HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 September 2020

Anwar tidak tunjuk nama kepada rakan PH

MalaysiaGazette
MGF23092020_SIDANG-MEDIA-ANWAR-IBRAHIM_04-681x454
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media khas di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL

PETALING JAYA – Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan telah mendapat sokongan lebih 120 wakil rakyat untuk membentuk kerajaan, tetapi Presiden PKR itu tidak mendedahkan senarai nama itu kepada rakan seangkatan.

DAP dan Amanah juga dilaporkan tidak meminta untuk melihat nama-nama yang menyokong Anwar, tetapi senarai itu dikatakan tidak mengandungi wakil rakyat daripada Pas.

Sinchew Daily melaporkan, dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang diadakan pada Isnin, DAP dan Amanah telah melontarkan pandangan, malahan menyatakan syarat pembentukan kerajaan baharu, iaitu tidak menerima pemimpin UMNO yang dibelenggu kes rasuah seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kami ada berbincang syarat sokongan kepada Anwar dan beliau juga bersetuju dengannya.

“Kami tidak akan bertoleransi dalam soal mempertahankan keadilan dan menentang rasuah,” kata sumber tersebut.

Menurutnya lagi, DAP dan Amanah menyatakan bahawa mereka tidak mahu bekerjasama dengan parti, tetapi akan berbuat demikian dengan individu.

“Ini adalah seperti mereka menyertai Perikatan Nasional (PN) atas kapasiti individu, bukannya parti yang menyertai PN,” kata sumber.

Sementara itu, sumber juga berkata, wakil rakyat yang ingin bertukar haluan untuk memberi sokongan kepada Anwar juga tidak meletakkan apa-apa syarat.

“Mereka tidak dijanji jawatan dalam kerajaan atau menteri,” kata sumber itu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: