HALAMAN SANTAI

Jumaat, 25 September 2020

GRS menang di Sabah? Tunggu hari pengundian, kata Shafie

Muhammad Azizul Osman
MGF25092020_REALISASI-PERPADUAN-WARISAN-11-681x453
Presiden parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berucap di majlis Realisasi Perpaduan bersama parti Warisan Sabah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 Sabah di Kampung Cenderawasih, Kunak, Sabah. foto MOHD ADZLAN

KUNAK – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh berkata apa sahaja tentang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah namun penentuan kepada kemenangan mana-mana pihak akan ditentukan esok.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal menegaskan beliau turut yakin bahawa parti pimpinannya mampu untuk kekal di Sabah.

“Dia boleh buat sebarang kenyataan sedangkan di Kuala Lumpur dia hanya tinggal dua (kerusi majoriti) sahaja. Takkan di Sabah ini dia boleh (dapat kerusi).

“Tunggu hari pengundian. Kita telah berusaha dan lakukan semua dan kita yakin,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Realisasi Perpaduan Bersama Parti Warisan di Kg Cenderawasih, Batu 5, Kunak, sebentar tadi.

Shafie berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin yang menjangkakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadualkan berlangsung pada 26 September ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu semalam berkata, keyakinannya adalah berdasarkan kehadiran pemimpin gabungan itu dan sambutan hadirin pada Ceramah Perdana malam ini, yang disifatkan sebagai simbolik kepada sokongan rakyat terhadap GRS.

“Malam ini sejarah yang begitu penting dalam siri jelajah kempen sempena PRN Sabah ini. Kita menyaksikan kehadiran ribuan hadirin, saya rasa kagum dan cukup bangga dan saya rasa inilah petanda awal menunjukkan parti-parti GRS akan mencapai kemenangan besar dalam PRN ini Insyallah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Bakut View, Kg Sendil, semalam.

Sama seperti Muhyiddin, Shafie turut optimis akan mendapat semula kuasa rakyat pada Sabtu depan.

“Alhamdulillah hari ini kita berpeluang untuk bertemu dengan pengundi pada hari akhir pilihan raya, daripada jelajah yang saya telah pun lakukan selama beberapa bulan kalau berdasarkan dengan kita lihat rakyat ini akan beri sokongan kepada parti Warisan dan rakan-rakan,” katanya lagi.

Esok, sejumlah 1.124 juta rakyat Sabah akan menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih kerajaan negeri baharu samada antara Warisan, GRS mahupun Parti Cinta Sabah (PCS).

Ia selepas tempoh 14 hari berkempen bagi PRN Sabah berakhir tengah malam ini. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: