HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2020

Pendaftaran Pejuang perlu pindaan

Mukhriz Mahathir bersama Maszlee Malik (kiri) dan Marzuki Yahya, 
menunjukkan salinan permohonan pendaftaran Pejuang pada Ogos lalu.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung Jawatankuasa Penubuhan Pejuang Amiruddin Hamzah berkata, beberapa pindaan perlu dibuat ke atas permohonan pendaftaran parti itu yang diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada 19 Ogos lalu.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan JPPM pagi tadi.

“Pindaan tersebut adalah berkaitan isu teknikal kecil yang akan dilakukan dengan segera.

“Saya yakin pendaftaran Pejuang akan segera mendapat kelulusan setelah pindaan tersebut dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, parti baharu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad itu menghantar permohonan pendaftaran kepada JPPM.

Anak Mahathir, Mukhriz berkata permohonan diserahkan kepada Ketua Pengarah JPPM Masyati Abang Ibrahim.

Beliau berkata, JPPM akan meneliti butir permohonan untuk memastikan ia mematuhi syarat ditetapkan bawah Akta Pertubuhan.

Sebelum ini, Mahathir yang juga bekas pengerusi PPBM berkata, beliau akan menubuhkan sebuah parti Melayu baharu yang bebas kerana parti lamanya lari daripada perjuangan asal.

Ahli politik veteran berusia 95 tahun itu pernah berkata, beliau mungkin menyertai parti sedia ada atau menubuhkan parti baharu.

Mahathir berkata, beliau dan bekas pemimpin PPBM lain termasuk Mukhriz, Maszlee Malik dan Marzuki Yahya perlu menubuhkan parti baharu untuk melawan rasuah kerana parti Melayu lain menyeleweng daripada perjuangan asal dan mementingkan wang serta kuasa.

Tiada ulasan: