HALAMAN SANTAI

Isnin, 28 September 2020

Tarik sokongan jika KM bukan daripada BN, kata Nazir Hussin

Hantaran Nazir Hussin Akhtar Hussin di Facebooknya.

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sewajarnya menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Ketua Menteri Sabah baharu dilantik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, telah ada persefahaman bahawa BN akan menamakan Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, BN dijanjikan kerusi Ketua Menteri sebagai balasan melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti menyertai Bersatu.

"Walaupun sedih dengan kehilangan kerusi-kerusi tradisi ini, kami berlapang dada dan menerima kehadiran mereka dan berusaha memastikan mereka menang.

"Malangnya madu diberi, tuba dibalas. Janji dimungkiri atas alasan Perikatan Nasional (PN) lebih tiga kerusi, PN menang 17 kerusi dan BN 14.

"Ini telah dijadikan alasan untuk melantik Ketua Menteri daripada Bersatu. Apakah Bersatu lupa bahawa di Perak, PN hanya mempunyai lapan kerusi berbanding BN 25, namun yang menjadi Menteri Besar adalah daripada Bersatu?," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nazir Hussin berkata, beberapa calon Bebas yang menewaskan calon BN juga telah dibawa masuk menyertai PN bagi mengukuhkan Bersatu.

Sehubungan itu, katanya, ia bukan soal UMNO tamak kuasa atau tidak mahu berkongsi kuasa.

"Namun kalau perkongsian ini tidak menghasilkan keadilan, maka apa guna perkongsian ini?

"Justeru jika esok Ketua Menteri Sabah dari Bersatu, maka sewajarnya ahli-ahli Parlimen BN memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN.

"UMNO tidak sombong namun jangan pula sampai dibuli membuta tuli," katanya.

Tiada ulasan: