HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2020

Namakan calon PRU-15 lebih awal selari saranan UMNO

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

IPOH: Tindakan UMNO Bahagian Bukit Gantang menamakan calon parti itu bertanding di kerusi Parlimen dan semua DUN bahagian itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bertepatan dengan saranan untuk UMNO mempertahankan semua kerusi yang dimenangi parti itu dalam PRU-15.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, UMNO juga telah menggariskan pemilihan calon yang bertanding PRU-15 adalah berdasarkan kehendak dan suara akar umbi parti.

Berikutan itu, Mohammad Sollehin meminta Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak campur tangan hal ehwal UMNO apabila Ahli Parlimen Bukit Gantang itu hari ini membantah UMNO bahagian ini yang telah menetapkan calon dari parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen dan semua DUN bahagian itu dalam PRU-15.

 Menurut Mohammad, sebaliknya Syed Abu Hussin harus fokus dalam urusan partinya sendiri. 

“Jika beliau mahu bertanding (PRU-15), mungkin beliau harus berbincang bersama kepimpinan Bersatu Bahagian Bukit Gantang untuk menamakan beliau selaku calon, itu pun jika akar umbi Bersatu bersetuju.

“Namun saya percaya seluruh akar umbi UMNO Bahagian Bukit Gantang akan bersolidariti mempertahankan kerusi tradisi UMNO di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohammad berkata, tidak timbul isu sama ada menghormati Perikatan Nasional (PN) atau tidak kerana kerjasama UMNO hanya terikat bersama Pas dalam Muafakat Nasional. 

Kata beliau, sebarang rundingan hanya melibatkan Pas.

Beliau berkata, akar umbi dan rakyat di Bukit Gantang sudah serik dan tidak akan lagi bertuankan insan sama yang pernah mengkhianati dan mempermainkan mandat rakyat. 

“Lebih menyedihkan apabila lari daripada medan perjuangan tatkala rakyat memerlukan sokongan. 

“Nasihat saya buat beliau, tunaikan tanggungjawab sementara tempoh penggal ini masih ada dan selamat menjalani tempoh persaraan,” katanya.

Dalam program di sini hari ini, Syed Abu Hussin menyatakan tidak bersetuju dengan tindakan UMNO bahagian ini yang telah menetapkan calon dari parti itu untuk bertanding di kerusi Parlimen dan semua DUN bahagian itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Bekas Ahli Parlimen UMNO itu yang kini menyertai Bersatu berkata, tindakan itu dilihat mendahului kepimpinan tertinggi dalam kalangan parti dalam PN mengenai pembahagian kerusi.-UTUSAN

Tiada ulasan: