimpin GRS akan menghadap Yang Dipertuan Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hari ini juga untuk upacara mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu.

“Semua 41 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) GRS Plus bertemu mesra buat pertama kali hari ini.

“Ketua-ketua parti UMNO, Bersatu dan PBS akan menghadap TYT (Tuan Yang Teramat Mulia) hari ini juga, insya-Allah,” katanya.

GRS Plus yang dimaksudkan Annuar dipercayai berikutan tiga calon Bebas yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Kuamut dan Pitas bersetuju untuk menyertai GRS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal pagi tadi mengumumkan GRS berjaya memperoleh majoriti mudah setelah berjaya memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UTUSAN ONLINE

Ahad, 27 September 2020

Apa Saja Komentar… Fakta Jelas Warisan Plus Kalah, Tiada Majoriti – Shahril

UMNO ONLINE


KOTA KINABALU – Rakyat telah memilih. Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, malam tadi.

Katanya, apa sahaja komentar yang sedang berlangsung iaitu siapa menang, siapa jadi Ketua Menteri, yang jelas dan yang semua boleh setuju sebagai fakta adalah, Warisan Plus kalah dan tiada majoriti.

Keputusan PRN Sabah menyaksikan Warisan Plus yang terdiri daripada Warisan, Dap, PKR dan UPKO mendapat 32 kerusi dan gagal mempertahankan kerajaan negeri.

“Terima kasih dan tahniah kepada seluruh jentera BN (Barisan Nasional) di mana sahaja anda berada. Tiada calon BN yang mampu menang tanpa usaha semua di segenap peringkat. Tahniah khas kepada jentera BN Sabah yang mendepani pertandingan ini semenjak awal lagi.

“Walaupun menjadi lawan kita, terima kasih atas jasa dan usaha kerajaan negeri terdahulu. Menjadi lawan tidak bermaksud perlu membenci atau menidakkan terus sebarang perkara positif yang mungkin dilaksana. Maka, amat rugi andaikata di penghujung perjalanan ini, pemimpin kerajaan negeri terdahulu enggan melepaskan kuasa dengan terhormat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berharap berharap agar masa hadapan rakyat Sabah lebih cerah di bawah naungan politik baharu.

“Moga masa hadapan rakyat Sabah lebih cerah di bawah naungan politik baharu. Moga BN Sabah akan terus diberi kebijaksanaan memimpin bersama sahabat-sahabatnya dalam GRS (Gabungan Rakyat Sabah).”

GRS memenangi 38 kerusi daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada pilihan raya negeri itu dengan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi, BN (14 kerusi) manakala PBS (tujuh kerusi). – UMNO Online

Yang di-Pertua minta tempoh, siapa KM Sabah masih jadi tanda tanya .

Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin meminta tempoh untuk menentukan 
siapa ketua menteri Sabah. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Mokhtar Radin berkata, Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin meminta tempoh untuk menentukan calon ketua menteri.

Bagaimanapun, beliau yang juga ketua Umno negeri berkata keputusan dijangka dicapai dalam masa terdekat.

“Beliau (Juhar) minta tempoh, dalam masa secepat mungkin,” katanya ketika ditemui selepas keluar dari perkarangan Istana Negeri hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Hajiji Noor ketika ditemui hanya berkata ringkas “TYT (Tuan Yang Terutama) akan putuskan”.

Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim pula berkata, perbincangan berhubung calon ketua menteri berjalan dengan baik.

“Satu perbincangan yang baik,” katanya ringkas ketika keluar dari perkarangan istana.

Terdahulu, 3 pemimpin berkenaan dan Presiden STAR, Jeffrey Kitingan keluar dari perkarangan istana jam 3.20 petang.

Tak mustahil jika KM Sabah ‘muka baharu’

fazleensafina

 

Jika utamakan kepentingan rakyat, GRS mampu capai kata sepakat

KUALA LUMPUR- Calon Ketua Menteri Sabah mungkin dilantik dalam kalangan muka baharu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak pernah digembar-gemburkan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkara berkenaan tidak mustahil berlaku sekiranya individu yang pernah disebut sebagai calon Ketua Menteri bagi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mendapat sokongan majoriti dalam kalangan calon yang menang.

Katanya, perkara sama pernah terjadi ketika pelantikan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, yang boleh dianggap sebagai keputusan dan situasi menang-menang bagi semua pihak.

“Jika tiada siapa yang dicalonkan sebelum ini mendapat sokongan majoriti dalam GRS, tidak mustahil individu lain pula akan diketengahkan.

“Ini untuk elak pertikaian berterusan mengenai calon Ketua Menteri,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Dr Awang Azman berkata, parti yang mendapat kemenangan tertinggi perlu diberi peluang untuk mengemukakan nama calon Ketua Menteri.

Beliau berkata, sekiranya semua wakil rakyat yang menang mengutamakan kepentingan rakyat, maka GRS mampu mencapai kesepakatan dalam menentukan calon Ketua Menteri Sabah baharu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi membentuk kerajaan selepas memenangi PRN dengan memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malam tadi.

Gabungan itu dianggotai PN menenangi 17 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) pula mendapat 14 kerusi seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dapat menawan tujuh kerusi.