HALAMAN SANTAI

Sabtu, 26 September 2020

Rakyat gembira Muhyiddin banyak kerja, kurang cakap politik, kata Azmin

DETIK DAILY


KOTA KINABALU:
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Mohamed Azmin Ali yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah esok berdasarkan sokongan semakin bertambah kepada gabungan itu.

Beliau berkata, orang Sabah sendiri melihat bagaimana kerajaan PN berkhidmat kepada rakyat, khasnya ketika pandemik dengan mewujudkan Prihatin, Penjana serta pakej bantuan tambahan buat perusahaan kecil dan sederhana, perniagaan mikro dan individu.

“Semalam, saya berada di Tawau dan Kalabakan. Saya boleh merasakan sokongan itu sangat besar dan baik untuk PN, Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakan kami, termasuk PBS.

“Rakyat gembira melihat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kurang bercakap mengenai politik, tetapi lebih memfokuskan pembangunan ekonomi dan menjaga kesihatan awam.

“(Orang Sabah) gembira dengan Muhyiddin. Saya percaya mereka memutuskan ini ialah cara untuk mara dan mereka akan terus menyokong PN, insya Allah,” katanya kepada wartawan hari ini.

Katanya, keutamaan sekarang ialah berkhidmat kepada rakyat ketika Covid-19 dan memastikan keselamatan mereka sementara membangunkan semula ekonomi, yang merupakan fokus Muhyiddin selepas beliau menjadi perdana menteri.

Azmin turut membidas dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baru dengan menyifatkannya tindakan orang terdesak.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata, Anwar hilang kredibiliti dan integritinya selepas dakwaannya mempunyai sokongan majoriti yang terdiri daripada “ahli Parlimen Melayu-Islam” ditepis ahli politik Umno.

“Ini bukan kali pertama. Anwar melakukannya banyak kali. Ini ialah tindakan lelaki terdesak yang mahukan kuasa sehingga beliau tidak mempedulikan integritinya.

“Saya tidak percaya sama sekali ahli-ahli Umno memberikan sokongan kepada Anwar kerana mereka menyaksikan kami tubuh PN bersama.”

Katanya, dakwaan Anwar tidak akan menjejaskan keputusan PRN Sabah kerana rakyat menyaksikan Muhyiddin bekerja keras demi menjaga manfaat mereka semasa penularan Covid-19.

Azmin turut menepis kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang beliau dimaklumkan ramai ahli Parlimen Umno menyokong Anwar kerana ia hanyalah kenyataan biasa dan pandangan peribadi pengerusi BN itu.

Rabu lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Walaupun beberapa pemimpin Umno dan BN segera menafikan mereka menyokong Anwar, Zahid dilaporkan berkata, ramai ahli Parlimen Umno serta BN menyokong Anwar, tetapi parti itu tidak dapat menghalang mereka berbuat demikian.

Katanya, sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional ialah sokongan ahli Parlimen saja.

Tiada ulasan: