HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2020

Dakwa kerajaan PN tumbang bukan proses demokrasi di Malaysia

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Bubar kerajaan bukan semata-mata angka, perlu lalui proses tertentu

BANGI – Meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan kukuh daripada Ahli Parlimen, Presiden PKR itu tidak boleh semudahnya mengatakan kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN) sudah tumbang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, proses menjatuhkan atau tidak sesuatu kerajaan bukan hanya ditentukan semata-mata oleh bilangan majoriti seperti yang didakwa Anwar.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa perkara itu masih perlu melalui Dewan Rakyat dengan mengemukakan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri untuk menentukan jumlah Ahli Parlimen yang menyokong dan menentang.

“Kemudian, keputusan itu juga tidak akan terlucut sendiri jawatan Perdana Menteri itu, kecuali Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dengan pandangan PM supaya dibubarkan Parlimen.

“Itu prosesnya… bukanlah boleh semata-mata angka, maka jatuhlah kerajaan semasa hari ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Prof Mat Yazid berkata, tindakan Anwar itu bukanlah proses demokrasi di Malaysia yang berpaksikan Perlembagaan, Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Apa yang dikatakan Anwar seolah-olah mudah, apabila dapat majoriti jatuhlah kerajaan PN.

“Itu bukan proses yang berlaku. Ia perlu melalui Dewan Rakyat dan keputusan Agong melalui pembubarannya,” katanya.

Semalam, Anwar mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk sebuah kerajaan baharu dengan matlamat membela nasib rakyat.

Beliau memaklumkan mendapat sokongan Ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk dalam kalangan Melayu dan Islam.

Mengulas lanjut, Prof Mat Yazid berkata, semua rakyat tertanya-tanya mengenai sokongan yang didakwa diterima Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Pertamanya kita nak tahu siapa yang menjadi anggota menyokong, dan harus dijelaskan berapa daripada PKR, DAP, Amanah dan jika ada daripada pihak UMNO atau parti lain.

“Sekarang dah timbul isu BN kata dia tak ada, PAS pun sama, GPS juga. Jadi kita pun tertanya-tanya siapa dan dari mana (Anwar) dapat angka sokongan itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyifatkan tindakan Anwar semalam tidak sesuai dengan keadaan sekarang, apatah lagi ketika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

“Bahkan, negara juga sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang semakin serius di Sabah dan Kedah.

“Jadi saya rasa tindakan Anwar adalah kurang sesuai dan tidak patut berlaku demikian. Ia juga patut diperhalusi supaya lebih manis dan sesuai dengan prinsip Perlembagaan,” katanya.

Tiada ulasan: