HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Ogos 2009

Jabatan Penjara tiada pakar sebat syariah

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA - Hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor terpaksa ditangguhkan kerana Jabatan Penjara tidak mempunyai pengalaman, kemahiran dan pakar bertauliah yang mampu melaksanakan hukuman syariah atas kesalahan meminum arak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia merupakan kes pertama bagi Jabatan Penjara yang hanya berpengalaman luas dalam kesalahan dadah dan rogol.

''Dari segi tanggungjawab, saya difahamkan di bawah Akta Negara memang kita dipertanggungjawabkan tetapi tak mungkin saya benarkan hukuman dilaksanakan kalau kita tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran.

''Perkara ini perlu dibincangkan dengan pihak seperti Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Penjara serta mereka yang pakar dalam bidang ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat pertama Kepimpinan Petugas Khas Kebangsaan bagi Menjayakan Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Nasional Berkaitan Usaha Menangani Masalah Jenayah.

Hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi, 32, sepatutnya dilaksanakan di Penjara Kajang tetapi ditangguhkan setelah mendapat arahan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Datuk Adul Rahman Yunus semalam.

Hishammuddin berkata, walaupun dari segi tugas, amanah dan tanggungjawab melaksanakan hukuman sebat terletak di bahu Jabatan Penjara namun kemahiran untuk melakukannya juga perlu ada.

Ditanya adakah hukuman tersebut dapat dilaksanakan selepas Ramadan, beliau berkata, isu itu terpaksa dihadapi tetapi realitinya Jabatan Penjara masih belum bersedia.

Beliau menambah, hukuman syariah bukan perkara biasa yang boleh dilaksanakan jika tiada pengalaman.

''Bagi saya kalau tidak ada orang yang hendak laksanakan hukuman ini macam mana kita hendak lakukan secara adil.

"Islam menuntut kalau sesuatu perkara hendak dilaksanakan mestilah mengikut hukum dan juga dengan adil," katanya.

Mengenai tempoh latihan kepada jurusebat bagi melaksanakan hukuman tersebut, beliau berkata, jika ia boleh dilakukan dalam sehari, hukuman sudah boleh dilaksanakan.

Beliau bagaimanapun mengakui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bersedia dari sekarang untuk melaksanakan hukuman tersebut jika ia sudah menjadi satu keperluan.

''Realitinya saya tidak akan lari daripada apa yang sepatutnya, iaitu keadilan dan kesaksamaan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah di sebalik keputusan mahkamah," katanya

Tiada ulasan: