HALAMAN SANTAI

Ahad, 27 September 2020

Tak mustahil jika KM Sabah ‘muka baharu’

fazleensafina

 

Jika utamakan kepentingan rakyat, GRS mampu capai kata sepakat

KUALA LUMPUR- Calon Ketua Menteri Sabah mungkin dilantik dalam kalangan muka baharu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak pernah digembar-gemburkan.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perkara berkenaan tidak mustahil berlaku sekiranya individu yang pernah disebut sebagai calon Ketua Menteri bagi mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mendapat sokongan majoriti dalam kalangan calon yang menang.

Katanya, perkara sama pernah terjadi ketika pelantikan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, yang boleh dianggap sebagai keputusan dan situasi menang-menang bagi semua pihak.

“Jika tiada siapa yang dicalonkan sebelum ini mendapat sokongan majoriti dalam GRS, tidak mustahil individu lain pula akan diketengahkan.

“Ini untuk elak pertikaian berterusan mengenai calon Ketua Menteri,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Dr Awang Azman berkata, parti yang mendapat kemenangan tertinggi perlu diberi peluang untuk mengemukakan nama calon Ketua Menteri.

Beliau berkata, sekiranya semua wakil rakyat yang menang mengutamakan kepentingan rakyat, maka GRS mampu mencapai kesepakatan dalam menentukan calon Ketua Menteri Sabah baharu.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara rasmi membentuk kerajaan selepas memenangi PRN dengan memenangi 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), malam tadi.

Gabungan itu dianggotai PN menenangi 17 kerusi, manakala Barisan Nasional (BN) pula mendapat 14 kerusi seterusnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dapat menawan tujuh kerusi.

Tiada ulasan: