HALAMAN SANTAI

Rabu, 30 September 2020

Hakikat Keputusan PRN Sabah, BN Masih Parti Pilihan Rakyat – Penganalisa Politik

UMNO ONLINE


KUALA LUMPUR – Penganalisis politik tempatan, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, walaupun ramai yang mempertikaikan jumlah kerusi yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya negeri (PRN) Sabah namun hakikatnya keputusan PRN itu mengesahkan Sabah masih lagi kubu kuat BN dan parti ini masih pilihan rakyat.

Ini kerana jelas beliau, keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) juga menunjukkan BN menang di Sabah namun mandat tersebut telah dirampas oleh Warisan.

“Kemenangan BN + PN sekali lagi membuktikan BN masih kuat di Sabah, sama seperti di Pahang dan Perlis. Kemenangan ini bukan kemenangan yang biasa kerana terdapat isyarat jelas bahawa PRU-15 perlu disegerakan bukan sekadar mengembalikan mandat tetapi juga untuk membina keyakinan kepada kestabilan politik negara.

“Kita tidak boleh lagi menunggu terlalu lama untuk mengadakan PRU-15 kerana rakyat semakin bosan dengan ancaman politik parti pembangkang yang sentiasa mencari peluang untuk meruntuhkan kerajaan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tawfik, berdasarkan isyarat kemenangan di sabah dan pelbagai bantuan yang telah disalurkan kepada kerajaan untuk rakyat maka inilah masa paling tepat untuk diadakan PRU-15.

“Sekarang ini masa terbaik dan ia memihak kepada parti yang memerintah berdasarkan pelbagai bantuan yang diberikan kepada rakyat.

“Walaupun ada yang berpendapat PRU nanti menjadi penyebab penyebaran COVID-19 namun saya yakin dan percaya, kerajaan bakal mengambil langkah lebih tegas dalam membendung penularan COVID-19.

“Mahu tidak mahu, COVID-19 atau tidak, kerajaan pasti akan dibubarkan bila tiba masanya. Cuma cepat atau lambat sahaja,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: