HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2020

GRS akan umum calon ketua menteri pagi ini

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengumumkan calon ketua menteri barunya pada majlis angkat sumpah pagi ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Perikatan Nasional Sabah, Hajiji Noor yang memberitahu sidang media awal pagi ini selepas pertemuan lebih lima jam sejak jam 9 malam tadi.

Mesyuarat itu diadakan di kalangan sekutu GRS, termasuk Star dan SAPP.

Bagaimanapun, pemimpin tertinggi BN dan PBS tidak dilihat menghadiri pertemuan itu.

Ketika ditanya mengenai ketiadaan pemimpin Umno, Hajiji tidak memberikan jawapan jelas.

"Kita masih menunggu. Banyak wakil rakyat kita dari jauh, dari pendalaman. Belum lagi sampai sehingga hari ini, jadi tunggu dan kita akan buat satu pengumuman bersama mereka nanti," katanya.

Hajiji berkata ketua menteri baru akan mendapat sokongan majoriti.

"Insya-Allah cukup bilangan untuk angkat sumpah tetapi kerana keadaan sekarang sudah lewat malam, jadi kita akan lakukan pada esok hari," katanya.

Hajiji enggan mengesahkan apakah ketua menteri baru berasal dari Perikatan Nasional, yang terdiri daripada Bersatu, Star dan SAPP.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini mencadangkan Hajiji sebagai calon ketua menteri sekiranya GRS menang.

Bagaimanapun, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa calon ketua menteri mesti berasal dari Umno.

Tiada ulasan: