HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2020

Ketua Menteri GRS angkat sumpah hari ini

 Oleh ABDUL HADI AB. MANAP

 

KOTA KINABALU: Kemelut siapa Ketua Menteri dalam kalangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang diselesaikan melalui rundingan meja bulat yang dihadiri pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam satu pertemuan tertutup yang dirahsiakan daripada pengetahuan pengamal media.

Difahamkan antara yang terlibat ialah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar dalam satu kenyataan di akaun Twitter miliknya kira-kira 46 minit yang lalu berkata, para pemimpin GRS akan menghadap Yang Dipertuan Negeri, Tun Juhar Mahiruddin hari ini juga untuk upacara mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri yang baharu.

“Semua 41 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) GRS Plus bertemu mesra buat pertama kali hari ini.

“Ketua-ketua parti UMNO, Bersatu dan PBS akan menghadap TYT (Tuan Yang Teramat Mulia) hari ini juga, insya-Allah,” katanya.

GRS Plus yang dimaksudkan Annuar dipercayai berikutan tiga calon Bebas yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong, Kuamut dan Pitas bersetuju untuk menyertai GRS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) awal pagi tadi mengumumkan GRS berjaya memperoleh majoriti mudah setelah berjaya memenangi 38 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: