HALAMAN SANTAI

Selasa, 29 September 2020

Pemuda Umno ingatkan PPBM jangan angkuh

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata ahli Umno juga ada maruah 
dan tidak selamanya parti itu boleh mengalah.

PETALING JAYA: Pemuda Umno mengingatkan PPBM supaya tidak angkuh selepas parti itu mengalah berhubung calon ketua menteri Sabah yang baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Hari ini Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menamakan Hajiji Noor daripada PPBM sebagai calon ketua menteri dan beliau dijadualkan mengangkat sumpah di Istana Negeri pagi esok.

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ahli Umno juga ada maruah dan tidak selamanya parti itu boleh mengalah.

“Waktu nak selamatkan kerajaan persekutuan, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 43 ahli Parlimen, berjiwa besar mengalah kepada PPBM yang hanya ada 6 + 15 (ahli Parlimen lompat dari Umno) untuk mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai PM (perdana menteri)

“Waktu nak tubuhkan kerajaan Perak, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 25 Adun berjiwa besar, tetap mengalah kepada PPBM yang hanya ada 4 kerusi untuk mengangkat Ahmad Faizal Azumu sebagai MB (menteri besar).

“Waktu nak tubuhkan kerajaan Sabah, demi rakyat, Umno-BN dengan kerusi terbesar 14 Adun berjiwa besar, sekali lagi mengalah kepada PPBM yang hanya ada 11 kerusi untuk mengangkat Hajiji sebagai KM (ketua menteri),” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, dalam bersahabat dan berpakat mesti jujur dan ikhlas.

“Biarpun tidak diharap sebarang penghargaan mahupun pujian, saya tetap tabik hormat kepada seluruh jentera Umno-BN di akar umbi yang bekerja keras bukan sahaja di kawasan BN bertanding bahkan turut membantu memenangkan calon PPBM atas bendera PN di kawasan yang hakikatnya menjadi tradisi kubu kuat Umno-BN hampir 30 tahun,” katanya.

Asyraf berkata demikian sebagai respons terhadap Ketua Pemuda PPBM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyatakan rakyat memilih PN disebabkan gabungan itu tidak dibebani dengan isu masa lalu.

“Perikatan Nasional tidak dibebani dengan isu legasi, ‘trust deficit’ kerana ianya masih baru dan segar. Kekuatannya banyak terkumpul pada Muhyiddin Yassin yang kita tahu tidak ponggah, tidak angkuh dan amat meraikan kerjasama asalkan matlamat utama dalam menubuhkan kerajaan yang kuat, berintegriti dan beramanah itu tercapai,” katanya

Tiada ulasan: