ASTRO AWANI
ANWAR:
- 'Alhamdulillah kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan
menyakinkan
daripada Ahli Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada
Duli Yang Maha Mulia Yang
Dipertuan Agong.' - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Berikut kenyataan media penuh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan sidang media khas di ibu negara hari ini:
As-salamu alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh .
Dan salam sejahtera.
Terima
Kasih saya ucapkan kepada semua rakan media tempatan dan antarabangsa
yang hadir walaupun jemputan dikeluarkan dalam tempoh yang singkat.
Rakyat
Malaysia berhak mendapatkan sebuah kerajaan yang kukuh dengan
kepemimpinan yang cekap dan yakin, untuk mengurus krisis ekonomi dengan
bijaksana dan tuntas. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk
menyelamatkan negara ini daripada menghadapi kemelesetan ekonomi yang
dibimbangi boleh menimbulkan ketegangan hubungan kaum.
Alhamdulillah
kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada
Ahli Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia
Yang Dipertuan Agong. Ingin saya nyatakan di sini majoriti yang
menyokong saya ialah Ahli Parlimen Melayu dan Islam.
Untuk
maklumat semua, sebenarnya saya telah diperkenankan untuk mengadap Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kelmarin, Selasa 22 September jam
11 pagi, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Baginda kini menerima
rawatan di Institute Jantung Negara.
Kendati begitu, melalui perbualan telefon malam Selasa lalu saya telah mendoakan aa’fiah buat Kebawah Duli Tuanku.
Dengan
sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan
Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. Maklumat dan langkah selanjutnya
akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam
masa yang terdekat, Insha’Allah.
Pentadbiran
ini pastinya mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra
dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini. Kami tetap menjunjung
prinsip-prinsip perlembagaan yang mengiktirafkan kedudukan Islam,
kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputra disamping
jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain.
Akhir
sekali, saya memohon seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan
kesembuhan segera Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Saya berjanji akan
membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited
untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah
dan membela nasib rakyat. InshaaAllah saya akan tunaikan janji saya
untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk
seluruh rakyatnya.
Terima Kasih.
ANWAR IBRAHIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan