HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2020

Tarik balik sokongan kepada Muhyiddin jika KM Sabah dari PPBM, kata Pemuda Umno

Muhyiddin Yassin berkempen untuk ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor (tengah) semasa 
pilihan raya.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Umno mendesak supaya Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan kepada Presiden PPBM Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri sekiranya ketua menteri Sabah yang baru dilantik dari PPBM.

Dalam catatan di Facebook, Nazir Hussin Akhtar Husin yang merupakan pemimpin Pemuda Umno Titiwangsa berkata, persetujuan dicapai sebelum pilihan raya negeri pada Sabtu bahawa calon BN akan dicalonkan untuk jawatan tersebut.

Beliau berkata, janji itu sebagai balasan kerana melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini dimenangi oleh ahlinya dalam pilihan raya lalu kepada Adun yang melompat parti untuk menyertai PPBM.

Perikatan Nasional pimpinan PPBM menang 17 kerusi, sementara BN memperoleh 14 kerusi.

Ketua Pemuda Umno Titiwangsa Nazir Hussin Akhtar Husin.

“Ini dijadikan alasan untuk melantik ketua menteri dari PPBM. Namun kalau perkongsian ini tidak menghasilkan keadilan, maka apa guna perkongsian ini?,” katanya merujuk kepada pelantikan menteri besar Perak dari PPBM walaupun parti itu hanya mempunyai 8 kerusi berbanding BN 25 kerusi.

Katanya, jika PPBM mengingkari perjanjian Sabah, adalah wajar BN menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya umum.

“Ini bukan soal UMNO tamak kuasa atau tidak mahu berkongsi kuasa. Umno tidak sombong, namun jangan pula sampai dibuli membuta tuli,” katanya.

Warisan memenangi 29 kerusi, PN 17, BN 14, PBS 7, calon Bebas 3, PKR 2 dan Upko 1 dalam pilihan raya negeri Sabah Sabtu lepas.

Gabungan GRS terdiri daripada PN, BN dan PBS mengisytiharkan kemenangan selepas memperoleh 38 kerusi.

Tiada ulasan: