HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2020

Kalah PRN, naib presiden Warisan letak jawatan presiden Safa

 Willie Jude

Peter Anthony mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak 
Sabah (Safa) berkuatkuasa serta-merta.

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan Peter Anthony mengumumkan peletakan jawatan sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau dipercayai membuat keputusan itu berikutan kejatuhan kerajaan Warisan Plus selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.

“Dengan semua yang sedang berlaku termasuk kesibukan saya dalam urusan politik, saya rasa perlu berehat buat sementara waktu.

“Oleh itu, saya mahu umumkan peletakan jawatan sebagai presiden SAFA berkuatkuasa serta-merta hari ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Peter yang memenangi kerusi DUN Melalap pada PRN lalu memegang jawatan presiden Safa sejak penghujung 2018.

Kemasukan Peter ke dalam persatuan itu membuka lembaran baru buat skuad Sabah apabila menjuarai Liga Perdana tahun lalu, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam saingan Liga Super, musim ini.

Bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah itu sebelum ini juga berjaya membebaskan Safa daripada beban hutang jutaan ringgit yang diwarisi daripada peneraju sebelumnya.

“Saya telah cuba lakukan yang terbaik dan termampu. Saya harap Safa akan terus maju jaya di bawah presiden baru selepas ini.

“Krisis Covid-19 sejak Mac tahun ini telah menjejaskan perancangan kita untuk pembangunan Safa kerana saingan untuk skuad bawah 21 (Piala Presiden) dan bawah 19 tahun (Piala Belia) dibatalkan.

“Begitu dengan pembentukan pasukan senior, bukan mudah untuk bangkit selepas setengah tahun saingan Liga Super berehat tetapi Sabah sudah kembali dengan kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di Stadium Likas, malam tadi,” katanya.

Peter berkata, beliau meninggalkan persatuan itu dalam keadaan baik dan berharap ia dapat diteruskan dan dimantapkan lagi oleh presiden baru nanti.

Tiada ulasan: