HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 September 2020

‘Insya-Allah, ketua menteri Sabah baru dari BN’

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berharap terdapat ketua menteri baru Sabah daripada parti itu.

Bercakap di sesi Facebook Live BN menjelang hari mengundi pilihan raya negeri (PRN) Sabah, dia menggesa pengundi negeri itu supaya memberi peluang kepada kebanyakan muka baru calon BN untuk membuktikan diri.

Zahid turut memberikan jaminan bahawa calon yang menang pilihan raya itu akan dinilai dengan indeks prestasi utama (KPI) untuk memastikan mereka berkhidmat buat rakyat.

“Walaupun saya tak campur dalam soal pemilihan calon, tapi saya akan akan memantau ketua menteri baru yang insya-Allah dipilih antara Adun-Adun yang menang mewakili BN.

“Dan tentunya saya akan berikan khidmat yang terbaik kepada ketua menteri yang baru. Insya-Allah saya akan berikan khidmat nasihat yang terbaik bagi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Dalam PRN Sabah ini, BN bertanding 41 kerusi.

Sebelum ini, BN dan PAS kelihatan berbeza pendapat mengenai calon ketua menteri Sabah sekiranya gabungan pembangkang negeri itu memenangi pilihan raya.

Malah, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin turut mencadangkan Ketua Bersatu Sabah Hajiji Md Nor bagi jawatan ketua menteri namun tidak dipersetujui Zahid.

Jelas Zahid, keputusan berhubung pemilihan ketua menteri akan dibuat wakil rakyat BN bersama sekutu politiknya selepas pilihan raya.

Sementara itu, Zahid tidak mengulas lanjut berhubung kenyataannya sebelum ini bahawa ada anggota parlimen BN atau Umno yang menyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru.

Pegawainya juga mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa sesi dialog tersebut telah direkodkan terlebih awal namun disiarkan sebentar tadi.

Menurut, Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, Zahid kini menjalani perintah kuarantin susulan Covid-19.

Zahid juga telah membatalkan semua acara kempennya hari ini.

Kelmarin, Anwar mengadakan sidang media untuk mengumumkan beliau memiliki majoriti kukuh bagi membentuk kerajaan baru selepas sejumlah ahli parlimen pelbagai parti menyokongnya menjadi perdana menteri..

Ia kemudian diikuti dengan kenyataan Zahid, yang mengesahkan "ramai" ahli parlimen partinya kini bersama-sama Anwar dan beliau tidak dapat menghalangnya.

Bagaimanapun, seorang demi seorang ahli parlimen Umno tampil menafikan mereka menyertai kumpulan Anwar setakat ini.

*Laporan tambahan oleh Ng Xiang Yi.

Tiada ulasan: